Sabtu, 14 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Boleh kritik kerajaan

Posted: 14 Jul 2012 03:04 PM PDT

» Hukuman bagi pengkritik tiada dalam akta baru

Kuala Kangsar: Akta Keharmonian Nasional tidak akan menghalang mana-mana pihak membuat kritikan terhadap kerajaan dan pemimpinnya. Peruntukan yang membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang mengkritik sehingga mencetuskan kemarahan rakyat dan tidak puas hati terhadap kerajaan serta kepemimpinannya seperti termaktub dalam Akta Hasutan 1948, tidak akan dimasukkan dalam akta baru itu.

"Cuma, oleh kerana kita sebuah negara yang datang dari latar belakang agama, budaya dan adat resam yang berbeza, kita mesti jaga keharmonian, tidak ada kebebasan bersuara yang mutlak," - Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Bagaimanapun, akta berkenaan akan terus mengekalkan tindakan tegas terhadap pihak yang menyentuh perkara sensitif seperti institusi raja-raja Melayu, agama dan perkauman.

Tiada sekatan Penjelasan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, semalam, selepas Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Akta Keharmonian Nasional akan menggantikan Akta Hasutan, Rabu lalu.

"Sebab itu, kita kena hapus Akta Hasutan dan ganti dengan akta baru di mana ia tidak akan mempunyai satu peruntukan di mana kerajaan dan pemimpinnya tidak boleh dikritik.

"Kerajaan berpendapat kritikan kepada pemerintahan dan pemimpinnya adalah 'legitimate' (sah) berhubung hak kebebasan bersuara mengikut Perlembagaan.
"Kita juga berasa kritikan yang dibuat kepada kerajaan boleh menjadikan check and balance (perimbangan) supaya kerajaan sedar mungkin ada kelemahan mengenai perkara yang dikritik rakyat itu.

"Cuma, oleh kerana kita sebuah negara yang datang dari latar belakang agama, budaya dan adat resam yang berbeza, kita mesti jaga keharmonian, tidak ada kebebasan bersuara yang mutlak," katanya selepas merasmikan gelanggang futsal baru di Taman Kuala Kangsar di sini, semalam.

Ketika mengumumkan pemansuhan Akta Hasutan 1984 dan digantikan AKN, Najib dilaporkan berkata, akta baru itu bertujuan memberi penekanan pemupukan semangat harmoni, saling menghormati masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas turut menjelaskan Akta Hasutan perlu dimansuhkan kerana perkataan 'hasutan' sendiri membawa konotasi negatif.

Pelihara hubungan kaum

"Tapi ada yang tak lapuk seperti hubungan antara kaum dan kedudukan agama, kedudukan raja-raja Melayu yang mesti dipelihara, tapi jika nak larang orang daripada mengkritik kerajaan, saya ingat tak boleh pakai lagi," katanya.

Nazri meminta semua pihak tidak memberi pandangan melulu sebaliknya menunggu isi kandungan undang-undang berkenaan dan meminta rakyat memberi pandangan masing-masing kepada pihak Pejabat Peguam Negara yang sudah arah untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Katanya, draf rang undang-undang itu akan dikemukakan untuk kelulusan Kabinet, tetapi mengakui mungkin tidak sempat membentangkannya pada sesi Parlimen September ini sebaliknya tahun depan.

Sementara itu, Ketua Penerangan PERKASA, Roslan Kassim, berkata penggubalan akta baru itu adalah langkah berani Perdana Menteri dalam mendepani keperluan rakyat setelah beberapa akta sebelum ini dimansuhkan.

"Ini adalah satu langkah berani kerajaan dipimpin Najib, hanya pemimpin berani saja sanggup membuat keputusan ini. Ia juga membuktikan Perdana Menteri mengotakan janjinya.

"Bagaimanapun bagi saya keterbukaan ini perlu juga ada hadnya, bersuara dengan fakta dan bukannya menjadikannya tempat untuk melemparkan fitnah. Gunalah keterbukaan kerajaan ini demi kepentingan rakyat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagi Penganalisis politik, Prof Ahmad Atory Hussain, berkata walaupun tanpa akta baru berkenaan, kerajaan sentiasa memberi ruang kepada rakyat untuk dikritik bagi memperbaiki kelemahan.

"Saya melihat kerajaan yang ada hari ini sentiasa dikritik rakyat dan tidak pernah menyekat rakyat daripada terus mengkritiknya," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berpendapat kebebasan bersuara yang diberikan kerajaan perlu ada batasannya bagi menjamin keharmonian kaum terbina sejak sekian lama.

'Saya hilang sahabat akrab'

Posted: 14 Jul 2012 02:19 PM PDT

Tanah Merah: "Saya hilang sahabat yang begitu akrab," kata Abdul Muhaimin Yahya, 25, rakan pelajar Malaysia yang maut terjatuh dari van selepas bergelut dengan perompak di Kaherah, Rabu lalu.

Menceritakan kejadian malang berkenaan, pelajar tahun akhir Maahad Qiraat Shaoubra itu, berkata beliau bersama arwah, Abdul Khafiz Mohamed Norok, 25, baru saja selesai menghadiri majlis pertemuan dengan kira-kira 50 pelajar Malaysia di Abud, berhampiran kediaman mereka di Shoubra, pinggir Kaherah. "Ketika itu kira-kira jam 1.30 pagi (waktu tempatan) dan perkhidmatan bas sudah tamat. Untuk ke Shoubra, terpaksa naik teksi atau van. Kami tahan dua van, namun semuanya penuh sebelum van ketiga berhenti.

Saya melawan lelaki itu selepas dia mengacukan pisau ke perut, tetapi dia menggigit tangan saya"

Untuk berita lanjut dapatkan akhbar BH Ahad hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan