Jumaat, 26 Ogos 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Malaysia terus sokong dasar Obama tangani Islamophobia

Posted: 26 Aug 2011 03:42 AM PDT

Mutakhir

ROMPIN: Kerajaan Malaysia akan meneruskan dasar menyokong pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, dalam menangani fenomena Islamophobia di kalangan masyarakat negara itu, kata Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Katanya, Obama berjaya membawa perubahan dalam memperbetulkan kefahaman salah terhadap ajaran Islam dan menyekat sentimen Islamophobia selepas mengambil alih pentadbiran di Rumah Putih.

"Saya nampak adanya perubahan pada tafsiran itu walaupun Obama berdepan dengan pelbagai cabaran untuk melakukan perubahan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek agihan dividen Risda kepada peserta rancangan Tanam Semula Komersial di Muadzam Shah, dekat sini, hari ini. Jarjis yang juga Ahli Parlimen Rompin, berkata memandangkan Obama menghadapi cabaran dan tekanan dalam mengatasi sentimen Islamophobia, kerajaan Malaysia berpendirian akan terus menyokong dasar pentadbiran presiden negara kuasa besar itu.

Ensiklopedia dalam talian Wikipedia mentafsirkan Islamophobia sebagai ketakutan atau kebencian terhadap agama Islam dan penganutnya.

Jarjis berkata, semangat dan sokongan dari Malaysia amat diperlukan Obama memandangkan cabang kuasa di negara itu bukan hanya terletak pada Rumah Putih tetapi berkongsi dengan Kongres yang masih berpegang kepada dasar lama.

"Kita akan terus beri sokongan kepada Obama kerana hanya beliaulah harapan kita untuk melihat dasar Amerika Syarikat terhadap Islam berubah," katanya. - BERNAMA


FAM tunggu jawapan tangguh perlawanan Syria

Posted: 26 Aug 2011 03:40 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Malaysia masih menunggu jawapan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung penangguhan perlawanan kelayakan Olimpik antara skuad negara menentang Syria pada 23 November ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, berkata pihaknya sudah mengutuskan surat kepada Syria dan memaklumkan kepada AFC namun masih belum menerima jawapan rasmi dari negara Teluk itu.

Malaysia sebelum ini memohon penangguhan agar perlawanan tersebut dilewatkan sehari kepada 24 November bagi memberi laluan kepada temasya Sukan SEA di Indonesia yang akan berlangsung dari 11-22 November. "Kita sudah memberitahu kedudukan yang sebenarnya kepada Syria. Bagaimanapun secara lisan saya difahamkan bahawa pihak Syria ada memberi pembayang kepada pihak AFC bahawa mereka akan memenuhi permintaan Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, skuad Olimpik kendalian Ong Kim Swee diberi tanggungjawab untuk memikul kedua-dua tugasan iaitu saingan Sukan SEA dan kelayakan Olimpik kumpulan zon Asia.

Pada Sukan SEA nanti acara bola sepak dimulakan pada 7 November dan perlawanan akhir pada 22 November.

Mengikut jadual asal, Malaysia akan berdepan Syria pada 23 November dan bertemu Bahrain pada 27 November.
Azzuddin berkata, penundaan sehari itu memadai kerana mengikut peraturan pertandingan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pemain mesti mempunyai 48 jam rehat selepas perlawanan antarabangsa.

"Jadual dalam kumpulan ini (kumpulan C) telah diaturkan lebih awal, kita tidak boleh meminta penundaan yang panjang oleh kerana ia ada hubungkait dengan dua perlawanan yang lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azzuddin berkata pihaknya sudah memberi jawapan kepada Australia yang FAM akan menerima undangan mereka dalam perlawanan persahabatan pada 7 Oktober ini, di Sydney, Australia.

"Kita sudah menerima undangan dari Australia itu dua hari yang lalu dan saya sudah berbincang dengan jurulatih, Datuk K Rajagobal dan juga pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal.

Katanya, perlawanan persahabatan ini adalah satu penghormatan kerana Australia merupakan salah satu pasukan dalam 16 kumpulan terbaik Asia bagi saingan Piala Dunia. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan