Khamis, 17 Mac 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pelajar asing belajar bahasa Melayu guna siri Upin dan Ipin

Posted: 17 Mar 2011 01:23 AM PDT

KUALA TERENGGANU, 17 Mac — Siri animasi kanak-kanak di televisen tempatan Upin dan Ipin menjadi bahan berkesan mempelajari bahasa Melayu di kalangan pelajar asing di Beijing Foreign Studies University (BFSU) dan University of Peking, China.

"Siri ini telah membantu mempermudahkan lagi penguasaan komunikasi bahasa Melayu di Beijing dan ia menjadi antara rancangan yang disukai oleh pelajar asing di China," kata Penyandang Kursi Pengajian Bahasa Melayu di BFSU, Profesor Dr Awang Sariyan.
Upin dan Ipin mula disiar di TV9 pada bulan Ramadan 2007 yang bertujuan mendidik kanak-kanak tentang ibadah berpuasa.
Ia kini memasuki musim keempat yang rancangannya boleh turut diikuti dalam bentuk DVD dan penstriman video melalui Internet dan berjaya dipasarkan ke Indonesia.
Di atas kejayaan menambat hati penonton serantau, siri ini disenarai dalam Malaysia Book of Records tahun ini sebagai "Animasi Paling Berjaya".
Awang berkata banyak VCD Upin dan Ipin didapati dimiliki oleh pelajar di BFSU yang kebanyakannya mereka perolehi dengan cara membeli terus dari pengedar di Malaysia.
Sehubungan iu beliau menggesa penerbit filem animasi di negara ini supaya memperbanyakkan lagi penerbitan mereka kerana pembelajaran bahasa Melayu melalui VCD kini semakin popular dan mempermudahkan pelajar asing menguasainya.
"Usaha menerbitkan perisian komputer, komik, video dan seumpamanya dalam semua bidang ilmu perlu dilakukan manakala seni dipergiatkan lagi bagi mengembangkan budaya belajar melalui wahana teknologi maklumat dan komunikasi," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata usaha seumpama itu sesuai dengan resolusi Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu 2011 yang berakhir di sini hari ini.
Awang berharap kegiatan kebahasaan yang kreatif dan inovatif bagi memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu terutama kepada generasi muda diperhebat dan diperbanyakkan dalam memastikan bahasa Melayu terus mekar dan terus maju. — Bernama

 

 

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Muhyiddin: Interlok kekal, kaum India panel bebas pun kekal

Posted: 17 Mar 2011 12:42 AM PDT

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Novel kontroversial Interlok akan tetap digunakan sebagai buku teks sastera tingkatan lima, kata Timbalan Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Sehubungan itu, Menteri Pelajaran turut menafikan wakil kaum India akan bertindak keluar daripada panel bebas yang diadakan untuk mengesyorkan pindaan ke atas novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

"Mereka tidak akan bertindak keluar, hanya salah faham. Datuk G Palanivel (Presiden MIC) akan memujuk mereka (ketiga-tiga wakil) agar kekal. 

"Saya sudah dimaklumkan apa yang berlaku malam tadi dan kami telah menyelesaikan isu ini," kata beliau.

Muhyiddin berkata tiada sebab untuk menggugurkan novel itu daripada digunakan sebagai sebahagian sukatan peperiksaan dan kebanyakan bantahan yang dibangkitkan dalam panel bukan "isu-isu serius."

"Novel ini adalah novel yang baik. Ramai orang telah membaca dan ia tidak harus menjadi satu masalah.

"Isu mengeluarkannya tidak timbul," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan pagi tadi, Palanivel berkata MIC mahu Kementerian Pelajaran mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung novel Interlok yang dilihat boleh menyebabkan perpecahan kaum berlaku.

Kata Palanivel, Interlok akan menjadi satu perkara yang serius dan boleh memecahkan perpaduan antara kaum sekiranya Kementerian Pelajaran tidak mempunyai satu pendirian tetap dalam perkara itu.

"Melainkan Kementerian Pelajaran mengambil satu pendirian tetap dalam isu Interlok kerana setiap perkara dalam perkara ini sangat emosional.

Beliau berkata tiga wakil kaum India dalam panel bebas yang mengkaji pindaan novel kontroversi Interlok menarik diri selepas satu pertemuan semalam kerana setiap pindaan yang dicadangkan mendapat bantahan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka.

Palanivel berkata bantahan itu hanya oleh wakil dari Dewan Bahasa dan Pustaka manakala ahli panel lain bersetuju dengan cadangan untuk meminda perkataan sensitif yang berkaitan dengan kasta.

"Ahli panel lain bersetuju dengan pindaan terhadap perkataan sensitif yang berkaitan dengan kasta.

"Yang mana wakil kaum India telah mencadangkan banyak pindaan yang dianggap sensitif dan menyinggung  kaum India," katanya.

Ketiga-tiga wakil kaum India itu adalah penulis Uthaya Sankar, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.

Ketiga-tiga mereka memutuskan demikian - keputusan yang mengejutkan ramai dan disifatkan sebagai tamparan dalam menyelesaikan isu itu - selepas pertemuan khas tergempar yang diadakan di bangunan Parlimen petang ini, yang sebahagiannya dipengerusikan oleh Muhyiddin sendiri, meminta agar berkompromi dan mengurangkan jumlah pindaan kepada perkataan "paria" sahaja.

Panel bebas yang mengadakan mesyuarat akhir 4 Mac lalu sebulat suara bersetuju agar 100 pindaan dibuat.

Beliau berkata telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Muhyiddin sejak "krisis" panel bebas itu tercetus semalam.

"Pagi ini Timbalan Perdana Menteri memaklumkan ahli panel bebas ini akan dipanggil untuk perbincangan di pejabat Perdana Menteri," katanya.

Panel itu dipengerusikan oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang sekarang berada di luar negara.

Ahli lain panel itu ialah Datin Siti Saroja Basri, isteri kepada Abdullah, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Datuk Zainal Abidin Borhan.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pindaan dalam novel Interlok menunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas yang diketuai oleh Shamsul Amri.

Beliau berkata, selepas menerima butiran terperinci terhadap bentuk pindaan yang dibuat dalam beberapa hari lagi, perkara itu akan dimaklumkan kepada pemimpin masyarakat India bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan menerimanya sebulat suara.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin dipetik berkata novel Interlok, yang mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India, akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan