Isnin, 29 Ogos 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Esso Malaysia tetap milik SMC

Posted:

Esso Malaysia tetap milik SMC

Esso Malaysia tetap milik SMC

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Ogos - ExxonMobil Corporation tetap menjual 65 peratus pegangan sahamnya dalam Esso Malaysia Berhad (EMB) kepada San Miguel Corporation (SMC) walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak.

Langkah penjualan itu dilakukan kerana SMC menawarkan kadar tertinggi iaitu RM3.50 sesaham beserta pakej terbaik.

Naib Presiden ExxonMobil Corporation, Stafford T. Kelly berkata, pakej dimaksudkan termasuk SMC bersedia meneruskan operasi dua loji penapisan minyak syarikat itu di Port Dickson, Negeri Sembilan yang menjamin peluang pekerjaan buat 750 kakitangan tempatan ExxonMobil sedia ada.

Katanya, tawaran oleh SMC itu jauh lebih baik berbanding oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan sebuah lagi syarikat tempatan tidak dinamakan yang menawarkan harga pembelian lebih rendah serta enggan meneruskan pengoperasian dua loji penapisan tersebut.

Lebih menarik, katanya, SMC juga menyatakan hasrat untuk membina sebuah pusat kejuruteraan di negara ini sebaik sahaja mengambil alih EMB dan ia dijangka memberi 20 peratus pertambahan peluang pekerjaan buat rakyat tempatan.

"Sebanyak tujuh syarikat Malaysia menyatakan hasrat untuk membeli pegangan saham kami, tetapi hanya dua sahaja yang disenarai pendek termasuk LTAT, saya tidak boleh nyatakan satu lagi syarikat berkenaan.

"Kesemuanya telah diberi peluang sama rata, tetapi SMC menawarkan kadar tertinggi pada RM3.50 sesaham iaitu premium 25 peratus daripada harga seunit saham EMB pada RM2.80 kira-kira enam bulan sebelum pengumuman penjualan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan melalui telefon dari ibu pejabat ExxonMobil di Virginia, Amerika Syarikat hari ini.

Isu penjualan saham EMB dan syarikat milik penuhnya ExxonMobil Malaysia Sdn. Bhd. (EMMSB) serta ExxonMobil Borneo Sdn. Bhd. (EMBSB) kepada SMC pada RM614.25 juta atau RM3.50 sesaham menarik perhatian pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan kerana disifatkan merugikan negara serta mengurangkan peluang pekerjaan buat rakyat tempatan.

Kelly menambah, laporan sebelum ini yang menyebut LTAT menawarkan RM5.20 sesaham untuk pembelian EMB adalah tidak benar, sebaliknya ia jauh lebih rendah daripada kadar yang ditawarkan SMC.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah SMC, Eric O. Recto pada satu lagi persidangan melalui telefon memberitahu, SMC tidak akan menggunakan sumber daripada hasil penjualan arak dalam pembelian tersebut, sebaliknya hanya akan menggunakan sumber kewangan daripada anak syarikatnya, Petron Corporation yang turut berkecimpung dalam bidang cari gali minyak.

Menurutnya, SMC yang berpangkalan di Filipina merupakan sebuah konglomerat yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan, minuman, petroleum serta tenaga dan 70 peratus daripada perolehannya terdiri daripada segmen selain makanan dan minuman termasuk arak.

Katanya, SMC melalui Petron Corporation kini merancang melabur sehingga AS$1 bilion (RM2.98 bilion) untuk menaik taraf dan memasang peralatan baru di loji penapis berusia 48 tahun di Port Dickson.

Beliau memberitahu, syarikatnya kini merancang membawa jentera baru bagi menghasilkan lebih banyak produk nilai tambah ke pasaran Malaysia.

"Syarikat menjangkakan pencapaian yang sama seperti mana yang kami lakukan semasa memperoleh Petron Corporation tiga tahun lalu," katanya.

PPIM ketuai boikot minyak Esso

Posted:

PPIM ketuai boikot minyak Esso

PPIM ketuai boikot minyak Esso

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak teragak-agak untuk mengetuai tindakan memboikot minyak serta lain-lain produk Esso Malaysia Bhd. (EMB) berikutan penjualan sahamnya kepada San Miguel Corporation (SMC) dalam masa terdekat.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu penting bagi mengingatkan syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini supaya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan ekonomi tempatan yang telah menjadi pusat operasi mereka selama berpuluh tahun.

"PPIM akan mengetuai boikot ke atas Esso dan mengajak rakyat Malaysia supaya menggunakan minyak Petronas kerana tindakan ExxonMobil (Corporation) menjual EMB kepada SMC jelas tidak menjaga sensitiviti rakyat negara kita.

"Seperti semua maklum, SMC turut berkecimpung dalam pembuatan serta pengedaran arak dan walaupun itu bukan merupakan perniagaan utama mereka, ia tetap menjadi satu pertimbangan yang akan PPIM gunakan dalam pemboikotan Esso nanti," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Setelah hampir dua minggu pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa ExxonMobil supaya tidak menjual pemilikan saham EMB kepada SMC, Naib Presidennya, Stafford T. Kelly dalam satu sidang akhbar hari ini menjelaskan penjualan itu tetap akan dibuat kepada syarikat berpangkalan di Filipina tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Penasihat Pengguna Malaysia (PPPM), M. Subramaniam berkata, keputusan ExxonMobil menjual saham EMB kepada SMC jelas menunjukkan ia tidak sensitif dengan kedudukan negara ini yang mempunyai penduduk majoriti beragama Islam.

Katanya, ExxonMobil perlu mengambil kira iklim sosiopolitik negara dan tidak hanya membuat tindakan berdasarkan keputusan perniagaan semata-mata.

"PPPM boleh menyertai tindakan boikot ke atas Esso tetapi ia tidak bermakna semua pengguna akan melaksanakannya (boikot).

"Bagaimanapun, jika majoriti pengguna Islam memboikot minyak Esso selepas ini, ia akan turut mempengaruhi rakan-rakan bukan Islam lain untuk turut sama menyertai boikot itu namun ia memang tertakluk kepada individu tertentu," jelasnya.

Ismail Sabri: Kerajaan tidak boleh paksa

Posted:

Ismail Sabri: Kerajaan tidak boleh paksa

Ismail Sabri: Kerajaan tidak boleh paksa

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kerajaan tidak boleh memaksa ExxonMobil menjual saham Esso Malaysia Bhd. (EMB) kepada syarikat tempatan kerana ia merupakan hak mutlak syarikat multinasional itu yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, beliau telah bercakap dengan Naib Presiden ExxonMobil Corporation, Stafford T. Kelly dan menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat berkenaan penjualan EMB kepada San Miguel Corporation (SMC).

"Namun, Kelly memberitahu saya SMC menawarkan harga pembelian yang paling menguntungkan. Kerajaan tidak boleh memaksa ExxonMobil menjual saham EMB kepada syarikat tempatan kerana itu akan memburukkan imej kita di mata para pelabur antarabangsa dan ia akan merugikan kita dalam jangka panjang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, kerajaan sentiasa berharap supaya syarikat tempatan terutama bumiputera mampu memiliki pegangan saham syarikat seperti EMB, namun ia bergantung kepada keupayaan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan