Selasa, 22 Mac 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bonda Agong disemadi

Posted: 21 Mar 2011 12:13 PM PDT

KUALA TERENGGANU: Jenazah bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bariah Sultan Hisamuddin Alam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafibillah Shah, Ladang, di sini, pada jam 5 petang, semalam.

Kemangkatan baginda yang berusia 78 tahun di Hospital Seri Kota, Klang, Selangor pada jam 1.22 pagi semalam, diumumkan Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Datuk Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan semalam. Jenazah Almarhum dibawa pulang ke sini menggunakan pesawat khas C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan TUDM Subang, Kuala Lumpur dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada jam 11.45 pagi selepas 25 minit ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah serta keluarga dengan pesawat berasingan.


Antara yang turut berada di Pangkalan TUDM ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar. Sebaik tiba di Kuala Terengganu, jenazah Almarhum dibawa ke Istana Maziah untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir mulai jam 1 tengah hari hingga 2.30 petang.

Jenazah kemudian diletakkan dalam pedati khas dan ditarik dari Istana Maziah kira-kira jam 3.15 petang untuk perjalanan sejauh empat kilometer dengan penuh adat istiadat sebelum tiba di makam diraja kira-kira jam 4 petang diiringi 64 pegawai Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) selepas disembahyangkan di Istana Maziah.


Turut mengiringi jenazah adalah Yang di-Pertuan Agong dan anakanda baginda, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, keluarga diraja serta ahli Exco kerajaan negeri dan ketua pelbagai jabatan kerajaan serta swasta.


Almarhum dimakamkan bersebelahan pusara suaminya, Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafibillah Shah di Makam Diraja itu dan Mufti Negeri, Datuk Dr Alias Abdullah membacakan talkin serta doa yang turut diaminkan kaum kerabat diraja dan rakyat jelata.

Terdahulu, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat menziarahi Almarhum yang ditempatkan di Istana Maziah, bagi memberi peluang kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata memberi penghormatan terakhir.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Stabil April ini

Posted: 21 Mar 2011 12:06 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Kenaikan harga ayam di pasaran yang berpunca daripada masalah kekurangan bekalan ayam hidup ekoran permintaan melebihi bekalan ketika ini bakal berakhir awal April depan," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata empat faktor utama dikenal pasti antaranya bekalan ayam hidup berkurangan, kejadian cuaca buruk dan banjir yang berlaku hujung Januari dan awal Februari lalu, kenaikan kos harga makanan ayam iaitu jagung dan kacang soya dan penyakit yang menyerang ayam di ladang.


Menurutnya, lazimnya selepas musim perayaan yang berakhir dengan sambutan Tahun Baru Cina pada Januari atau Februari, penternak akan mengurangkan bilangan anak ayam di ladang disebabkan kebiasaannya permintaan mula berkurangan pada April hingga Jun.

Beliau berkata, atas faktor kekurangan bekalan ketika ini selain permintaan yang meningkat tinggi terutama pada musim cuti persekolahan minggu lalu menjadi antara sebab utama berlakunya kenaikan harga ayam mendadak di seluruh negara.


"Proses menternak anak ayam mengambil masa kira-kira 45 hari sebelum dijual di pasaran dan ketika ini proses itu belum berakhir menyebabkan bekalan ayam di pasaran tidak mencukupi. Masalah ini akan berakhir menjelang April apabila ayam di ladang mencapai masa untuk dijual.


"Selain itu, berlakunya peningkatan harga ayam di ladang berbanding minggu lalu iaitu RM5.05 kepada RM5.50 hingga RM5.80 sekilogram yang turut menjadi faktor kenaikan harga ayam bulat (bersih) di pasaran," katanya ketika sidang media kenaikan harga ayam di sini, semalam.

Noh berkata, kejadian penyakit Sampar (ND) yang menular ke ladang berskala besar menyebabkan bekalan ayam berkurangan hingga terdapat setengah ladang yang mengalami 100 peratus kematian antaranya di Johor memburukkan lagi masalah kekurangan bekalan ayam di pasaran.


"Usaha dilakukan bagi menangani masalah ini dengan mengadakan seminar bersama penternak dan mewujudkan zon bebas ND untuk memberi kesedaran kepada penternak mengenai kaedah terbaik mengawal penyakit itu," katanya.

Beliau berkata, beberapa langkah bagi menangani masalah kenaikan harga ayam ini akan dilaksanakan serta-merta antaranya menubuhkan Program Stok Penimbal Ayam dengan kegiatan ini akan menebat bekalan ayam sepenuh masa bagi menstabilkan harga ayam di pasaran.


"Pengeluaran permit mengimport ayam bulat serta menambah sumber bekalan dari luar negara juga akan dilakukan bagi menangani masalah ini. Harga ayam bersih hingga mencecah RM8.50 sekilogram kini dirasakan terlalu mahal dan membebankan pengguna," katanya.


Tambahnya, kenaikan harga ayam tidak mempunyai kaitan dengan kejadian bencana alam gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun baru-baru ini kerana Malaysia tidak mengimport bekalan ayam dari negara berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen