Ahad, 6 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tragedi ‘kepala air’

Posted: 05 May 2012 08:50 PM PDT

TAIPING: Tragedi seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang hilang dihanyutkan 'kepala air' ketika mandi bersama keluarganya di kawasan perkelahan Sungai Larah, Bukit Berapit, di sini, petang kelmarin, berakhir apabila mayatnya ditemui tersangkut di celah pokok, enam jam selepas kejadian.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, Alif Aiman Zamzuri bersama ibu dan bapanya berdepan saat mencemaskan apabila dihanyutkan arus deras ketika mandi di kawasan perkelahan itu, menyebabkan kanak-kanak itu hilang dibawa arus manakala ibu dan bapanya menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebatang pokok.


Mayat Alif Aiman ditemui sepasukan anggota bomba dan penyelamat Taiping, jam 10.45 malam, 500 meter dari tempat mangsa mandi bersama keluarganya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga dan dibawa ke kampung halaman di Kampung Telou Kanan, Kuala Ketil, Kedah pagi semalam untuk dikebumikan.


Beliau berkata, dalam kejadian kelmarin, mangsa bersama ibu bapanya dalam perjalanan dari Ipoh ke Baling, Kedah sebelum berhenti di tepi jalan berhampiran kawasan perkelahan itu untuk berehat dan mandi.


"Bagaimanapun, ketika mandi di sungai, tiba-tiba arus deras muncul dari arah hulu sebelum menghanyutkan ketiga-tiga mangsa.

"Pasangan suami isteri itu sempat menyelamatkan diri dengan berpaut pada pokok manakala mangsa hanyut dan hilang," katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Katanya, pihaknya mengesahkan kemunculan arus deras di sungai berpunca daripada limpahan takungan air di atas bukit yang pecah.




Galak sektor pelancongan

Posted: 05 May 2012 08:48 PM PDT

KUALA TERENGGANU: Aktiviti candat sotong bukan sekadar mempopularkan Terengganu di mata dunia mengenai cara penangkapan hasil laut itu secara tradisional, malah mampu membawa pelancong dari seluruh dunia ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said percaya aktiviti unik itu mampu meningkatkan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara untuk menyelami pelbagai lagi aktiviti dan tradisi Terengganu yang tersendiri.


"Tahun depan, kita akan cuba bawa peserta luar negara pula untuk menyertai aktiviti candat sotong di negeri ini, seiring dengan Tahun Melawat Terengganu 2013.

"Aktiviti mencandat sotong bukan sekadar menambah pendapatan nelayan menerusi penyewaan bot, malah peniaga kecil turut meraih keuntungan menerusi pertambahan jualan perniagaan masing-masing," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Candat Sotong Harian Metro (KCSHM) 2012 dan melancarkan Kelab Berbasikal Harian Metro (MCC) di sini, malam kelmarin.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro, Othman Mamat yang juga Pengerusi KCSHM.


Ahmad berkata, aktiviti berbasikal menerusi kayuhan santai pada waktu malam pula kian diminati ramai dan menjadi hobi baru di kalangan rakyat Terengganu tanpa mengira usia. "Program berbasikal ini baik untuk remaja kerana ia menghindarkan mereka daripada terjebak dengan perkara tidak elok dan pada masa sama memeriahkan bandar raya Kuala Terengganu," katanya.

Mustapa berkata, Harian Metro mengucapkan terima kasih kepada semua agensi terbabit menjayakan KCSHM, terutama kerajaan Terengganu yang terus memberi kepercayaan kepada akhbar untuk menganjurkan karnival berkenaan sehingga dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Terengganu.


"Harian Metro terpanggil untuk terus menganjurkan KCSHM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu kerana aktiviti candat sotong sangat unik dan hanya wujud di Terengganu.

"Pelancaran MCC pula bertujuan mendekatkan akhbar ini dengan masyarakat dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan aktiviti berfaedah," katanya.


Majlis pelepasan lebih 300 peserta candat disempurnakan Tengku Sri Temenggong Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud jam 5 petang semalam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan