Sabtu, 27 Ogos 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Pastikan al-Quran digital lulus JAKIM

Posted: 03 Jun 2011 02:53 PM PDT

Wilayah

SEBAHAGIAN daripada al-Quran digital menanti untuk mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri.

SEBAHAGIAN daripada al-Quran digital menanti untuk mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Kesilapan kandungan boleh jejas pemahaman umat Islam

KUALA LUMPUR: Umat Islam dinasihatkan supaya tidak mudah tertipu dengan al-Quran digital yang ditawarkan dengan harga murah serta dilengkapi pelbagai aplikasi, sebaliknya perlu terlebih dulu menyiasat sama ada mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau sebaliknya.

Pengurus Kanan Pemasaran dan Jualan Dawama Sdn Bhd, Norida Jalaluddin, berkata walaupun al-Quran digital dijual secara meluas di pasaran menawarkan pakej lengkap termasuk terjemahan pelbagai bahasa, selain panduan bacaan yang berterusan serta perisian Muqaddam, tiada jaminan kandungannya benar-benar menepati al-Quran. Norida berkata, syarikatnya yang bekerjasama dengan Iqra Pintar Sdn Bhd menerbitkan al-Quran digital, e-Qalam menjalani saringan yang ketat KDN dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) termasuk disemak sebanyak dua kali sebelum diterbitkan pada 2009 dan pekerja yang terbabit perlu beragama Islam dan menutup aurat sepanjang proses penghasilan al-Quran itu.

"Al-Quran yang kita gunakan juga daripada KDN yang mengikut Rasm Uthmani, selain perisiannya dilakukan dalam negara. Pen digital yang digunakan untuk bacaan juga fokus kepada ayat yang dibaca bagi memudahkan mereka yang baru belajar dan terjemahannya juga terhad kepada satu bahasa bagi setiap set.

"Walaupun harganya tidak semurah lambakan al-Quran digital yang dijual di pasaran, kita menekankan kepada kualiti dan adab dalam pembikinannya kerana ini adalah kitab Allah yang menjadi panduan seluruh umat Islam," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Isnin lalu, akhbar ini mendedahkan, banyak perisian al-Quran digital termasuk dalam telefon bimbit, komputer tablet dan pen pintar dijual di negara ini dikesan mempunyai pelbagai kesilapan yang boleh menjejaskan pemahaman umat Islam yang menggunakannya.
Perisian ayat al-Quran dalam bentuk visual dan audio MP3 serta MP4 kebanyakannya dibawa masuk dari China dikesan mempunyai kesilapan seperti tiada tanda baris, wakaf, susunan ayat tidak teratur, ayat tidak bernombor serta kesalahan teknikal pada paparan.

Sementara itu, Pengurus Kanan Teknologi Maklumat Dawama Sdn Bhd, Zulkifli Suliman berkata, beliau pernah menerima tawaran menjual al-Quran digital yang boleh dibeli daripada pengeluar dipercayai tidak mendapat kelulusan KDN dengan harga RM200 seunit untuk 12 unit dan boleh dijual kembali dengan harga RM360 ketika menyamar sebagai pengedar.


Etiqa Takaful serah cek RM69,999

Posted: 03 Jun 2011 02:52 PM PDT

Wilayah

KAJANG: "Sebagai ibu, tumpuan saya hanya satu iaitu membesarkan keempat-empat anak sebaik mungkin agar hidup mereka sempurna biarpun tidak berayah," kata Suraini Shafii, balu juruterbang helikopter Sabah Air, Kapten Sahaimi Ghazali, 38, yang terkorban selepas helikopter dipandunya terhempas sebaik menurunkan tiga ahli rombongan lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri di Dataran Sibu, Sarawak, pada 11 April lalu.

Suraini, 38, meluahkan demikian ketika ditemui selepas menerima pampasan insuran Etiqa Takaful Islamik bernilai RM69,999.58 daripada wakil Etiqa Takaful Berhad, Azizah Mohamad di rumahnya di Taman Kajang Utama di sini, semalam.

Suraini berkata, beliau bersyukur menerima pampasan itu yang akan digunakan bagi menampung perbelanjaan harian keluarga dan pendidikan anak-anak. "Wang ini disimpan untuk kegunaan pembiayaan pendidikan masa depan anak kami, Muhammad Salman, 13; Muhammad Hilmi, 9; Yasmin Salsabila, 7 dan Muhammad Iskandar, 4," katanya.

Suraini berkata, selepas kematian suami, beliau dan anak terpaksa meneruskan kehidupan walaupun sukar dan perit.

"Saya dan anak akan berpindah ke Kelantan esok untuk memulakan kehidupan baru bersama keluarga di sana," katanya yang mengambil cuti tanpa gaji daripada tugasnya sebagai jururawat di Hospital Kajang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan