Jumaat, 26 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tumpas di R&R

Posted: 25 Aug 2011 12:41 PM PDT

SHAH ALAM: Helah pengedar dadah menjadikan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Ulu Bernam, Kuala Kubu Baru sebagai 'port' pengedaran dadah tidak berhasil berikutan penahanan dua orang, Isnin lalu.

Seorang lelaki dan seorang wanita yang berada dalam sebuah kenderaan ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di kawasan berkenaan selepas anggota polis mengintip kegiatan mereka.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata hasil serbuan menemui lima bungkusan plastik disyaki dadah jenis heroin dalam Mercedes-Benz yang dinaiki kedua-dua suspek.

"Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, kami menahan seorang lagi lelaki di kawasan berhampiran R&R itu.


"Tangkapan itu turut membawa kepada penemuan tiga lagi bungkusan plastik disyaki heroin di rumah sewa suspek lelaki pertama di Petaling Jaya," katanya ketika pada sidang media di IPK Selangor di sini, semalam.


Semua lapan peket dadah yang ditemui itu dianggarkan seberat 3.3 kilogram dan bernilai RM74,000. Polis percaya dadah berkenaan dibawa dari Pulau Pinang untuk diedarkan di Lembah Klang.

Sementara itu, cubaan seorang lelaki warga Nigeria menyeludup syabu seberat 1.3 kilogram bernilai RM260,000 ke negara ini gagal selepas ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Lapangan Terbang KLIA, Isnin lalu.


Lelaki berumur 28 tahun itu ditahan sejurus tiba dari penerbangan Doha di balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira jam 4 petang.

Nordin berkata, suspek dipercayai pertama kali memasuki negara ini berdasarkan rekod pada pasport suspek.


"Pemeriksaan terhadap beg komputer bimbit suspek mendapati ia mengandungi bungkusan dadah disyaki jenis syabu yang ditemui tersorok.


"Suspek yang juga penjual alat ganti motosikal di negaranya direman seminggu sehingga Isnin ini," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum gantung mandatori jika sabit kesalahan.

3 suspek bunuh warga Jepun ditahan

Posted: 25 Aug 2011 12:04 PM PDT

SHAH ALAM: Polis menahan tiga lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh dan samun dua lelaki Jepun di hotel empat bintang di Jalan Ampang, pada Isnin lalu.

Ketiga-tiga suspek yang berumur 20 hingga 35 tahun itu dipercayai mengenali kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan.


Ketua Jabatan Siasatan Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata setakat ini polis belum menjumpai barangan milik mangsa untuk dikaitkan dengan kes berkenaan.

"Kedua-dua mangsa disamun RM110,000, tetapi polis tidak menemui wang berkenaan ketika ketiga-tiga suspek ditangkap. Bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan kes ini," katanya.


Mohd Adnan berkata, ketiga-tiga suspek direman sehingga 31 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Dalam kejadian yang berlaku antara jam 1 pagi pada Isnin lalu, polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa warga Jepun yang berumur 50-an oleh pihak pengurusan hotel.

Rakan mangsa, juga berusia 50-an ditemui diikat tangan dan kakinya dalam bilik berkenaan, namun cedera ringan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan