Selasa, 22 Mac 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Citra budaya jalinan antara kaum

Posted:

Citra budaya jalinan antara kaum

Citra budaya jalinan antara kaum

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my


persembahan Tarian Piring 1,000 sempena program Citra Budaya Adat Perpatih Negeri Sembilan di Seremban, baru-baru ini berjaya mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai peserta paling ramai bagi acara tarian.


SEREMBAN 21 Mac - Gagasan 1Malaysia menerusi seni budaya terus diperkukuhkan dalam persembahan Tarian Piring 1,000 di padang Majlis Perbandaran Seremban, di sini baru-baru ini.

Persembahan yang dijayakan menerusi program Citra Budaya Adat Perpatih Negeri Sembilan itu disertai oleh para pelajar pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, India, Sikh dan Orang Asli sekali gus mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai peserta paling ramai bagi acara tarian itu.

Meskipun berlainan bangsa, seramai 1,000 peserta tidak kekok menari tarian itu mengikut alunan rentak tari yang memerlukan mereka memegang dua biji piring pada tapak tangan masing-masing dalam persembahan selama empat minit itu.

Malah, setiap peserta mempamerkan kesungguhan yang padu bagi memastikan tarian yang berasal dari Sumatera Barat itu dipersembahkan sebaik yang mungkin.

Selain daripada tetamu di kalangan orang kenamaan, turut terpukau dengan persembahan tarian piring itu ialah kira-kira 3,000 orang yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan persembahan itu.

Walaupun tarian itu dikaitkan dengan orang Melayu, masyarakat Cina dan India turut mengerumuni pentas utama di padang itu untuk mendapatkan pemandangan yang lebih jelas warna warni tarian yang unik itu.

Kekaguman mereka terhadap persembahan itu menyebabkan masing-masing tidak berganjak sejak program bermula pada pukul 8.30 malam.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam ucapannya pada majlis itu berkata, negara ini kaya dengan tradisi lama yang boleh dicungkil kembali dan jika dipersembahkan menerusi kegiatan seni budaya, mampu menguatkan jalinan antara kaum di semua peringkat.

Beliau berkata, menerusi program tersebut, ia bukan saja memelihara warisan seni budaya tetapi salah satu usaha kerajaan dalam mendahulukan kepentingan rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Kita merasakan bahawa luak dan daerah adat dapat kita satukan dalam satu himpunan citra rasa ke arah tradisi kita. Kedua ialah bagi mencungkil perasaan cinta kepada budaya agar anak-anak kita terus memupuk perasaan yang sedemikian.

"Yang ketiga ialah bagi menyatukan gagasan 1Malaysia menerusi citra budaya," katanya.

Berucap pada majlis yang sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama untuk melaksanakan program kebudayaan yang boleh memperkasakan kualiti hidup rakyat di negeri ini khususnya dalam pembinaan insan madani bertunjangkan budaya bangsa.

Beliau turut menyerahkan plak Malaysia Book of Records (MBR) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf di atas kejayaan mengadakan persembahan tersebut.

Turut mengambil bahagian dalam program itu ialah Kumpulan Kesenian Aswara, Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan, Melaka, dan Perak serta Kumpulan Permanis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kumpulan kesenian badan budaya dari Sumatera Barat dan Bukit Tinggi, Indonesia turut mengadakan persembahan pada program berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peserta rasa bertuah sertai persembahan

Posted:

Peserta rasa bertuah sertai persembahan

Peserta rasa bertuah sertai persembahan

SEREMBAN 21 Mac - Keunikan tarian piring yang memerlukan kemahiran tersendiri menjadi salah satu tarikan utama kepada peserta Persembahan Tarian Piring 1,000 mempelajari tarian tersebut.

Bukan mudah untuk melakukan tarian sambil memegang piring serta diselang seli dengan lenggok tarian dan semua itu hanya dapat dikuasai jika individu terbabit benar-benar mempunyai minat yang mendalam untuk mempelajarinya.

Bagi seorang peserta Persembahan Tarian Piring 1,000, Azzrah Halin Hasmariza, 10, bukan mudah untuk melakukan tarian itu kerana ia memerlukan minat yang mendalam untuk seseorang itu menghayati rentak tarian tersebut.

"Saya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk mempelajari tarian tersebut kerana kesukaran untuk memegang piring dengan lenggok yang betul," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Berbeza pula dengan T. Theenesh, 17, yang berkata, tarian itu amat unik dan berbeza dengan tarian yang lain.

"Saya berasa bertuah kerana dapat menyertai tarian ini sekali gus mencipta nama di dalam Malaysia Book of Records (MBR)," katanya.

Menurutnya, abang dan kakaknya juga merupakan penari kebudayaan dan beliau belajar menari dengan mereka pelbagai jenis tarian sejak berumur tiga tahun.

"Walaupun amat meminati pelbagai jenis tarian, namun, ia hanya dijadikan sebagai hobi pada masa lapang kerana saya mempunyai cita-cita tersendiri," katanya.

Sementara itu, Norshahira Kamarudin, 12, berkata, beliau tidak menyangka dapat beramai-ramai menari tarian tersebut.

Sebelum ini, katanya, beliau hanya menyertai pertandingan di sekolah dengan penglibatan seramai 30 orang sahaja dalam setiap kumpulan.

"Bila dapat melakukannya beramai-ramai, saya menjadi teruja dan ingin menjadikan ia sebagai kerjaya pada satu hari nanti," ujarnya.

Bagi Mohd. Aiman Adib Mohd. Jailani, 11, minat terhadap muzik menjadi faktor utamanya menyertai program tersebut dan berazam untuk menjadikan ia sebagai permulaan dalam bidang tarian.

"Saya juga selalu menyertai pertandingan yang diadakan di sekolah," ujarnya.

Mohd. Aiman berharap, tarian itu akan terus diperkasakan agar ia tidak hilang ditelan zaman.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kolam takung banjir tiada pagar

Posted:

Kolam takung banjir tiada pagar

Kolam takung banjir tiada pagar

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


MUSTAFA Abdullah (kiri) dan Mohd. Zamzam Mohd. Isa (tengah) menunjukkan kolam takungan banjir yang tidak mempunyai pagar dan membahayakan kanak-kanak di Taman Krubong Jaya, Krubong, Melaka, kelmarin.


MELAKA 21 Mac - Lazimnya, penduduk pasti gembira apabila kawasan rumah mereka mempunyai kolam takungan banjir kerana ia dapat mengelak daripada ditenggelami banjir apabila berlakunya hujan lebat.

Bagaimanapun, pembinaan kolam itu mendatangkan kebimbangan bagi beratus-ratus penduduk di Taman Krubong Jaya, Krubong di sini.

Semuanya gara-gara kedudukannya yang begitu hampir dengan kira-kira 20 buah rumah penduduk selain lebih 100 buah keluarga yang tinggal di kawasan berhampiran.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan tersebut menyebabkan penduduk terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil terdedah pada bahaya seperti kejadian lemas.

Lebih membimbangkan penduduk, musim hujan kebelakangan ini membuatkan semakin ramai kanak-kanak mengambil kesempatan mandi dan bermain di kolam berkenaan tanpa memikirkan keselamatan diri.

Seorang penduduk, Mohd. Zamzam Mohd. Isa, 42, berkata, kolam tidak berpagar yang cuma dipisahkan kira-kira 10 meter dari rumah penduduk itu mula dibina awal Januari lalu dan siap tiga hari lalu.

"Namun apa yang membimbangkan kami adalah ketiadaan pagar sedangkan pemaju memberitahu akan membina pagar sebaik sahaja kolam ini siap.

"Sehingga hari ini, apa yang ada hanya pita keselamatan dipasang di sekeliling kolam tersebut," katanya ketika ditemui di Taman Krubong Jaya di sini semalam.

Menurutnya, kedudukan kolam itu dengan rumah penduduk hanya dipisahkan oleh sebatang jalan.

"Lebih membimbangkan kami, kolam ini terletak bersebelahan padang dan dikhuatiri mungkin menyebabkan kanak-kanak terjatuh dan lemas ketika bermain," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Krubong Jaya Fasa 2, Mustafa Abdullah berkata, pemaju telah berjanji akan memasang pagar dalam tempoh seminggu lagi.

Namun, katanya penduduk berharap pemasangan pagar dapat dilakukan segera kerana bimbang kemungkinan berlaku kejadian buruk.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan