Ahad, 28 Ogos 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


PM lancar kedai 1Malaysia DMart di Felda

Posted:

PM lancar kedai 1Malaysia DMart di Felda

PM lancar kedai 1Malaysia DMart di Felda

PEKAN 27 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini melancarkan secara serentak 250 kedai 1Malaysia DMart yang dibina di tanah-tanah rancangan Felda seluruh negara.

Pelancaran tersebut berlangsung di kedai 1Malaysia DMart di Felda Chini Timur 2 di sini.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, semua kedai 1Malaysia DMart akan menjual barangan keperluan yang menggunakan logo 1Malaysia.

"Antaranya seperti susu tepung, sardin, jus oren, sos cili dan kicap yang kesemuanya dijual dengan harga yang lebih murah daripada biasa serta mempunyai kualiti seperti barang yang berjenama," katanya.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis dan Pengarah Urusan Mydin Holdings, Datuk Ameer Ali Mydin.

Menurut Najib, dengan adanya kedai ini, rakyat dapat berjimat sebanyak 30 hingga 40 peratus perbelanjaan harian.

''Sebagai contoh, sos cili yang berjenama dijual dengan harga RM2.10 sebotol tetapi di sini hanya dijual pada harga RM1.80, manakala lampin bayi dijual dengan harga RM18.50 berbanding dengan yang berjenama iaitu berharga RM30.20," katanya.

Najib berharap, dengan kewujudan kedai ini semua rakyat mendapat faedah terutamanya peneroka Felda.

Tambah beliau lagi, penubuhan kedai ini menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin terhadap rakyat.

"Sebelum ini pembangkang menggelarkan BN ini sebagai barang naik, namun setelah kewujudan kedai ini mereka semua diam," katanya.

Dalam pada itu, pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Felda Chini Timur 2, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.88 juta untuk kawasan Gugusan Felda Chini.

Katanya, peruntukan itu termasuk untuk membaiki, membina dan menaik taraf kemudahan di kawasan Gugusan Felda Chini termasuklah klinik kesihatan, masjid dan dewan.

Waktu perjalanan PLUS bantu kelancaran trafik

Posted:

Waktu perjalanan PLUS bantu kelancaran trafik

Waktu perjalanan PLUS bantu kelancaran trafik


Tinjauan orang ramai yang pulang ke kampung sempena menjelang Aidilfitri di Tol Sungai Besi.


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Warga kota sejak semalam mula beransur-ansur meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tinjauan Mingguan Malaysia di Plaza Tol Sungai Besi hari ini menyaksikan pertambahan ketara jumlah kenderaan yang menuju ke selatan tanah air.

Seorang pengguna, Shahril Nizam Abdul Jalil, 36, berkata, cadangan PLUS Expressways Berhad (PLUS) mengenai jadual perjalanan mengikut waktu ganjil dan genap dipercayai dapat membantu kelancaran trafik.

"Saya rasa cadangan itu berkesan kerana kita dapat lihat kenderaan bergerak dengan lancar dan plaza tol juga tidak begitu sesak," katanya yang akan pulang ke Melaka.

Justeru, Shahril Nizam turut menasihatkan pengguna lebuh raya yang lain agar mengikut jadual perjalanan tersebut bagi memudahkan perjalanan masing-masing.

Seorang lagi pengguna, Hafiz Zaini, 35, turut bersetuju yang cadangan tersebut membantu merancang perjalanan pulang ke kampung.

"Nombor kereta saya berakhir dengan angka 0, jadi saya mengambil keputusan untuk bertolak pada pukul 2 petang tadi dari rumah di Ampang.

"Sehingga kini perjalanan masih lagi lancar dan saya berharap perjalanan pulang ke Negeri Sembilan tidak akan menjadi masalah," katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Ahmad Hambal Adnan, 25, berkata, walaupun hanya menunggang motosikal untuk pulang ke Melaka, dia dapat merasakan keadaan lalu lintas akan mula sesak pada malam ini.

"Mungkin ada yang masih membeli-belah pada saat akhir, rasanya sebab itulah bilangan kereta tidak banyak sekarang. Jadi senang sikit saya mahu pulang," katanya.

Bagi Abdul Muhaimin Abdul Hadi, 29 pula, perjalanannya dari Perak ke Putrajaya, lancar walaupun bertolak tidak mengikut cadangan yang diberikan PLUS.

"Walaupun tidak mengikut jadual PLUS, saya masih lagi tidak tersangkut dalam kesesakan kerana saya rasa orang ramai akan mula pulang ke selatan pada malam ini," katanya.

Yusry mengaku rancang kahwin Lisa Surihani 2013

Posted:

Yusry mengaku rancang kahwin Lisa Surihani 2013

Yusry mengaku rancang kahwin Lisa Surihani 2013

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Setelah hampir dua minggu membisu mengenai desas-desus perkahwinannya, aktor duda yang tampan, Yusry Abdul Halim akhirnya mengaku merancang berkahwin dengan buah hatinya Lisa Surihani.

"Insya-Allah jika semua berjalan lancar dan tidak ada apa-apa halangan dari segi kerja, saya akan melamar Lisa dan mengahwininya pada 2013.

"Kalau tanya pada hati, memanglah saya mahu cepat tetapi apa-apa pun kami harus menghormati keluarga mengenai hasrat kami itu.

"Apa yang pasti, kami tidak mungkin berkahwin tahun depan kerana Lisa akan berlakon dalam filem arahan saya, Ular," akui Yusry, 37, ketika ditemui pada majlis berbuka puasa KRU di Hotel JW Marriot, baru-baru ini.

Ular yang dijangka memulakan penggambaran pada awal tahun depan dengan kos penerbitan RM1.7 juta akan menampilkan Lisa sebagai wartawan yang membantu menyelesaikan tragedi ular sebagai pembunuh manusia.

"Disebabkan kesibukan saya dan Lisa, kami tidak akan berkahwin tahun depan dan mudah-mudahan niat murni kami akan dapat dilaksanakan pada tahun berikutnya," kata Yusry.

Yusry yang mula intim dengan Lisa sejak lapan bulan lalu mengakui walaupun tempoh perkenalan mereka agak singkat namun banyak keistimewaan Lisa yang memikat hatinya.

Selepas bercerai dengan Erra Fazira, dia pernah berkawan dengan beberapa gadis namun hubungan itu hanya bertahan dua bulan.

"Namun Lisa amat berbeza. Dua bulan pertama mengenalinya, Lisa berjaya memikat hati saya dengan sifatnya yang lemah lembut dan begitu pandai menarik hati keluarga saya," kata Yusry.

Ditanya apa keistimewaan Lisa yang benar-benar menambat hatinya, tanpa teragak-agak Yusry berkata;

"Saya suka memandang wajah Lisa yang manis dan ayu. Setiap kali menatap wajahnya hati saya sejuk dan jiwa menjadi tenang. Itulah yang membuatkan saya menyenanginya."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan