Utusan Online - Utara |
- 20 keluarga mangsa ribut dibantu
- Lim Swee Bok dan Loo Bee Ooi dinobat Tokoh Belia Pulau Pinang
- Pertubuhan Peladang Kawasan Bintong agih 10 spesies terbaik harumanis
20 keluarga mangsa ribut dibantu Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT Oleh NORAZLINA ISMAIL Shabudin Yahaya (kiri) beramah mesra dengan sebahagian penerima bantuan mangsa ribut di Pejabat UMNO Bahagian Tasek Gelugor Pulau Pinang, di Tasek Gelugor, semalam. TASEK GELUGOR 17 Jun - Sebanyak 20 keluarga di kawasan Parlimen Tasek Gelugor yang terjejas akibat kejadian ribut dan angin kuat Khamis lalu menerima bantuan bencana alam daripada UMNO. Mereka yang terbabit terdiri daripada penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Permatang Berangan dan Sungai Dua yang terpaksa menanggung kerugian setelah rumah mereka rosak dipukul ribut. Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata, bantuan itu diberikan bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk terlibat. "Ribut yang melanda negeri ini Khamis lalu turut mengakibatkan beberapa buah rumah di sekitar Seberang Perai mengalami kerosakan. "Pihak UMNO Bahagian Tasek Gelugor amat bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk dan atas dasar itu kita telah memberi bantuan sebanyak RM300 untuk 20 keluarga supaya mereka dapat menggunakan wang tersebut untuk membaiki rumah yang rosak," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di sini hari ini. Katanya, penduduk yang ditimpa bencana harus menjadikan kejadian tersebut sebagai iktibar dan menerimanya dengan reda. Sementara itu, seorang penduduk, Nayan Mat, 59, berkata, kejadian angin kencang dan ribut yang berlaku baru-baru ini adalah kejadian yang pertama pernah berlaku kepada mereka sekeluarga. "Tidak sangka pada hari itu angin terlalu kuat hingga merosakkan bahagian bumbung rumah saya dan kerosakan teruk boleh dilihat di bahagian dapur. "Kos untuk membaiki keseluruhan bumbung pula agak tinggi dan dengan pemberian bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya untuk membaikinya," ujarnya. Zawiyah Jaafar, 44, pula memberitahu, sejak rumahnya dipukul ribut, mereka sekeluarga tidak selesa kerana bahagian bumbung yang rosak teruk masih belum mampu untuk dibaiki. "Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan kesihatannya juga tidak menentu sejak kebelakangan ini. Jadi, suami tidak mampu untuk membaiki bumbung sendiri. "Bantuan sebanyak RM300 ini akan saya gunakan untuk membaiki bumbung yang rosak kerana sekarang ini setiap hari hujan dan kalau tidak dibaiki segera, rumah kami akan basah," katanya. |
Lim Swee Bok dan Loo Bee Ooi dinobat Tokoh Belia Pulau Pinang Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT M. Saravanan (dua dari kanan) beramah mesra dengan Lim Swee Bok (kiri) dan para pemenang lain sambil diperhatikan oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee sewaktu majlis penyampaian hadiah pada Festival Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang 2013 di Bukit Mertajam, baru-baru ini. BUKIT MERTAJAM 17 Jun - Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP), Lim Swee Bok dan Naib Yang Dipertua Majlis Belia Daerah (MBD) Seberang Perai Utara, Loo Bee Ooi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri tahun ini. Pengiktirafan tersebut diberikan atas usaha dan kesungguhan kedua-duanya membangunkan program-program belia di negeri ini. Kedua-dua anak jati Pulau Pinang itu menerima wang tunai RM3,000, sijil dan trofi yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan pada majlis perasmian Festival Belia Negara peringkat negeri di AEON Seberang Perai City Shopping Centre, Bandar Perda di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Presiden MBNPP, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang, Zakaria Kasa. Tokoh Belia Lelaki, Swee Bok, 33, ketika ditemui berkata, pengorbanannya dalam gerakan belia selama 15 tahun berbaloi apabila menerima anugerah itu. "Ini satu pengiktirafan kepada saya untuk terus memberi khidmat sukarela kepada belia di negeri ini," katanya yang tinggal di Daerah Timur Laut. Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan pengiktirafan lebih banyak kepada golongan belia kerana mereka berkhidmat secara sukarela di negara ini. Pemenang lain ialah Persatuan Belia Mutiara Sungai Duri, Seberang Perai Selatan dinobatkan Anugerah Perdana Pertubuhan Belia meraih wang tunai RM10,000, sijil dan trofi. Anugerah Khas Belia Tunas Muda dimenangi Ahmad Ripaie Zain (RM1,000, sijil dan trofi); Anugerah Khas Jasamu Dikenang (Mohd. Foad Mat Isa) dengan hadiah RM2,000, sijil dan trofi; dan Anugerah Khas Kecemerlangan Orang Kelainan Upaya (OKU) diberikan kepada Faiq Adnan (RM2,000). Faiq melakar sejarah perenang cacat penglihatan apabila berenang merentasi Selat Pulau Pinang sejauh lima kilometer pada 19 Mei lalu. Sementara itu, Saravanan pada sidang akhbar berkata, belia di negara ini jangan terpengaruh dengan politik pembangkang yang berdemontrasi kerana kepentingan seorang individu tertentu sahaja. Katanya, ini kerana belia perlu membangunkan ekonomi mereka dan mengelak golongan belia daripada tercicir. "Saya percaya belia di negara ini matang dan menolak demonstrasi kerana rakyat telah menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)," ujarnya. Saravanan berkata, pendekatan yang diambil kementerian bagi memastikan golongan belia mendapat pembelaan yang sewajarnya di negara ini. Sementara itu, pelbagai program diadakan sempena festival dua hari seperti pameran audio kereta dan pertandingan drif kereta, kursus go-kart, karnival kecergasan, pertandingan gusti lengan, pertandingan fotografi dan pameran beberapa agensi kerajaan. |
Pertubuhan Peladang Kawasan Bintong agih 10 spesies terbaik harumanis Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT Ahli PPK Bintong diberi penerangan mengenai spesies terbaik mempelam harumanis yang bakal dibekalkan kepada mereka ketika majlis pelancaran Ladang Mata Tunas Mempelam Harumanis di Jalan Kurong Batang, Bintong di Kangar, Perlis, semalam. KANGAR 17 Jun - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintong bakal membekalkan anak tunas pokok mempelam dari 10 spesies terbaik mempelam harumanis di ladang seluas 0.5 hektar di Jalan Kurong Batang, Bintong di sini tidak lama lagi. Pengurus Besarnya, Ruzhan Abdul Raof berkata, pihaknya akan mendapat kerjasama dari Jabatan Pertanian Negeri Perlis untuk memulakan usaha mengeluarkan anak tunas mempelam. "Dengan pengeluaran anak tunas ini, pengeluaran mempelam harumanis di Perlis menjadi lebih sedap dan berkualiti," katanya selepas majlis pelancaran Ladang Mata Tunas Mempelam Harumanis PPK Bintong di sini hari ini. Pada majlis ini, sebanyak 160 penduduk dari Kampung Pokok Jawi, Batu Pahat dan Syed Omar di Bintong menerima lima anak tunas pokok dan baja organik bernilai RM200 setiap seorang. Ruzhan berkata, PPK Bintong juga menyasarkan akan membekalkan 8,000 anak benih pokok harumanis di sepanjang tahun ini. Beliau berkata, diharapkan dengan adanya ladang anak tunas ini, diharap pihaknya akan dapat menghasilkan benih mempelam yang lebih berkualiti. "Tunas pokok harumanis daripada spesies terbaik ini akan dicantumkan kepada pokok lain yang mana boleh membesar dalam tempoh tiga tahun untuk mengeluarkan hasil," katanya. Sementara itu, Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perlis, Husnani Abdul Manaf dalam ucapannya berharap penerima anak tunas mempelam ini akan dapat meningkatkan pengeluaran buah-buahan ini di masa hadapan. Sehubungan itu katanya, penerima anak benih itu perlu memastikan pokok masing-masing dijaga dengan baik. "Jangan biarkan pokok itu begitu saja tanpa penjagaan sepatutnya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan