Ahad, 13 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Berani langkau sempadan

Posted:

Berani langkau sempadan

Berani langkau sempadan

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN dan HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


Sebahagian dari peserta yang hadir pada Majlis Persidangan Kebangsaan Agenda Transformasi Melayu Islam di Putrajaya, Sabtu lalu. - utusan/ HANAFI KHAMIS


KEJAYAAN sesebuah kaum bergantung pada bagaimana kaum berkenaan merencanakan perjalanan hidup masing-masing. Lihat saja bagaimana jatuh bangun kerajaan di muka bumi Tuhan ini bermula kerajaan Yunani, Rom, Uthamaniyah dan Kesultanan Melayu Melaka. Semuanya bergantung kepada perencanaan yang digerakkan oleh mereka sendiri.

Jika baik perencanaan perjalanannya, maka berdiri megahlah kaum tersebut serta dipandang tinggi oleh kaum lain. Tetapi jika buruk perencanaannya, maka akan dipandang rendahlah oleh kaum lain. Malah mungkin membolehkan mereka dikuasai dengan mudah oleh pihak yang suka mengambil peluang.

Sehubungan itu, orang Melayu yang sudah semestinya beragama Islam di negara ini perlu mempunyai perencanaan perjalanan kehidupan yang baik bagi memastikan mereka mempunyai masa depan lebih terjamin. Pada era globalisasi dan dunia tidak lagi dipisahkan oleh sempadan negara, melakukan transformasi merupakan kunci utama dalam memastikan nasib Melayu Islam terus terbela dan terjamin.

Melihat betapa pentingnya melakukan transformasi itu perlu dilakukan oleh Melayu Islam, kelmarin Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) dan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan Persidangan Kebangsaan Agenda Tranformasi Melayu Islam di Hotel Pullman, Putrajaya sebagai usaha untuk merealisasikan perkara tersebut.

Memperkasa ekonomi Melayu merupakan perkara pokok utama yang menjadi perhatian kepada 300 orang Melayu yang menghadiri persidangan tersebut. Mereka terdiri daripada ahli politik, usahawan, wakil syarikat milik kerajaan (GLC), badan pertubuhan kerajaan (NGO) dan pemimpin pelajar.

Dalam persidangan yang diadakan selama setengah hari itu, pembentangan kertas kerja daripada dua tokoh korporat iaitu Datuk Dr. Mohd. Ghazali Mohd. Noor yang bertajuk "Agenda Transformasi Melayu Islam: Menghadapi Ekonomi Baru dan Realiti Politik" dan Tan Sri Muhammad Ali Hashim dengan tajuk "Wakaf Korporat Memperkasa Ekonomi Melayu" menjadi mukadimah permulaan untuk menekankan tentang betapa pentingnya penguasaan ekonomi oleh orang Melayu.

Dr. Mohd. Ghazali memberi penekanan kepada tiga objektif utama untuk agenda transformasi tersebut. Iaitu tentang bagaimana untuk memupuk seorang Melayu Muslim yang kuat, melakukan reformasi terhadap mandat entiti Melayu Muslim dan mempertahankan hala tuju Melayu Muslim di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) serta yang akan datang.

Menurutnya, untuk mencapai ketiga-tiga objektif tersebut, orang Melayu perlu melakukan transformasi minda dalam membenarkan perkara itu benar-benar berlaku.

Sementara itu, bagi Muhammad Ali, ketidakseimbangan dalam pengagihan ekonomi kepada kaum-kaum di negara ini harus diubah dengan kadar yang segera bagi memastikan kaum bumiputera tidak ketinggalan ke belakang dan dapat terus berdaya saing mengorak langkah ke hadapan.

Beliau menarik perhatian para peserta yang hadir dengan idea penubuhan Wakaf Korporat semasa beliau menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp).

Muhammad Ali menerangkan bagaimana penubuhan wakaf korporat itu memberi implikasi besar kepada masa depan JCorp sebagai sebuah badan korporat dalam perjuangan menjayakan jihad bisnes untuk kepentingan bangsa, negara dan umat Islam.

"Pada masa tersebut juga, ia memberi pengiktirafan undang-undang kepada institusi Waqaf Korporat menerusi penubuhan Waqaf An Nur Corporation Berhad (WANCorp).

"Oleh itu, WANCorp berpotensi memainkan peranan strategik dalam konteks menjayakan agenda transformasi Melayu Islam dalam konteks Model Baru Ekonomi," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menggesa bangsa Melayu Islam yang merupakan penduduk majoriti negara ini bangkit melakukan transformasi dalam memperjuangkan hak ekonomi mereka supaya tidak terus ketinggalan.

Orang Melayu, katanya, perlu sedar bahawa kaum lain di negara ini telah jauh ke depan dalam penguasaan ekonomi dan tidak boleh terlalu bergantung kepada penguasaan politik semata-mata.

