Jumaat, 13 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Lencongan trafik di Lebuhraya Persekutuan Laluan 2

Posted: 13 Jul 2012 05:27 AM PDT

KUALA LUMPUR: Skim lencongan trafik bagi kedua-dua haluan akan dijalankan di Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, antara KM18.7 dan KM19.6, bermula Ahad (15 Julai) hingga 31 Mac tahun depan.

Menurut Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) lencongan itu bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan projek sambungan laluan aliran transit ringan (LRT) Kelana Jaya.

Pembinaan di bahagian tengah lebuh raya itu akan menjejaskan lorong memotong di kedua-dua haluan lebuh raya menuju ke Kuala Lumpur dan menuju Klang/Shah Alam, kata syarikat itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berikutan itu, lorong motosikal menuju ke Klang akan ditutup sementara dan dilencongkan ke laluan khas sebelum bersatu kembali di laluan yang tidak terjejas menghala Klang/Shah Alam.


Semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan trafik dan papan tanda keselamatan dan memandu atau menunggang dengan berhati-hati.


Untuk pertanyaan, mereka boleh menghubungi Hotline Prasarana di 03-22679898.

Projek sambungan laluan LRT Kelana Jaya akan bermula dari stesen Kelana Jaya, melalui Subang Jaya dan USJ sebelum berakhir di Putra Heights, meliputi jarak sejauh 17 kilometer dan mempunyai 12 stesen. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13


Pelaksanaan Sistem Laporan Polis PDRM diperluas ke seluruh Sabah

Posted: 13 Jul 2012 04:58 AM PDT

TAWAU: Pelaksanaan Sistem Laporan Polis (PRS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diperluas ke seluruh Sabah bagi meningkatkan perkhidmatan pasukan keselamatan itu.

Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah berkata menerusi langkah itu, semua 20 ibu pejabat polis daerah, 59 balai polis termasuk tujuh di kawasan pedalaman dan pulau akan dihubungkan dengan sistem komputer yang dilengkapi aplikasi PRS.

"Dengan pelaksanaan secara menyeluruh, projek PRS diyakini dapat menyumbang secara ketara kepada PDRM dalam menjalankan tugas pengoperasian seperti pengurusan laporan polis, mempercepatkan pengurusan siasatan dan membuat perancangan pencegahan jenayah berdasarkan statistik yang dijana PRS," katanya berucap melancarkan fasa 4 sistem PRS peringkat Sabah, di sini, hari ini.

PRS merupakan sistem teknologi 'web' komprehensif dan berintegrasi yang dibangunkan PDRM untuk urusan merangkumi proses penerimaan laporan polis, proses pembukaan kertas siasatan, proses siasatan,proses pendakwaan dan proses penyediaan laporan berkala secara elektronik.


Pada masa ini hanya Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dan Labuan dilengkapi sistem itu di Sabah.


Zulkifli berkata menerusi PRS, masyarakat boleh membuat aduan polis dan memperoleh salinan laporan di mana-mana balai polis di seluruh negara, serta memperkasa aspek penyiasatan polis melalui pemantauan dan penyeliaan secara terkini.

Katanya PDRM menyasarkan penggunaan PRS sehingga 50 peratus untuk polis kontinjen Sabah pada akhir tahun ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/13


Tiada ulasan:

Catat Ulasan