Rabu, 31 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Beraya dengan Tuanku

Posted: 30 Aug 2011 08:50 AM PDT

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Istana Negara di sini, semalam.

Sesi rumah terbuka bagi orang kenamaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta menteri Kabinet dan diplomat asing.


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, antara 500 tetamu yang menghadiri rumah terbuka itu. Selepas rumah terbuka untuk orang kenamaan itu, Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah mengadakan rumah terbuka untuk orang ramai.

Kira-kira 20,000 rakyat berbilang kaum daripada pelbagai lapisan mengunjungi rumah terbuka itu yang bermula jam 11.40 pagi hingga 1 tengah hari. Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah turut meluangkan masa berdiri di hadapan 'rumah kaca' di Istana Negara untuk bersalaman dengan orang ramai dan memberi duit raya kepada kanak-kanak.


Orang ramai kemudian menerima cenderamata daripada pihak Istana Negara sebelum bergerak ke khemah disediakan di pekarangan istana untuk menikmati jamuan yang disediakan.


Penggal Seri Paduka berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual berakhir pada Disember ini.

Sementara itu, keadaan jalan raya di hadapan pintu masuk utama Istana Negara sesak kira-kira tiga kilometer akibat daripada deretan kenderaan yang diletakkan di sepanjang bahu jalan di situ.


Seorang pengunjung yang berpakaian unik iaitu Baju Melayu bercorak 'Jalur Gemilang', Hashim Mohamad atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Asyiem Songkok, 54, berkata, beliau berasa sungguh bertuah kerana buat pertama kali dapat menjejakkan kaki ke Istana Negara meraikan Aidilfitri bersama-sama dengan Tuanku. "Saya rasa amat bertuah kerana dapat bersama-sama rakyat yang beratur ini meraikan Aidilfitri dan juga menyambut Hari Kemerdekaan ke-54 negara secara serentak.

"Walaupun kesihatan saya agak terganggu, tapi saya tabahkan semangat untuk hadir bersama rakyat bagi merayakan hari raya kali ini bersama dengan Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika berbaris untuk bersalaman dengan baginda berdua.


Menurutnya baju Melayu, songkok dan samping corak 'Jalur Gemilang' itu dijahit isterinya dan kini beliau sudah mempunyai lima pasang baju Melayu Jalur Gemilang.


Ann-Marie Hanssen, 34, dari Sweden berkata, beliau yang secara kebetulan melawat Istana Negara tidak melepaskan peluang untuk menyertai kemeriahan itu. "Saya berada di Malaysia selama sebulan dengan suami saya yang bekerja di sini dan ini pertama kali saya datang melawat Istana Negara dan saya berasa sungguh seronok.


"Budaya Malaysia amat menarik dan orangnya pula mesra dan kami amat menyukainya," katanya. -Bernama

Ibu curi untuk anak

Posted: 30 Aug 2011 07:56 AM PDT

KAJANG: Hanya kerana mahukan anaknya memakai baju baru, seorang wanita mencuri beberapa pakaian dan barangan permainan bernilai RM597 di sebuah pusat beli-belah terkenal di Cheras.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan ternampak kelibat seorang pelanggan dalam keadaan mencurigakan di bahagian pakaian kanak-kanak.


Menurutnya, pengawal terbabit mengekori suspek yang masuk ke bilik persalinan bersama beberapa pakaian, tetapi suspek tidak mengetahui perlakuannya diperhatikan.

Katanya, tidak lama kemudian, suspek keluar, tetapi pakaian yang dibawa ke dalam bilik berkenaan tiada bersamanya.


"Mengesyaki suspek mencuri pakaian, pengawal berkenaan mengekori suspek hingga ke tempat letak kereta sebelum menahannya.


"Pengawal berkenaan mendapati beberapa baju dan seluar kanak-kanak serta mainan disembunyikan dalam beg suspek," katanya.

Katanya, suspek dibawa ke pejabat pengurusan pusat beli-belah berkenaan untuk diambil keterangan sebelum menghubungi polis.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata polis sudah mengambil keterangan suspek yang mengaku mencuri pakaian berkenaan.

"Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan