Sabtu, 27 Ogos 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Nahas di Perak meningkat

Posted:

Nahas di Perak meningkat

Nahas di Perak meningkat

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my


MOHD. Shukri Dahlan (dua dari kiri) melihat antara hiasan panjut gabungan 11 balai yang dipertandingkan pada majlis berbuka puasa bersama Ketua Polis Perak di Balai Polis Pasir Putih, semalam.


IPOH 26 Ogos - Peningkatan mendadak angka kemalangan di negeri ini mengundang kebimbangan kepada Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.

Beliau berkata, meskipun Ops Sikap Ke-24 baru berlangsung tiga hari, jumlah kemalangan meningkat sebanyak 84 kes menjadikan jumlah keseluruhan 361 kes.

Katanya, jumlah kemalangan maut juga meningkat daripada dua kepada enam untuk tahun ini dan yang terbaru adalah melibatkan motosikal di Teluk Intan dan Gerik.

"Bilangan saman yang dikeluarkan pula bertambah daripada 1,026 kepada 3,121 sedangkan sasaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini adalah mengurangkan kadar kemalangan sebanyak lima peratus berbanding Ops Sikap lalu.

"Sehubungan itu, saya berharap pengguna jalan raya lebih berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan pengguna lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya, Ops Sikap Ke-24 dan Kempen Rumah Selamat musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2011 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Dr. Ir. Safry Kamal Ahmad serta Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Laila Mazwin Zakaria.

Pada majlis tersebut, Ramly turut menyampaikan sumbangan beg cenderamata beserta bendera kepada pengguna lebuh raya yang turut disumbangkan oleh Pergerakan Puteri UMNO Perak.

Terdahulu, pada sidang akhbar, Ramly menggesa agar jabatan-jabatan berkaitan memastikan bahawa papan tanda-papan tanda di jalan tidak dilindungi oleh objek lain seperti pokok.

Selain itu, beliau berkata, papan tanda-papan tanda itu juga harus diletakkan di sebelum simpang jalan supaya ia tidak menyebabkan pemandu teragak-agak untuk memilih lorong yang betul.

Kedah sasar kemalangan turun lima peratus

Posted:

Kedah sasar kemalangan turun lima peratus

Kedah sasar kemalangan turun lima peratus

ALOR SETAR 26 Ogos - Polis Kedah menyasarkan penurunan sebanyak lima peratus bagi kes kemalangan jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri dan sepanjang Ops Sikap 24 yang bermula Selasa lalu hingga 6 September ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, antara strategi yang akan dilaksanakan adalah menerusi konsep nasihat dan bimbingan kepada pengguna jalan raya sebelum tindakan penguatkuasaan diambil ke atas pesalah trafik.

Beliau berkata, pihaknya komited untuk mencapai sasaran tersebut yang turut memerlukan kesedaran dan kerjasama orang ramai menerusi pemanduan berhemah serta pematuhan undang-undang jalan raya.

"Polis juga akan melaksanakan konsep ronda dan statik menerusi kehadiran anggota di 40 lokasi di lebuh raya dan 160 lokasi di jalan persekutuan sepanjang Ops Sikap kali ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya Ops Sikap 24 dan kempen rumah selamat di sini semalam.

Ahmad berkata, punca utama kemalangan jalan raya ialah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat dan papan tanda, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan serta memotong di garisan berkembar.

Katanya, aspek lain yang perlu diberi keutamaan oleh pengguna jalan raya ialah memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain tumpuan di jalan raya, keselamatan rumah yang ditinggalkan sempena musim perayaan juga perlu diberi perhatian oleh orang ramai.

"Polis menyediakan borang balik kampung yang boleh dimuat turun dari laman web Polis Diraja Malaysia untuk diisi oleh orang ramai yang meninggalkan rumah mereka," katanya.

Pusat Pengumpulan Produk Pertanian hanya janji kosong

Posted:

Pusat Pengumpulan Produk Pertanian hanya janji kosong

Pusat Pengumpulan Produk Pertanian hanya janji kosong

SUNGAI PETANI 26 Ogos - Pusat Pengumpulan Produk Pertanian Lembah Jerai yang ditubuhkan kerajaan bagi mengatasi masalah lambakan buah-buahan dianggap hanya janji kosong dan sengaja digembar-gemburkan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berkata, ini kerana, projek yang terletak di Bandar Amanjaya, di sini itu sebenarnya masih belum beroperasi meskipun Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dikatakan telah merasmikannya, baru-baru ini.

"Pusat pengumpulan buah itu jika tengok dari luar papan iklan, cantik. Orang yang lalu-lalang di Jalan Lencongan Timur pun terharu kerajaan negeri ini yang bersungguh-sungguh mahu mengumpul buah-buahan orang kampung.

"Namun, apabila kita pergi ke tempat yang buah dikumpul, kita tengok tiada apa-apa, kosong walaupun ada khemah," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media di Jeti Semeling, dekat sini, malam tadi.

Hadir bersama ialah Presiden Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Kamarul Ariffin Md. Yasin.

Akhbar sebelum ini melaporkan, lebih 10,000 pemilik dusun buah-buahan di daerah Padang Terap membuat demonstrasi di Naka, Padang Terap kerana mendakwa kerajaan negeri gagal menunaikan janji bagi memungut hasil tanaman untuk diproses di Pusat Pengumpulan Produk Pertanian berkenaan.

Mereka mendakwa Azizan yang mengumumkan perkara itu pada program Mesra Rakyat di Pekan Naka Julai lalu, berjanji akan memungut buah-buahan tempatan seperti rambutan untuk ditinkan sebelum dipasarkan.

Berpegang kepada janji berkenaan, para petani dikesan tidak menjual buah-buahan kepada peraih seperti lazimnya. Namun, setelah menunggu hingga beberapa hari, tiada sebarang tindakan diambil daripada kerajaan negeri dan akhirnya mereka mengalami kerugian besar kerana buah-buahan itu rosak.

Shahanim yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, lokasi projek pusat pengumpulan produk pertanian terbabit juga sesuai kerana terletak di bandar Sungai Petani yang merupakan bandar industri.

"Sepatutnya mereka kena buat di kawasan yang ada hasil-hasil pertanian banyak seperti di Baling, Padang Terap atau Pokok Sena. Jika tak boleh buat pusat pengumpulan besar, buat secara kecil-kecilan pun cukup," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan