Rabu, 2 Mac 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


3 polis bantuan subahat culik

Posted: 01 Mar 2011 09:40 AM PST

KRISHNAN...dikehendaki
KRISHNAN...dikehendaki

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis bantuan yang bertugas di sebuah syarikat di ibu negara diberkas dalam beberapa serbuan minggu lalu kerana dipercayai bersubahat dengan satu kumpulan penculikan membabitkan warga Pakistan.

Ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu dipercayai bersubahat dengan kumpulan penculik yang didalangi warga Pakistan untuk menyamar sebagai polis dengan mereka berpura-pura memeriksa mangsa yang juga warga Pakistan sebelum menculik mereka.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata tangkapan itu dilakukan susulan kejayaan memberkas empat dalang utama kumpulan terbabit baru-baru ini yang turut menyelamatkan tiga mangsa culik.

"Pada 19 Februari lalu, kami menahan empat suspek warga Pakistan yang dipercayai menculik tiga lelaki senegara untuk meminta wang tebusan dianggar RM620,000.


"Susulan itu, siasatan mendapati tiga lagi suspek warga tempatan yang bekerja sebagai polis bantuan terbabit penculikan itu," katanya di sini, semalam.


Menurutnya, polis merampas beberapa gari dan pistol mainan yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamar sebagai polis sebelum menculik mangsa dan menyerahkan kepada dalang kumpulan itu untuk urusan tuntutan wang tebusan.

"Kami percaya ketiga-tiga suspek terbaru ini terbabit sekurang-kurangnya lima kes penculikan warga Pakistan sejak tahun lalu dan semuanya direman sehingga 6 Mac ini," katanya.


Sementara itu, dalam kes berasingan, Ku berkata pihaknya kini memburu suspek utama berhubung dua kes samun van keselamatan membabitkan kerugian RM1.18 juta.

Katanya, suspek yang juga pengurus syarikat keselamatan, S Krishnan, 53, dikehendaki bagi membantu siasatan kes samun di Kepong pada 20 Disember tahun lalu membabitkan jumlah wang RM850,000 dan satu lagi kes di Taman Segar Cheras membabitkan RM330,000.


"Dua suspek berusia 50-an sudah ditahan dan suspek utama kes ini diburu, bagaimanapun serbuan ke rumah suspek baru-baru ini mendapati suspek sudah menghilangkan diri," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Beri ruang pewaris Kampung Baru perhalusi klausa

Posted: 01 Mar 2011 09:35 AM PST

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menangguhkan bacaan kedua Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUUPPKB) sehingga Jun depan bagi memberi ruang kepada pemilik dan pewaris Kampung Baru memperhalusi klausa dalam rang undang-undang itu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata ada beberapa klausa dalam RUUPPKB itu perlu diperhalusi dan difahami, malah pandangan pemilik dan pewaris terbabit perlu diberi keutamaan.


"Atas dasar rakyat didahulukan, kita memberi kepentingan suara kepada pemilik dan pewaris Kampung Baru. Perkara ini bukan berkaitan dengan siapa menang atau siapa kalah.

"Malah, kementerian juga bersetuju akan menubuhkan jawatankuasa khusus yang akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperhalusi klausa yang perlu diperbaiki," katanya selepas pertemuan dengan wakil pemilik dan pewaris Kampung Baru, di sini, semalam.


Raja Nong Chik berkata, penangguhan pembentangan untuk bacaan kali kedua itu juga sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


"Kami akan selesaikan perkara ini secepat mungkin dan Jun sasaran kami. Sekiranya ada perkara yang belum selesai sebelum itu, kami akan melambatkan (pembentangan) kerana lebih penting suara pemilik dan pewaris ini diberi keutamaan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen