Rabu, 11 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Keputusan permohonan ke IPTA jumaat ini

Posted: 11 Jul 2012 04:31 AM PDT

KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf bagi sesi akademik 2012/2013 akan diumumkan Jumaat ini.

Pemangku Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Ismail Nor Hassan Basri berkata calon yang memohon boleh menyemak keputusan permohonan mulai jam 12 tengah hari.

"Pemohon boleh menyemak permohonan mereka menerusi tiga saluran utama iaitu laman sesawang KPT; talian bantuan (Helpline), talian hotline; dan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Calon boleh menyemak menerusi laman web http:upu.mohe.gov.my atau di talian hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777 dan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS); UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.


Menurut laman sesawang KPT, keputusan kemasukan permohonan akan dikeluarkan pada minggu kedua bulan Julai tetapi tiada sebarang tarikh dinyatakan.


Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa menafikan berlakunya kelewatan keputusan permohonan kemasukan ke IPTA.

"Keputusan bukan lambat. Memang 13 Julai telah ditetapkan. Keputusan belum boleh disemak, belum dimasukkan ke dalam sistem. Pemilihan akhir oleh universiti sedang berlangsung," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/11


Polis kenalpasti individu hantar lelaki, wanita ke bangunan JPM

Posted: 11 Jul 2012 04:23 AM PDT

KUALA LUMPUR: Polis telah mengenalpasti individu yang bertanggungjawab menghantar seorang lelaki dan seorang wanita di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lepas sebelum mereka mengamuk.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata individu tersebut dikesan melalui siasatan polis sejurus selepas kejadian itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan.

"Kita sekarang sedang mencari pemilik kenderaan yang menghantar pasangan itu. Kita juga turut menyiasat latar belakang lelaki dan wanita yang mengamuk itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.


Pada hari berkenaan, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya "Imam Mahadi" dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.


Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/11


1 ulasan:

  1. thanks for the info.. :) Btw , keputusan USM pon keluar tarikh yang sama ke ?

    BalasPadam