Beliau menegaskan, ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara kaum yang berlaku ketika ini perlu diubah bagi memastikan nasib bangsa Melayu pada masa depan lebih terjamin dan terus maju.

Menurutnya, sudah tiba masanya generasi muda Melayu Islam memainkan peranan terutamanya golongan mahasiswa dengan berusaha mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mendalam serta asas kukuh yang berkait rapat dengan ekonomi.

"Generasi masa depan perlu mempertingkatkan ilmu mengenai bidang ekonomi dan menyusun strategi penjanaan ekonomi dengan baik.

"Mereka perlu menjadi ejen perubahan yang boleh mengubah ekonomi bumiputera ke satu tahap lebih hebat dan mampu bersaing dengan kaum lain dalam bidang ekonomi," katanya.

Selesai sahaja sesi pembentangan daripada kedua-dua tokoh korporat itu , para peserta dibawa menghayati forum yang membahaskan mengenai pembinaan kekayaan berdasarkan lima bidang ekonomi utama (5-KEA) dalam agenda bumiputera seperti yang terdapat di dalam Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Forum itu dipengerusikan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh dan ahli panelnya terdiri daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Ismee Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Husni Salleh; penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abd. Aziz dan pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Idris yang turut memberi penekanan yang sama berkata, orang Melayu perlu melakukan transformasi dengan berani bertindak melangkaui sempadan dalam semua perkara bagi memastikan masa depan mereka di negara ini lebih terjamin.

Orang Melayu kini tidak boleh leka dan bangga dengan pencapaian yang mereka ada sekarang. Jika tidak, mereka akan ketinggalan berbanding kaum-kaum lain dalam semua perkara termasuklah penglibatan dalam bidang politik dan ekonomi.

Dalam hal ini, kata beliau, masyarakat Melayu Islam perlu bijak menggunakan kelebihan sumber wakaf sebagai pilihan yang ada untuk membantu membiayai pelaksanaan kegiatan ekonomi dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

"Sebagai permulaan, sebuah pasukan pengasas untuk program seumpama itu sedang berusaha bagi menubuhkan sebuah yayasan dana untuk membantu aktiviti perniagaan orang Melayu Islam. Penjanaan dana tersebut akan datang melalui banyak cara dan sebagai permulaan, pelancaran sebuah Dana Waqaf diumumkan pada Persidangan Kebangsaan Agenda Transformasi Melayu Islam hari ini," katanya.

Beliau memberi contoh, salah satu caranya ialah mengumpulkan dana tersebut dengan memulakan kutipan derma secara sukarela.

"Misalnya dalam tahun pertama ini, kita boleh mengutip sebanyak RM100 juta jika kita peroleh sumbangan sebanyak RM200 seorang daripada 350,000 lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan 150,000 Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara).

"Malah, sekiranya kita cuba melangkaui sempadan dengan melakukan kutipan ke luar negara pula, jumlah RM1 bilion dalam masa lima tahun akan dapat dicapai atau pun lebih singkat dari itu, " katanya.

Secara tidak langsung, pelancaran dana waqaf dalam persidangan itu menjadi aktiviti utama untuk memulakan agenda transformasi Melayu Islam untuk terus membina masa depan yang gemilang serta membuang sindrom terlalu bergantung kepada kerajaan bagi aktiviti ekonomi.

Dalam usaha untuk merealisasikan agenda transformasi Melayu Islam, penubuhan sebuah pergerakan kebangsaan yang juga merupakan hasil idea daripada persidangan tersebut dicadangkan untuk menjayakan proses perubahan.

Keanggotaan pergerakan kebangsaan tersebut adalah secara sukarela dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) akan melantik pemimpin dan kumpulan kerja dalam 10 bidang kerja untuk menetapkan agenda masing-masing bagi melancarkan transformasi yang akan merubah masa depan orang Melayu.

Sepuluh bidang kerja itu merupakan pengetahuan dan pendidikan; ekonomi dan kewangan; prinsip, latihan dan nilai-nilai Islam; nilai-nilai, norma dan etika kebudayaan Melayu; profesional dan dunia pekerjaan; keusahawanan; politik dan kerajaan; keselamatan dan persekitaran; pembangunan kesihatan dan keluarga serta masyarakat awam dan modal sosial.

Mohd. Ridhuan Tee pula memberi pandangan bahawa orang Melayu perlu mencontohi budaya orang Cina yang menggalakkan dan menjaga keturunan mereka untuk melibatkan diri dalam bidang ekonomi.

"Tidak salah untuk mencontohi budaya Cina yang mempunyai kelangsungan keturunan yang bagus dalam membangunkan ekonomi.

"Ini selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW, tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China dan kita tidak perlu pergi ke sana sekarang," katanya

Dalam memastikan ekonomi orang Melayu terus membangun, beliau meminta ibu bapa memainkan peranan menjaga akidah keturunan mereka bermula dari waktu kecil hinggalah dewasa. Ini agar tidak terpesong dan secara tidak langsung dapat menjana kemajuan ekonomi.

Anak-anak, katanya, perlu diajar mengenai model ekonomi agar mereka mereka dapat mengetahui hala tuju ekonomi keluarga yang akhirnya membantu pembangunan ekonomi negara.

Sementara itu, pensyarah daripada UPNM itu mengingatkan orang Melayu agar mempunyai sedikit sifat untuk meninggikan diri dan jangan terlalu bertolak ansur kerana ia menunjukkan kelemahan diri.

"Jangan terlalu bertolak ansur, nanti kita akan ditolak secara beransur-ansur," katanya.

Persidangan itu diharapkan akan membawa erti sebenar transformasi untuk Melayu Muslim melakukan perubahan dan tidak hanya tinggal sebagai persidangan semata-mata.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Siap sedia hadapi kesan selepas tsunami di Jepun

Posted:

Siap sedia hadapi kesan selepas tsunami di Jepun

Siap sedia hadapi kesan selepas tsunami di Jepun

Seluruh masyarakat antarabangsa bersimpati dengan Negara Matahari Terbit yang dilanda tragedi tsunami Jumaat lalu.

Gambar dan video mengenai kejadian yang berlaku di timur laut Jepun itu dengan kekuatan 8.9 skala Richter amat mengharukan.

Perkara yang paling membimbangkan sekarang ialah kesan susulan selepas tsunami. Sekarang Jepun berdepan bahaya kesan daripada loji nuklear Fukushima Daiichi 1 meletup dan terbakar. Ia dikhuatiri menyebarkan radiasi ke kawasan sekitar, negara-negara jiran serta Lautan Pasifik.

Kejadian tsunami di Jepun nampaknya memberi kesan kepada seluruh dunia. Kesan segera yang lain ialah kedudukan ekonomi dan pasaran dunia yang sudah tentu akan terjejas kerana Jepun merupakan kuasa ekonomi dunia. Merana ekonomi Jepun bermakna perit juga ekonomi negara lain di dunia.

Maknanya kita di Malaysia perlu bersedia menerima kesan-kesan secara langsung dan tidak langsung susulan tragedi tsunami di Jepun. Banyak yang perlu kita fikirkan segera dalam menangani kesan-kesan ekonomi yang boleh kita jangkakan, misalnya harga pasaran minyak dunia, turun naik harga pasaran komoditi dan lain-lain.

Hakikatnya, negara kita harus bersedia menghadapi semua jangkaan ini.

Tragedi tsunami di Jepun ini juga mengingatkan kita supaya bersyukur kerana negara kita dilindungi daripada bahaya bencana gempa bumi dan tsunami.

Namun begitu, kita tidak boleh terus leka dan ambil mudah bahawa gempa bumi dan tsunami tidak akan melanda Malaysia.

Walaupun negara kita tidak terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik tetapi kejadian tsunami pada Disember 2004 dan beberapa siri gegaran di kawasan tanah tinggi berhampiran Janda Baik akibat kesan gempa bumi di Sumatera adalah petanda bumi kita juga belum selamat.

Mengambil pengajaran persediaan rakyat Jepun menghadapi tsunami Jumaat lalu, maka kita perlu melakukan perkara yang sama.

Rakyat Malaysia kena bersiap sedia menghadapi sebarang malapetaka. Kita tidak boleh lambat bertindak selepas berlaku sesuatu bencana alam.

Alangkah baiknya jika kita mempunyai kecekapan dalam sistem pengurusan bencana dan memiliki teknologi canggih yang dapat mengurangkan impak bencana alam.

Seperti di Jepun, jika boleh kita mahu kebanyakan pekan dan bandar disediakan sistem pembesar suara yang boleh menyalurkan maklumat kecemasan kepada penduduk.

Kanak-kanak perlu dilatih sejak kecil menyorok di bawah meja atau menyelamatkan diri semasa berlaku kecemasan. Semua masyarakat diberitahu di mana pusat penempatan sementara yang terdekat dengan kediaman mereka apabila berlaku bencana.

Pendekatan masyarakat kita dalam menghadapi bencana banjir seperti pesta perlu diubah. Begitu juga murid sekolah yang hanya dilatih keluar segera dari bilik darjah apabila loceng kebakaran berdering.

Sedang kita masih tercari-cari kaedah mereka bentuk bangunan tinggi yang tahan gempa, mereka di negara maju sudah pergi jauh dengan memberi penekanan kepada pendidikan sebagai persediaan menghadapi bencana alam.

Apa pun kita tidak dapat melawan kuasa dan takdir Tuhan, tapi kita harus berusaha mengurangkan kecelakaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen