Rabu, 31 Ogos 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Muhyiddin sedih kemalangan jalan raya meningkat

Posted: 31 Aug 2011 01:40 AM PDT

Mutakhir

PAGOH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan rasa sedih dengan peningkatan jumlah kemalangan di jalan raya pada musim perayaan ini.

Beliau berkata, peningkatan itu terutama sekali di jalan negeri dan bandaran tidak sepatutnya berlaku kerana pelbagai kempen diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, sehingga Jabatan Keselamatan Jalan Raya ditubuhkan bagi menangani perkara itu.

Jumlah kes kemalangan jalan raya terutamanya yang melibatkan motosikal membimbangkan kerajaan, katanya. "Saya rasa sedih kerana paling banyak kes melibatkan motosikal. Kempen dah lama kita jalankan sehingga kita tubuhkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya tetapi malangnya perkara ini masih berulang sama ada pada musim perayaan atau bukan musim perayaan," katanya.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai peningkatan kemalangan jalan raya di musim perayaan ini semasa ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Kompleks Seri Pekembar di sini, hari ini.

Sebanyak 15 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dicatatkan pada hari kelapan Ops Sikap-24 semalam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus meneliti langkah terbaik bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini dan meskipun langkah memperketatkan peraturan mungkin menerima bantahan banyak pihak.
Pengguna jalan raya, kata beliau boleh menyalahkan jalan yang berlubang atau sempit sebagai punca kemalangan namun ia boleh dielakkan jika mereka berhati-hati dan tidak memandu laju.

Justeru, Muhyiddin menasihati pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab, menghargai nyawa, menghormati satu sama lain dan ingat kepada orang yang disayangi ketika memandu. - BERNAMA


Warga Malaysia meriahkan sambutan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta

Posted: 31 Aug 2011 01:03 AM PDT

Mutakhir

JAKARTA: Warga Malaysia yang beragama Islam di Indonesia hari ini menyertai umat Islam republik itu untuk menyambut Aidilfitri yang kebetulan bersamaan dengan tarikh ulangtahun ke-54 Kemerdekaan Malaysia.

Sebagai tanda perpaduan, sebilangan rakyat Malaysia di sini berkumpul di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan untuk bersama-sama merayakan hari kebesaran Islam itu dalam suasana kemesraan dan semangat 1Malaysia.

Berbeza daripada tahun sebelum ini, kali ini negara jiran yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia itu, menyambut Aidilfitri sehari lebih lewat daripada Malaysia. Acara sambutan di Kedutaan Besar dimulai dengan solat Aidilftri di ruangan foyer bagi menempatkan bilangan jemaah yang lebih ramai.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isterinya, Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail AlJaffree hadir bersama petugas kedutaan, serta warga Malaysia di sini, termasuk pelajar, untuk menunaikan ibadat solat sunat hari raya puasa itu.

Mereka berdua kemudian meraikan tetamu berbilang kaum pada acara jamuan hari raya di Dewan Serbaguna kedutaan besar, yang menyajikan juadah makanan tradisional Malaysia seperti ketupat, lemang dan rendang serta kuih-muih.

Seperti kelaziman di Malaysia, kanak-kanak tidak ketinggalan akan mendapat rezeki "duit raya" yang diagih-agihkan pada majlis itu.
Di peringkat Kerajaan Indonesia, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Ibu Ani Yudhoyono menyertai umat Islam di negara ini dalam solat Aildilfitri di Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara.

Mereka kemudian mengadakan acara rumah terbuka di Istana Negara, Jakarta Pusat, yang dibahagikan kepada dua peringkat iaitu untuk orang kenamaan pada sebelah pagi dan untuk rakyat jelata pada sebelah petang.

Sambutan Aidilfitri oleh umat Islam di Indonesia turut diwarnai dan dimeriahkan dengan amalan rumah terbuka dan kunjung mengunjung di kalangan kaum keluarga serta sahabat handai. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan