Jumaat, 6 Julai 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Pegawai SPRM kena 13 tahun, denda RM2.3j

Posted: 06 Jul 2012 04:56 PM PDT

Shah Alam: Akibat menerima rasuah RM5,000, seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didenda RM2.275 juta dan dihukum penjara 13 tahun.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, M Mohan, dijatuhkan hukuman itu oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah berhubung siasatan kes seorang suspek tiga tahun lalu. Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohan, 39, dihukum penjara 13 tahun dan denda RM1.25 juta bagi tuduhan pertama, 13 tahun dan denda RM1 juta tuduhan kedua dan penjara 13 tahun dan denda RM25,000 tuduhan ketiga. Semua hukuman penjara berjalan secara serentak.

Bagi tuduhan pertama, Mohan dituduh meminta suapan RM250,000 daripada A Sinnaiah, 48, sebagai dorongan tidak meneruskan siasatan terhadap Sinnaiah yang disyaki melakukan rasuah.

Tuduhan kedua adalah secara rasuah setuju menerima suapan wang tunai RM200,000 sebagai dorongan melakukan perkara yang sama. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat SPRM Tingkat 14, Plaza Masalam di sini antara jam 11 pagi dan 1 tengah hari 22 Oktober 2009.

Tuduhan ketiga memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM5,000 daripada Sinnaiah di Restoran Sri Pandi Corner, Pandan Indah Ampang, antara jam 11 pagi dan 12 tengah hari, 25 Oktober 2009.
Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara, sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Tinggi dan meningkatkan jaminan daripada RM7,000 kepada RM50,000.

Bagi setiap tuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 24 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Nik Azrin Zairin Nik Abdullah, manakala Mohan diwakili peguam R Ratha Krishnan. Seramai 23 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan tampil memberi keterangan bermula 23 Ogos 2010.

INFO

Hukuman 3 tuduhan

- 13 tahun dan denda RM1.25 juta bagi tuduhan pertama.
- 13 tahun dan denda RM1 juta tuduhan kedua.
- 13 tahun dan denda RM25,000 tuduhan ketiga.

Pesatkan lagi pelancongan

Posted: 06 Jul 2012 04:50 PM PDT

Malaysia mesti pro aktif hadapi saingi sengit negara jiran

Sektor pelancongan Malaysia perlu dikembangkan dengan lebih pesat dalam menghadapi persaingan sengit negara jiran. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Pertubuhan Pelancongan Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) mengumumkan Malaysia kini di tempat kesembilan dalam ketibaan pelancong dan ke-14 dari segi pendapatan sektor itu di dunia.
"Kita hendaklah berusaha supaya tidak tercicir kepada pesaing, kekal dalam memenuhi sasaran sektor itu seperti digariskan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

"Kita perlu memastikan peningkatan pendapatan industri pelancongan dan memastikan pelancong tinggal lebih lama dalam negara dengan perbelanjaan yang meningkat.

"Matlamat itu ditetapkan dalam 13 projek permulaan di bawah Rancangan Pembangunan Transformasi Pelancongan meliputi keupayaan yang mewah, menyeronokkan keluarga, pengembaraan alam semula jadi, pelancongan perniagaan serta acara antarabangsa tersenarai dalam kalendar sukan.

"Sektor pelancongan memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan taraf hidup rakyat.
"Malaysia dalam konteks ini tidak boleh terkecuali meningkatkan prasarana pelancongan supaya lebih berdaya saing dan berjaya mengatasi pesaing," katanya kepada media Malaysia, di sini semalam.

Terdahulu beliau mendengar sesi taklimat pelancongan Bali bertema 'Strategi dan Perencanaan Jangka Panjang Untuk Pembangunan Pelancongan di Bali' yang disampaikan Pengarah Pelancongan Bali, Ida Bagus Kade Subhiksu.

Muhyiddin diiringi Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan; Pengarah Pelancongan Malaysia di Jakarta, Nor Aznan Sulaiman dan Pengarah Pendidikan Malaysia di Jakarta, Prof Dr Juzhar Jusoh.

Memetik Bali sebagai pasaran pelancongan yang semakin kompetitif, Muhyiddin berkata, Malaysia juga boleh belajar daripada pengalaman negara lain dalam mengekal dan meningkatkan daya tarikan pelancongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan