Selasa, 8 Mac 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


2 beradik terbakar

Posted: 07 Mar 2011 11:20 AM PST

TANJUNG KARANG: Cita-cita seorang mangsa kemalangan untuk bergelar anggota polis tidak kesampaian apabila rentung bersama abangnya, sejurus kereta dinaiki terbakar sebaik bertembung sebuah pacuan empat roda di Kampung Sungai Gulang-Gulang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Mohd Fauzan Mohd Ayob, 20, dan abangnya, Khairul Amri, 26, yang memandu Proton Wira mati di tempat kejadian selepas tersepit dan gagal keluar dari kereta yang terbakar.


Jurucakap polis berkata, nahas berlaku di Kilometer 57.5 Jalan Klang-Teluk Intan apabila kereta dipandu Khairul ke arah Tanjung Karang dari Kuala Selangor gagal dikawal lalu terbabas di laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah Toyota Fortuner menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar.

"Pemandu pacuan empat roda berkenaan sempat keluar ketika api mula marak. Bagaimanapun, dua beradik berkenaan gagal menyelamatkan diri," katanya.


Sementara itu, rakan arwah Mohd Fauzan yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, sahabat karibnya itu pernah menyatakan hasrat menjadi anggota polis dan beria-ria menghadiri temuduga di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, semalam.


"Kebetulan pada hari ini (semalam) ada temuduga untuk jawatan anggota polis di Kuala Selangor. Abangnya (Khairul Amri) yang bekerja di Perak mengambil cuti untuk menemankan adiknya ke tempat temuduga itu.

"Arwah baru saja menamatkan pelajaran di Pusat Giat Mara dan apabila mendapat tahu ada temuduga polis, dia ingin mencuba. Namun takdir Allah menentukan segalanya...impian arwah tidak tercapai,"katanya.


Difahamkan, mangsa hanya dua beradik saja dan tinggal di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, dekat sini.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Anuar berkata, dia yang bekerja di kedai jualan kereta berhampiran tempat kemalangan terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi brek yang sangat kuat.

"Saya lihat sebuah Proton Wira dipandu laju dari Tanjung Karang ke Kuala Selangor ingin mengelak sebuah van dari arah sama sebelum gagal mengawal kenderaannya dan bertembung dengan sebuah Toyota Fortuner.


"Akibat pertembungan itu, kedua-dua kenderaan itu terbakar. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat. Saya lihat pemandu Toyota Fortuner sempat keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri," katanya.


Sementara itu, Pemangku Pegawai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang, Zolkifli Ahmad, berkata, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Tanjung Karang dan Kuala Selangor dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 11.49 pagi.


"Pihak kami terpaksa menggunakan alat pemotong untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiga dikhuatiri lemas

Posted: 07 Mar 2011 11:17 AM PST

KUALA LUMPUR: Tiga pekerja kontrak warga Indonesia dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras longkang besar sebelum dihanyutkan ke Sungai Segambut berhampiran Kondominium Tiara, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu berlaku apabila mereka bersama seorang lagi rakan wanita cuba menyeberangi longkang besar berdekatan sungai berkenaan untuk membeli minuman dari sebuah gerai berhampiran.


Usaha mereka tidak berjaya apabila arus sungai tiba-tiba menjadi deras berikutan hujan lebat menyebabkan tiga mangsa hanyut.

Manakala rakan wanita mereka dapat menyelamatkan diri dengan berpaut pada tebing konkrit.


Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Rohaya Alias, berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.29 petang daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu sebelum anggota bomba turun ke tempat kejadian bagi mencari dan menyelamat mangsa.


"Kita mendapat maklumat orang awam yang melihat mangsa terkapai-kapai sebelum dihanyutkan arus sungai yang deras. "Lapan jentera bomba bersama 45 anggota, termasuk Unit Skuba dan Anjing Pengesan (K9) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Sentul dan Taman Tun Dr Ismail dikejarkan ke tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, semalam.

Menurutnya, sehingga jam 8 malam tadi, nasib ketiga-tiga mangsa berusia antara 25 hingga 30 tahun tidak diketahui berikutan operasi mencari dan menyelamat dihentikan ekoran cuaca gelap.


Rohaya berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa akan disambung pagi esok (hari ini).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen