Selasa, 15 Mac 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Hobi jadi pendapatan lumayan

Posted:

Hobi jadi pendapatan lumayan

Hobi jadi pendapatan lumayan

Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my


SPESIES katak yang jarang ditemui turut dijual di Newhillz Pets di Kampung Tun Razak, Bukit Katil, Melaka. - utusan/Nas Norziela Nasbah


MELAKA 14 Mac - Hobi memelihara haiwan peliharaan sudah menjadi kelaziman di kalangan peminat haiwan.

Kini, minat untuk membela binatang eksotik semakin meningkat di kalangan masyarakat kerana keunikannya dan memiliki haiwan tersebut memberi satu kepuasan serta kebanggaan.

Terdapat pelbagai jenis binatang yang sering dipelihara dan ia terdiri daripada pelbagai spesies yang jarang ditemui.

Malah terdapat juga binatang peliharaan yang dipelihara bukan sahaja mahal tetapi memerlukan perbelanjaan tinggi untuk menjaganya.

Tidak hairanlah perniagaan haiwan peliharaan menjanjikan pendapatan lumayan.

Pemilik kedai menjual haiwan peliharaan, Rosahairil Tan Roslan Tan berkata, perniagaannya bermula dengan hobi memelihara arnab pelbagai spesies sejak berusia 12 tahun.

Rosahairil, 32, memberitahu pada awalnya dia mula memelihara kucing dan minat terhadap haiwan peliharaan lain bermula selepas itu.

Jelasnya, naluri cintakan alam sekitar dan haiwan telah mendorong dirinya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan.

Menurut pemegang Ijazah Biologi Pemuliharaan pengkhususan Zoologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, minatnya pada haiwan peliharaan membuka perspektif baru apabila berjinak dalam bidang perniagaan pula.

Berbekalkan ilmu yang ditimba semasa masih menuntut, bermula tahun 2008 Rosahairil memulakan perniagaan haiwan Newhillz Pets di rumahnya di Kampung Tun Razak, di Bukit Katil di sini.

Fokusnya lebih kepada penjualan arnab yang terdiri daripada pelbagai spesies termasuk dari baka Holland Lop, Teddy Bear, Lop, Rex, Lion Head dan New Zealand White.

"Pada mulanya saya telah membeli dua ekor arnab kemudian arnab tersebut dibiakkan bagi mendapat anak untuk dijual.

"Bermula dari situ arnab-arnab saya semakin banyak dan permintaan juga bertambah dari semasa ke semasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Rosahairil, nilai pasaran arnab ditentukan oleh baka iaitu antara RM50 dan ada kalanya mencecah hingga RM3,500.

"Baka Holland Lop adalah antara arnab yang bernilai tinggi dan ia terbahagi kepada dua kategori iaitu baka kategori persembahan dan baka kategori pembiakan.

"Baka kategori persembahan lebih mahal terutama kalau salasilah ketulenan bakanya dijaga tanpa kacukan daripada baka berlainan," katanya.

Tambah beliau, arnab yang dipelihara boleh menjangkau usia 9 hingga 15 tahun bergantung kepada teknik penjagaan dan pemakanan yang betul.

Berbeza dengan haiwan peliharaan lain, kos memelihara spesies itu tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi iaitu antara RM30 hingga RM50 sebulan untuk membeli makanan dan perkakas lain.

Selain arnab, Rosahairil juga menjual pelbagai haiwan peliharaan lain seperti ikan laga, ular, kucing, kala jengking, cicak, tarantula, hamster, tikus, kura-kura dan katak.

Dalam pada itu, seiring dengan perkembangan dalam bidang teknologi dan informasi, Rosahairil menggunakan kaedah yang berbeza untuk menjual produknya.

Dia menggunakan teknologi terkini dengan memasarkan arnab secara online menerusi blog, laman sesawang dan laman sosial seperti Facebook.

"Dengan cara ini proses jual beli menjadi lebih mudah kerana pembeli boleh melayari Internet pada bila-bila masa di mana sahaja mereka berada.

"Keadaan ini secara tidak langsung meluaskan lagi ruang lingkup perniagaan dan saya boleh mendapat maklum balas para pelanggan dengan lebih mudah dan pantas," katanya.

Selain itu, Rosahairil turut menjual haiwan peliharaan di Car Boot Sale anjuran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) setiap Ahad di Ayer Keroh.

Pelanggannya bukan sahaja dari Melaka tetapi juga dari Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Jelasnya, memelihara binatang kesayangan bukan sahaja dapat memastikan spesies itu tidak pupus malah dapat dijadikan sebagai punca pendapatan lumayan.

Mengenai perancangan masa hadapan, Rosahairil bercadang mencari tapak untuk membuat taman arnab bagi memperkenalkan baka-baka arnab yang terdapat di seluruh dunia.

Pada masa sama, dia turut merancang untuk menubuhkan kelab pencinta arnab di negeri ini supaya orang ramai mendapat lebih banyak informasi berguna berkaitan haiwan comel itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Norehan sahut cabaran suami ceburi bidang kecantikan

Posted:

Norehan sahut cabaran suami ceburi bidang kecantikan

Norehan sahut cabaran suami ceburi bidang kecantikan


NOREHAN menyolek seorang model di Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


JEMPOL 14 Mac - Bermodalkan RM30,000 dan berbekalkan kemahiran menggunting rambut yang dipelajarinya di sebuah pusat pengajian swasta di Seremban, Norehan Abd. Majid, 38, memulakan langkah menceburi perniagaan salon rambut.

Walaupun secara kecil-kecilan, Norehan atau lebih mesra dengan gelaran Ann tidak lagi menoleh ke belakang selepas itu.

Kini, selepas lebih 10 tahun, beliau mengembangkan perniagaan dengan membuka butik pengantin pula.

Menurutnya, cabaran yang diterima daripada suaminya, Nazri Aziz, 49, membuatkannya nekad untuk menceburi bidang kecantikan.

"Sebelum membuka perniagaan ini, saya bekerja sebagai pemandu van sekolah. Sementara menunggu pelajar sekolah keluar, saya akan berniaga makanan ringan di luar sekolah. Pada waktu petang pula, saya belajar menggunting rambut dan solekan.

"Walaupun perwatakan saya agak kasar dan pernah digelar 'tomboi' oleh rakan-rakan, namun, saya tetap mengikuti kursus tersebut demi menyahut cabaran," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bermula dengan satu lot kedai di pekan Batu Kikir pada 2000, dia kini mampu membesarkan premis perniagaannya.

Sejak itu, nama Salon dan Andaman Ann mula meniti di bibir penduduk sekitar daerah ini sehingga ke Kuala Lumpur.

"Saya juga ada membuka cawangan di Seremban dan bercadang untuk menambah cawangan lain dalam masa terdekat.

"Kebiasaannya tempahan akan diutamakan di negeri ini. Bukan tidak mahu pergi jauh tetapi saya lebih selesa jika buat masa ini tumpuan di sekitar negeri ini.

Ann memberitahu, butiknya bukan sahaja menjadi pilihan masyarakat setempat malah, turut menjadi pilihan di kalangan orang kenamaan.

"Musim cuti sekolah memang kami tak menang tangan nak penuhi permintaan pengantin yang perlukan khidmat solekan serta baju pengantin.

"Terlalu banyak yang perlu dihadapi untuk meneruskan perniagaan ini seperti melayan kerenah pelanggan yang pelbagai serta mencari pekerja yang benar-benar mahir," katanya.

Menurutnya, agak sukar untuk mendapatkan pekerja yang mempunyai pelbagai kemahiran seperti solekan, hiasan pelamin dan menjahit baju pengantin.

"Kita perlu peka dengan perkembangan semasa dan kepelbagaian corak rekaan baju kerana ramai pelanggan mahukan sesuatu yang baru pada majlis bersejarah mereka.

"Kita juga kena kreatif dan tidak malu untuk belajar kerana setiap hari banyak rekaan baru muncul dan kita harus mengejar pembaharuan itu.

"Kalau nak maju, tak boleh bergantung kepada corak rekaan lama tapi kena pandai sesuaikan imej pengantin dengan tema perkahwinan mereka," jelasnya.

Bagi ibu kepada lima orang anak itu, bajet pengantin memainkan peranan untuk mendapatkan hasil rekaan yang menarik agar majlis bersejarah itu tidak membosankan serta menyusahkan pengantin sendiri.

Di butik itu, katanya, pakej yang ditawarkan adalah serendah RM800 hingga RM2,900 berdasarkan bajet pengantin serta kelengkapan yang diperlukan mereka.

Bagi menjadikan Salon dan Andaman Ann sebagai pusat sehenti bagi pasangan pengantin, Ann turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain seperti perkhidmatan jurugambar, kanopi, hiasan meja makan, salon dan karaoke.

Jurugambar, Naziera Nazri, 18, yang juga anak kepada Ann, memulakan langkah dalam bidang fotografi seawal usia 15 tahun.

"Minat saya mula timbul apabila sering mengikuti ayah dan ibu ke majlis perkahwinan. Jika ibu menyolek pengantin, ayah pula merakam gambar.

"Selain belajar dengan ayah, saya juga mengikuti kelas di luar. Apa yang penting saya tetap meneruskan persekolahan dan tidak mengabaikan pelajaran," katanya.

Beliau berkata, dia kini diberi kepercayaan untuk merakam gambar pengantin tanpa perlu dibantu ayahnya.

Jelasnya, perkhidmatan mengambil gambar ditawarkan pada harga serendah RM750 hingga RM2,500.

Namun, Naziera juga berdepan dengan cabaran seperti pelanggan tidak yakin kemampuannya merakam gambar yang baik pada hari bahagia mereka.

"Apabila saya menunjukkan hasil yang dirakam sebelum ini, baru mereka yakin dengan kebolehan saya. Jadi selepas ini saya terpaksa merahsiakan umur saya.

"Saya bercadang untuk membantu ibu dalam perniagaan ini. Zaman ini kemahiran amat diperlukan. Jadi saya akan menggunakan apa yang ada dengan sebaiknya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tanah terbiar 40.8 hektar dipulihkan

Posted:

Tanah terbiar 40.8 hektar dipulihkan

Tanah terbiar 40.8 hektar dipulihkan

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my


MOHAMAD Hasan menanam pokok ketika merasmikan Projek Pembangunan Tanah Terbiar Kampung Jawa, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.


JEMPOL 14 Mac – Seluas 40.8 hektar tanah di Kampung Jawa, dekat sini yang terbiar sejak 40 tahun lalu sedang dipulihkan untuk mengeluarkan hasil pertanian.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan itu sedang diusahakan dengan tanaman kelapa pandan, nangka, pisang, tebu dan buah jambu yang tidak berbiji dengan bantuan dan kerjasama daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Pertanian.

Beliau berkata, ia adalah projek pertama pemulihan tanah terbiar di negeri ini pada tahun ini yang akan disusuli dengan projek ladang rakyat dan sebanyak RM3.2 juta akan dibelanjakan untuk tujuan itu.

"Kawasan tanah terbiar lebih 40 tahun ini tidak dapat diusahakan sebelum ini kerana terlampau ramai pemiliknya yang tidak dapat mencapai kata sepakat untuk memajukannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Projek Pembangunan Tanah Terbiar Kampung Jawa, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohamad Hashim Abdullah.

Kejayaan membangunkan tanah terbiar itu, kata Mohamad, sebahagiannya adalah hasil daripada seminar dan simposium dianjurkan oleh Jabatan Pertanian semasa sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri tahun lalu yang turut disertai pemimpin masyarakat seperti ketua kampung dan datuk lembaga adat.

Jelasnya, pada sesi itu, mereka telah didedahkan dengan selok-belok Kanun Tanah Negara dan bagaimana untuk mengusahakan tanah terbiar yang banyak terdapat di negeri ini.

"Mereka sudah tahu macam mana menyediakan tanah untuk diusahakan sama ada secara sendiri atau oleh pengusaha lain," katanya.

Beliau menarik perhatian, sebanyak 76.8 hektar tanah terbiar di negeri itu telah dapat dipulihkan sejak awal tahun ini.

Tambahnya, tanah terbiar terbahagi kepada dua kategori iaitu ladang dan sawah.

"Masalah ladang terbiar telah dapat diselesaikan dengan tanaman berkelompok kelapa sawit atau getah hasil bantuan agensi seperti Felda dan Felcra tetapi sawah masih perlu diberi perhatian.

"Masalahnya di negeri ini, tanah terbiar dimiliki oleh banyak tuan punya yang kebanyakannya enggan berunding jika ada usaha memulihkannya dan bukannya disebabkan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian yang tidak mengambil daya usaha ke arah itu.

"Pelbagai cara dan usaha untuk memujuk dan memberikan penerangan kepada ketua kampung dan datuk lembaga adat telah dilakukan bagi mencari jalan agar tanah terbiar di tempat mereka dapat dipulihkan," ujarnya.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan anak pokok buah-buahan kepada wakil rakyat di kawasan Parlimen Jempol, bantuan kewangan dan alat sokongan hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Jempol dan bantuan usahawan Mara kepada ibu tunggal di kampung tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan