Khamis, 17 Mac 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Super Kinta bakal dihidupkan semula

Posted:

Super Kinta bakal dihidupkan semula

Super Kinta bakal dihidupkan semula

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my


PASAR raya Super Kinta yang terletak di bahagian bawah bangunan Pasar Besar Ipoh pernah menjadi tumpuan ramai suatu ketika dahulu.


IPOH 16 Mac - Lebih 10 tahun lalu, kompleks membeli belah Super Kinta di sini merupakan pasar raya paling popular dan menjadi tumpuan orang ramai di bandar raya ini.

Ini kerana kedudukannya yang strategik di tengah-tengah pusat bandar dan terletak di bangunan Pasar Besar Ipoh yang turut menempatkan perniagaan pasar basah serta pelbagai gerai jualan lain.

Namun, entah di mana silapnya, Super Kinta terpaksa 'gulung tikar' lapan tahun lalu berikutan kemunculan beberapa kompleks membeli belah yang lebih besar dan moden di bandar raya ini.

Dalam tempoh lapan tahun itu, ada beberapa syarikat pelabur, termasuk dari luar yang berminat memajukan bangunan Super Kinta itu, tetapi tiada satu pun yang menjadi kenyataan sehingga kini.

Kini, harapan penduduk bandar raya ini untuk melihat bangunan berusia 29 tahun itu kembali beroperasi mungkin menjadi realiti setelah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak dan Persatuan Komputer dan Digital Perak berminat untuk memajukannya.

Baru-baru ini, rombongan DPMM yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah mengadakan lawatan ke bangunan Super Kinta untuk melihat keadaan serta potensinya.

Ketika ditemui selepas lawatan itu, Muhammad Muhiyuddin berkata, pihaknya berminat untuk memajukan bangunan Super Kinta sebagai tempat menjual produk-produk tempatan.

"Ramai peniaga kecil, terutama Melayu meminta DPMM 'menghidupkan' semula bangunan itu supaya mereka mendapat tempat untuk berniaga.

"Ini kerana ramai peniaga kecil tidak mendapat peluang untuk berniaga di pasar raya besar," katanya.

Menurut Muhammad Muhiyuddin, berdasarkan pemerhatian awal pihaknya, bangunan tersebut memerlukan kos ubah suai antara RM4 hingga RM5 juta sebelum dapat beroperasi.

"Kita harap kerajaan negeri dapat membaik pulih bangunan itu, termasuk membaiki sistem pendingin hawa, pendawaian elektrik dan tangga bergerak.

"Sekiranya kerajaan negeri bersetuju, DPMM Perak akan membuat kajian dan menyerahkan permohonan untuk memajukan bangunan ini kepada kerajaan negeri awal Jun ini," katanya.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perak, Datuk Omar Ahmad turut menyokong inisiatif DPMM Perak untuk memajukan bangunan itu dan berharap kerajaan negeri dapat mengeluarkan sedikit peruntukan bagi tujuan baik pulih.

"Tidak ramai peniaga Melayu yang mendapat tempat di pasar raya besar dan ini merupakan peluang mereka untuk berniaga di lokasi strategik di tengah pusat bandar," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, Persatuan Komputer dan Digital Perak ada menyatakan cadangan menjadikan bangunan itu sebagai pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Katanya, kerajaan negeri bersedia mengenakan kadar sewaan minimum kepada pihak yang berminat, asalkan bangunan tersebut tidak dibiarkan kosong.

"Walaupun perkara ini masih di peringkat cadangan, saya harap Persatuan Komputer dan Digital Perak dapat bergabung dengan persatuan-persatuan lain bagi memajukan kompleks Super Kinta.

"Selain memanfaatkan bangunan yang tidak berpenghuni itu, ia dapat meningkatkan nilai hartanah dan menghidupkan kawasan itu dan sekitarnya," ujarnya.

Sementara itu Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, pihaknya bersedia memenuhi kehendak pelabur untuk menaik taraf bangunan itu sekiranya ada yang berminat menyewanya.

"Sebenarnya, bangunan itu sudah dibaik pulih dengan peruntukan RM5 juta daripada kerajaan Persekutuan pada 2007.

"Jika ada yang berminat menyewanya, kita akan bekerjasama dengan mereka untuk menjadikan kawasan itu kembali ceria seperti ketika wujudnya pusat membeli belah Super Kinta dahulu," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bangunkan semula sebagai destinasi pelancongan popular

Posted:

Bangunkan semula sebagai destinasi pelancongan popular

Bangunkan semula sebagai destinasi pelancongan popular


Muhammad Muhiyuddin Abdullah (kiri) berbual dengan ahli-ahli DPMM Perak semasa mengunjungi bangunan Super Kinta di Ipoh, baru-baru ini.


IPOH 16 Mac - Penduduk bandar raya ini sangat berharap bangunan Super Kinta di Pasar Besar Ipoh dapat dibangunkan semula agar dapat menjadi destinasi pelancongan popular di negeri ini.

Menurut mereka, kedudukan bangunan itu strategik kerana terletak di tengah pusat bandar dan rugi sekiranya ia terus terbiar kosong tidak berpenghuni.

Kebanyakan mereka mahu lokasi tersebut dimajukan sebagai pusat jualan produk tempatan seperti Pekan Rabu di Alor Setar, Kedah dan Pasar Chowrasta di Pulau Pinang serta Pasar Payang di Terengganu.

Seorang pekerja swasta, Zulfilda Salleh, 40, dari Simpang Pulai berkata, bangunan itu sesuai dijadikan sebagai pusat jualan produk negeri ini kerana Perak belum ada tempat seperti itu.

''Sebelum ini, saya ada dengar orang hendak jadikan bangunan Super Kinta itu sebagai pusat jualan barangan teknologi maklumat dan komunikasi.

''Namun, saya rasa tempat itu lebih sesuai dijadikan pusat jualan negeri untuk jualan barangan seperti cencaluk, labu sayung, tenunan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang kakitangan badan berkanun, Mohd. Ismail Mohd. Azhari, 53, berkata, tempat itu boleh dijadikan pusat jualan pakaian lelaki, perempuan dan kanak-kanak.

''Sebelum ini, tempat itu begitu popular sehingga malam pun masih ramai orang pergi ke sana.

''Kalau tempat itu dimajukan semula, saya yakin masih ramai akan pergi ke sana kerana terdapat pasar basah di situ," ujarnya.

Seorang peniaga di Pasar Besar Ipoh, Farah Mohd. Zahari, 26, pula berkata, jika bangunan Super Kinta dimajukan semula, peniaga-peniaga kecil di Pasar Besar Ipoh juga akan mendapat manfaat dengan kebanjiran orang ramai.

Katanya, ini kerana tidak ramai orang mengunjungi gerai-gerai jualan barangan kering di Pasar Besar Ipoh pada hari biasa.

''Biasanya, orang ramai pergi beli-belah di Pasar Besar Ipoh. Kalau ada bangunan Super Kinta dijadikan Bazar 1Malaysia, saya yakin ramai yang akan datang ke sini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Projek Sulihh belum dilaksana

Posted:

Projek Sulihh belum dilaksana

Projek Sulihh belum dilaksana

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my


Ahmad Bashah (kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada wakil tiga keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Gurun beberapa bulan lepas di Dewan Balai Bomba Sukarela, Padang Lembu, Gurun, kelmarin.


JERAI 16 Mac - Status projek Hab Hidrokarbon Sungai Limau (Sulihh) di Yan dekat sini yang ingin dibangunkan oleh kerajaan Pas Kedah kini menjadi persoalan kerana sehingga kini tiada tanda projek itu akan bermula.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, sudah tiga tahun berlalu sejak pakatan pembangkang mengambil alih pemerintahan negeri ini, namun status projek tersebut masih menjadi tanda tanya.

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan Pas Kedah memberikan pelbagai alasan mengenai penangguhan pelaksanaan projek berkenaan yang dianggar melibatkan pelaburan RM35 bilion.

"Pada awalnya kerajaan negeri kata ada masalah teknikal, selepas itu mereka kata ada masalah dengan pelaburan dan sekarang projek itu terus senyap tanpa sebarang perkembangan.

"Saya yakin kalau BN yang memerintah, projek itu sudah berjalan," katanya pada Program Juara Rakyat anjuran Barisan Nasional (BN) Jerai di Dewan Balai Bomba Sukarela, Padang Lembu di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Ahmad Bashah menyampaikan sumbangan wang tunai RM5,000 kepada tiga keluarga yang kehilangan rumah dalam kebakaran di Gurun beberapa bulan lalu, serta menyampaikan sumbangan kepada golongan veteran yang merupakan ahli MCA dan MIC dalam Bahagian Jerai.

Projek Sulihh yang dulunya dikenali sebagai Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) diumumkan pada 2007 hasil perancangan rapi kerajaan BN semasa memerintah negeri ini.

Mengikut rancangan, projek itu melibatkan pembinaan kilang penapisan minyak yang memproses minyak mentah dari Asia Barat sebelum dijual ke negara-negara Asia Timur.

Selepas pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-12, kerajaan Pas Kedah bersetuju meneruskan projek itu dengan menggunakan kaedah lain iaitu menambak laut bagi memberikan laluan kepada pelaksanaannya.

Menurut laporan akhbar, projek itu dijangka siap pada 2013 dan apabila beroperasi nanti ia dapat menjana pendapatan RM400 juta setahun kepada kerajaan negeri.

Ahmad Bashah berkata, penangguhan pelaksanaan Sulihh merupakan satu kerugian besar kepada rakyat, kerana projek berkenaan dapat menjana pendapatan lumayan kepada negeri ini.

Kata beliau, projek impak besar itu dijangka dapat menyumbangkan pendapatan ratusan juta ringgit setahun kepada akaun kerajaan negeri jika ia dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Katanya, jumlah berkenaan cukup besar bagi kerajaan negeri untuk melaksanakan agenda pembangunan dan memastikan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik.

"Dengan pendapatan kerajaan negeri beratus juta ringgit menerusi projek itu, banyak yang dapat dilaksanakan seperti meningkatkan kemudahan infrastruktur, menyediakan lebih banyak biasiswa dan membantu lebih ramai orang susah.

"Namun, apabila ia sehingga kini masih tertangguh, yang menanggung rugi adalah seluruh rakyat negeri ini dan generasi akan datang kerana Kedah akan terus statik daripada segi pembangunan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen