Khamis, 17 Mac 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kekal ciri rumah unik

Posted: 16 Mar 2011 11:57 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pemilik rumah atau bangunan yang mempunyai reka bentuk bersejarah digalak mendapatkan nasihat penjagaan serta mengekalkan ciri unik itu daripada Jabatan Warisan Negara (JWN).

Pesuruhjaya Warisan JWN, Prof Emeritus Datuk Zuraina Majid, berkata dalam tempoh lima tahun lalu, sebanyak 100 bangunan, rumah dan bilik dikategorikan mempunyai warisan bernilai kepada masyarakat.


"Sehubungan itu, kami amat menggalakkan orang ramai mempunyai kediaman yang masih mengekalkan reka bentuk sejarah mendapatkan nasihat kami.

"Perkara sedemikian amat berguna kepada generasi akan datang yang mahu melihat identiti warisan kita," katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran buku 'From Alma Baker Mansion To Ombak' di sini, semalam.


Pelancaran buku itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Brian Smythe dan penulis buku itu, Datuk Ahmad Hisham Kamaruddin.


Zuraina berkata, pihaknya amat gembira dengan inisiatif diambil Ahmad Hisham yang membeli banglo Alma Baker yang dibina di Batu Gajah, Perak pada 1894 dan memindahkannya ke Setiu, Terengganu selain mengekalkan ciri kolonial itu.

"Ini usaha baik bagi menjaga warisan kita supaya tidak tenggelam oleh masa," katanya.


Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya berkata, buku yang diterbitkan JWN memberi pengetahuan mengenai penjagaan warisan di Malaysia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mati ditetak depan rumah

Posted: 16 Mar 2011 11:55 AM PDT

KAJANG: Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas ditetak sekumpulan empat lelaki di hadapan rumahnya di Taman Jasmin, di sini, kelmarin.

Selain mangsa, seorang mekanik yang membaiki kereta mangsa di hadapan rumah itu turut terkena 'amukan' kumpulan lelaki terbabit.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa bersama mekanik yang berusia 42 tahun berkenaan berada di hadapan rumah sebelum dihampiri sebuah kereta.

Pemangku Ketua Polis Kajang, Superintendan Azman Ayob, berkata suspek yang menaiki kereta berhenti sebelum tiga suspek keluar dari kereta sambil memegang senjata dipercayai parang lalu menyerang mangsa.


"Suspek menyerang mangsa menyebabkan mangsa parah di badan selain tangan kanannya hampir putus.


"Malah, mekanik terbabit turut diserang kumpulan suspek menyebabkan dia parah di tangan dan belakang," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sejurus menetak mangsa dan mekanik itu, suspek melarikan diri.


Difahamkan, keluarga mangsa yang berada dalam rumah berkenaan mendengar bunyi bising keluar rumah dan terkejut sebaik melihat keadaan mangsa serta rakannya itu berlumuran darah.

"Bapa mangsa yang berusia 50-an membawa mangsa dan rakannya ke hospital berhampiran.


"Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah. Bagaimanapun, mekanik berkenaan berjaya diselamatkan dan menerima rawatan lanjut," katanya.


Azman berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih diteruskan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


"Usaha mencari suspek masih diteruskan. Siasatan awal mendapati motif kejadian kerana dendam," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan