Ahad, 8 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Warga emas maut ditetak jiran

Posted: 08 Jul 2012 03:17 AM PDT

TAIPING: Seorang lelaki warga emas mati ditetak jirannya adalah antara tiga kes bunuh yang berlaku di tiga daerah di Perak dalam tempoh 24 jam sejak malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata dalam kejadian di Taman Changkat, Kampar pada 9.20 malam tadi, Wong Cheong Heng, 73, meninggal dunia akibat ditetak di bahagian pinggang dan kepala menggunakan sebilah parang oleh jirannya yang juga warga emas. Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
"Difahamkan perselisihan faham antara mereka sudah lama berlaku dan semalam mereka berbalah dan isunya masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri 'Hari Kesedaran Jenayah dan Tinjauan Mesra' anjuran Polis Diraja Malaysia Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis sudah menahan suspek yang berusia 62 tahun itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, dalam kejadian lain di Kuala Kangsar, seorang pengawal keselamatan sebuah kilang getah di Jalan Taiping menembak seorang lelaki yang menceroboh masuk ke kawasan kilang berkenaan.

Mohd Shukri berkata, dalam kejadian pada 6.30 pagi ini, pengawal keselamatan berkenaan menembak lelaki berumur 46 tahun itu yang dipercayai ingin mencuri di kilang berkenaan.
"Kawasan itu pernah dimasuki pencuri dan atas rasa takut dia melepaskan tembakan," katanya.

Beliau berkata, polis menahan pengawal keselamatan itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian lain di Jalan Tupai, Taiping, seorang pemilik kedai perabot, Ong Chee Leong, 58, mati ditikam dengan pisau oleh seorang daripada empat perompak yang memasuki kedai itu pada pukul 10.30 pagi ini.

"Berlaku pertelingkahan antara mereka dan mangsa telah ditikam," katanya.

Katanya, polis sedang memburu keempat-empat suspek. - BERNAMA

Idea Kampung Baru kedua tidak relevan: Raja Nong Chik

Posted: 08 Jul 2012 03:11 AM PDT

KUALA LUMPUR: Idea pembangkang untuk mewujudkan Kampung Baru kedua di kawasan luar Kuala Lumpur adalah satu tindakan yang kurang bijak dan tidak relevan sama sekali.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata cadangan itu menunjukkan sikap pembangkang yang hanya pandai bercakap tidak tidak memikirkan cara untuk merealisasikannya. "Lokasi mana nak bina Kampung Baru kedua... Mungkin di Selangor. Mereka tidak fikir kesan tindakan itu yang mana ia sudah pasti menyusahkan penduduk Kampung Baru sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa kali ke-27 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, senarai anggota jawatankuasa Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) akan diumumkan pada 18 Julai.

Projek pembangunan Kampung Baru meliputi kawasan seluas 151.57 hektar iaitu lebih luas daripada projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC) iaitu 40 hektar, yang juga antara projek pembangunan hartanah terbesar di dunia.

Dalam perkembangan lain, Raja Nong Chik berkata kerajaan sentiasa menitikberat soal kebajikan penduduk sebelum melaksanakan sebarang pembangunan di kawasan sekitar Kuala Lumpur.

Dalam rancangan pembangunan Kampung Kerinchi, beliau berkata kerajaan hanya memindahkan penduduk ke kawasan baru yang berhampiran kediaman mereka kerana tidak mahu menyusahkan penduduk berkenaan seperti perlu menukar sekolah anak jika dipindahkan ke kawasan yang jauh dari kediaman asal mereka.
"Pembangunan Kampung Kerinchi adalah satu projek untuk rakyat tetapi apabila ia dipolitikkan oleh pembangkang.

"Akibatnya, lapan peratus penghuni yang menentang usaha pembangunan kerajaan itu hanya menerima pampasan RM70,000 manakala yang lain memperoleh rumah yang bernilai hampir setengah juta," katanya.

Seramai 421 penghuni rumah pangsa empat tingkat di Kampung Kerinchi bakal mendapat manfaat di bawah konsep Kehidupan Baru K-Baru apabila pembinaan Kerinchi Residensi berkeluasan setiap unit 882 kaki persegi dengan tempoh pajakan 99 tahun, dijangka siap menjelang tahun 2015. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan