Selasa, 22 Mac 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Kuih bihun madu makin popular

Posted:

Kuih bihun madu makin popular

Kuih bihun madu makin popular

Oleh AZMAN MD. NOOR
utusankedah@utusan.com.my


FATIMAH Abu Bakar menyiapkan bihun madu di rumahnya di Kampung Padang Belon, Ulu Tawar, Mukim Bakai, Baling, baru-baru ini.


BALING 21 Mac - Kuih tradisional seperti baulu, kuih bakar dan sebagainya sememangnya sudah sinonim dengan masyarakat Melayu.

Bahkan makanan-makanan itu sudah terkenal sebagai antara juadah istimewa setiap kali musim perayaan atau pada majlis-majlis keramaian.

Namun, apabila disebut kuih bihun madu, tentu masih ramai yang tertanya-tanya adakah ia juga kuih tradisional dan bagaimana pula rasa, rupa, bau dan bentuknya?

Justeru, seorang suri rumah di Kampung Padang Belon, Ulu Tawar Mukim Bakai dekat sini mengambil peluang memperkenalkan kuih itu yang secara tidak langsung telah berjaya menambahkan lagi pendapatan keluarganya.

Sebenarnya, Fatimah Abu Bakar, 43, berkata, bihun madu adalah produk kampung ciptaannya yang diusahakan dalam satu perusahaan kecil-kecilan sejak 2004.

Katanya, kuih bihun madu dihasilkan menggunakan tepung, gula dan bihun yang kemudian diadun dengan pewarna sebelum digoreng dalam kuali.

Kuih yang manis itu mempunyai pelbagai bentuk mengikut acuan cawan dan amat lembut serta rapuh apabila dimakan.

Menurutnya, selain kelihatan menarik kerana berwarna-warni, kuih bihun madu juga tahan lama jika disimpan di kawasan suhu bilik.

Dengan dibantu oleh suaminya, Abu Hassan Yaakob, 57, Fatimah mengusahakan perusahaan kuih itu di sebuah bengkel di hadapan rumahnya yang menempatkan peralatan seperti kuali untuk menggoreng dan sebagainya.

Katanya, dia mendapat idea untuk menghasilkan kuih itu selepas mendapat galakan daripada seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang mahu dia mencuba menghasilkan kuih baru untuk dipasarkan.

Selepas berjaya menghasilkannya, katanya, dia cuba menjualnya di hadapan rumah dan akhirnya kuih itu kini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Tambah Fatimah, dia mampu menghasilkan bihun madu antara 500 hingga 1,000 bungkus sehari dan ia dijual dengan harga RM2 sehingga RM5 sebungkus mengikut saiz dan tempahan pembeli.

Malahan, ekoran sambutan yang menggalakkan, dia kini mula memperbesarkan perusahaannya dengan melebarkan perniagaan sehingga ke Pulau Pinang.

"Jumlah pengeluaran juga terpaksa ditingkatkan pada musim perayaan bagi menampung permintaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Ibu kepada tujuh anak itu turut mendapatkan khidmat nasihat dan modal perniagaan dari Amanah Ikhtiar Malaysia dan pihak RISDA melalui pembangunan usahawan.

Fatimah berkata, dengan modal tersebut, dia membina bengkel itu dan meningkatkan strategi pemasaran termasuk menjual terus kepada pemborong atau peruncit yang datang mengambil di rumah.

"Selain itu, kami turut menjual secara terus kepada pembeli setiap hari, termasuk jualan rumah ke rumah," katanya sambil menambah syarikatnya juga menawarkan perkhidmatan penghantaran tempahan kuih tersebut.

Pengusaha ini menambah, pengalaman dalam bidang itu, termasuk pernah mengikuti kursus akaun dan usahawan di Kolej RISDA Padang Rengas, Perak beberapa tahun lagi untuk menambah pengetahuan sebagai seorang usahawan.

Dengan bungkusan menarik yang menggunakan jenama Mak Cik Fatimah, dia sentiasa memberi penekanan terhadap kualiti bihun madu yang dihasilkannya supaya suatu hari produk jenamanya akan popular.

Justeru, usahawan itu berkeyakinan produknya mampu menembusi pasaran di pusat-pusat membeli belah pada suatu masa nanti.

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kuih itu boleh menghubungi Fatimah di 019-4376169.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sektor pembuatan lonjak 340%

Posted:

Sektor pembuatan lonjak 340%

Sektor pembuatan lonjak 340%

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 21 Mac - Sebanyak 49 projek di sektor pembuatan bernilai RM3.039 bilion telah menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negeri ini sepanjang 2010.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ini menunjukkan sektor tersebut telah mencatatkan peningkatan 340 peratus dalam KDNK tahun lepas.

Menurut beliau, tahun lalu, 47 projek dengan nilai RM894 juta telah disumbangkan oleh sektor berkenaan.

"Ini membuktikan sektor pembuatan menjadi penyumbang tertinggi KDNK negara sepanjang tahun lalu, sekali gus ia memberikan perkembangan yang baik kepada ekonomi negeri ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Bersama Usahawan dan Pengeksport 2011 di Hotel Impiana di sini.

Hadir sama Pengerusi Matrade, Datuk Mah siew Keong.

Zambry berkata, daripada 8,879 syarikat yang berdaftar dengan Matrade, 338 daripadanya adalah dari Perak.

"Ini menunjukkan hanya empat peratus syarikat dari negeri ini mendaftar dengan Matrade dan masih ada yang belum berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, program perlu bagi membolehkan para usahawan di negeri ini mengenal pasti peluang-peluang baru untuk mengeksport barangan mereka ke luar negara.

Sementara itu, pada sidang akhbar, Zambry berkata, barangan keluaran negeri ini seperti kopi putih terkenal dan diminati oleh pelancong dari China dan Asia Barat.

"Kita kaya dengan produk yang bermutu dan kerana itu permintaan terhadap barangan keluaran negeri ini meningkat dan ia boleh dipasarkan ke luar negara," katanya.

Beliau berkata, peluang yang ada ini akan menggalakkan pelabur luar untuk datang melabur ke Perak.

"Kerajaan negeri amat aktif bagi mempromosikan pelaburan di negeri ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pembungkusan produk perlu ditingkatkan bagi memastikan barangan kita mendapat sambutan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perlis pantau kempen tanam pokok sepanjang tahun - Md. Isa

Posted:

Perlis pantau kempen tanam pokok sepanjang tahun - Md. Isa

Perlis pantau kempen tanam pokok sepanjang tahun - Md. Isa


Sebahagian pelajar berbilang bangsa dari Kolej Kejururawatan menunjukkan simbol 1Malaysia ketika menanam pokok sempena Sambutan Hari Perhutanan Sedunia Ke-40 di Jalan Padang Bohor, Kangar, semalam.


KANGAR 21 Mac - Kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan akan memastikan kempen menanam pokok dapat dilaksanakan sepanjang tahun dengan melibatkan pelbagai pihak, termasuk sekolah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, pelaksanaannya akan dipantau secara berterusan oleh pelbagai jabatan kerajaan seperti Jabatan Perhutanan, Pejabat Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Majlis Perbandaran Kangar, Jabatan Pertanian, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kesihatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan telah merancang pelbagai program jangka pendek dan jangka panjang untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pemuliharaan hutan melalui program penanaman pokok bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Usaha penanaman pokok ini adalah selaras dengan komitmen Perlis untuk memastikan keluasan tanah di negeri ini dilitupi pokok-pokok atau kawasan berhutan secara berkekalan," katanya.

Beliau berucap sempena majlis pelancaran sambutan Hari Perhutanan Sedunia Ke-40 yang bertemakan Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat dan pelancaran Tahun Hutan Antarabangsa 2011 bertemakan Hutan Untuk Masyarakat, di Kolej Kejururawatan, di sini, hari ini.

Menurut Md. Isa, kini jumlah keluasan kawasan berhutan dan tanaman pertanian meliputi 75 peratus daripada kawasan tanah di negeri ini.

"Daripada jumlah ini, kawasan berhutan merangkumi 14 peratus atau lebih kurang 11,479 hektar daripada keluasan Perlis," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersungguh-sungguh memberi kesedaran kepada rakyat negeri ini tentang kepentingan kawasan Hutan Simpanan Kekal dipulihara dan dikekalkan sebagai hutan perlindungan sepenuhnya untuk kepentingan masyarakat.

"Sumbangan hutan kepada masyarakat bukan sekadar menstabilkan iklim, mengawal sumber air, kesuburan tanah, mengurangkan kerosakan oleh banjir dan hakisan kepada tanah dan pertanian, tetapi menyumbang jauh lebih daripada itu sejak zaman berzaman," katanya.

Menurut beliau, sudah tiba masanya masyarakat meletak kepentingan alam sekitar sebagai agenda utama dalam kehidupan serta bersama-sama berusaha menyelamatkannya daripada dimusnahkan.

"Setiap lapisan masyarakat perlu berganding bahu dan bersatu tenaga dengan aktiviti-aktiviti pendedahan mengenai kepentingan alam sekitar yang perlu ditingkatkan di peringkat sekolah, institut pengajian tinggi dan juga dalam kalangan masyarakat awam," katanya.

Sehubungan itu, katanya, sokongan dan kerjasama sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam membantu kerajaan juga perlu dipergiatkan dengan turut melibatkan semua lapisan masyarakat daripada peringkat bawahan hinggalah peringkat profesional.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan