Utusan Online - Pahang |
- Pengguna hadapi risiko kemalangan
- Empower lonjak sektor pendidikan di Temerloh
- Pelajari pengurusan sumber manusia di Jerman
Pengguna hadapi risiko kemalangan Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT Oleh M.RIZAL NOR AHMAD Nazlan Idris (kemeja biru) melihat keadaan jambatan lama yang sempit di Kampung Sungai Par, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/M.RIZAL NOR JERANTUT 16 Jun - Kerajaan diminta meneruskan projek pembinaan Jalan Jerantut-Benta di sini yang terbengkalai bagi memastikan pengguna jalan raya mendapat kemudahan selesa. Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, pengguna jalan tersebut kini berdepan risiko kemalangan ekoran keadaan jambatan sedia ada di kawasan itu bukan sahaja sempit malah tidak lagi selamat digunakan. "Kita harap supaya pihak berkenaan dapat melaksanakan semula pembinaan jalan yang terbengkalai itu kerana keadaan jalan lama tersebut tidak lagi selamat digunakan dan boleh mengundang musibah pada bila-bila masa sahaja. "Di sini juga terdapat projek pembinaan jambatan yang lebih besar, kukuh dan mampu memberi keselamatan kepada pengguna namun turut terbengkalai," katanya kepada pemberita semasa membuat tinjauan laluan tersebut berhampiran Sungai Par di sini baru-baru ini. Ahmad Nazlan berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai yang mengatakan kawasan berkenaan terlalu bahaya kerana menjadi laluan kenderaan berat. "Kami telah turun padang untuk melihat sendiri keadaan jalan di kawasan ini pada waktu siang serta malam dan ternyata aduan daripada orang ramai adalah benar serta sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya," ujarnya. Beliau berkata, jarak selisih antara dua kenderaan dari kedua-dua arah sangat sempit dan situasi berkenaan sangat bahaya. Tambahnya, keadaan Jalan Jerantut-Benta berhampiran Jambatan Sungai Par mempunyai selekoh tajam selain keadaan jambatan sedia ada yang sudah mengalami hakisan. "Ini perkara serius kerana melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan jika projek yang terbengkalai itu kembali dilaksanakan sudah pasti orang ramai akan berasa lega dan tidak perlu bimbang lagi untuk melalui jalan tersebut," katanya. |
Empower lonjak sektor pendidikan di Temerloh Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT MOHD. Zarul Afifi Mohd. Zaki (berdiri, empat dari kanan) dan Mohd. Fadilah Kamsah (berdiri, lima dari kanan) bergambar dengan sebahagian pelajar yang menyertai Program Rise & Shine di SMK Seri Semantan, Temerloh, Pahang, semalam. TEMERLOH 16 Jun - Program pendidikan Empower yang diperkenalkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) membantu melonjakkan daerah ini menjadi sebagai pusat kecemerlangan ilmu. Penolong Pegawai Daerah Temerloh, Mohd. Zarul Afifi Mohd. Zaki berkata, kewujudan program berkenaan telah membantu para guru dan Pejabat Pendidikan daerah untuk muncul cemerlang di peringkat daerah, negeri serta kebangsaan. Menurutnya, perkara itu dibuktikan melalui kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan di sini menerima anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kategori tiga iaitu menunjukkan peningkatan gred purata sekolah (GPS) melebihi 10 peratus dalam SPM tahun lalu. "Secara tidak langsung Program Pendidikan Empower ECERDC membantu melonjakkan nama daerah ini sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan berharap pencapaian itu dapat diteruskan pada masa akan datang. "Kita berharap Empower Temerloh dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang lulus cemerlang dalam peperiksaan walaupun mereka adalah pelajar sekolah harian," katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Rise & Shine yang dikendalikan pakar motivasi, Datuk Mohd. Fadilah Kamsah di SMK Seri Semantan di sini hari ini. Program berkenaan disertai 500 pelajar dari SMK Mentakab, SMK Seberang Temerloh, SMK Lanchang dan sekolah itu sendiri yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM tahun ini. Menurut Mohd. Zarul, program tersebut berupaya meningkatkan keyakinan dan memberi perangsang kepada pelajar mencipta cemerlang di peringkat menengah. Katanya, motivasi seperti itu sangat berfaedah kerana akan membantu pelajar bersedia menghadapi sistem pembelajaran yang lebih mencabar bagi menentukan masa depan mereka. "Program Empower yang dilaksanakan sebelum ini berjaya membantu ramai pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR serta SPM dan secara tidak langsung merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan modal insan berpendapatan tinggi menjelang 2020," ujarnya. |
Pelajari pengurusan sumber manusia di Jerman Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT MARAN 16 Jun - Kementerian Sumber Manusia akan menghantar pegawai yang mewakili 14 sektor di bawah kementerian itu ke Jerman bulan depan bagi mempelajari kecekapan pengurusan sumber manusia di negara berkenaan. Timbalan Menterinya, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, dalam mencapai sasaran negara maju pada 2020, aspek kualiti sumber manusia perlu seimbang dengan kemajuan tersebut. Menurutnya, Jerman dipilih berikutan negara itu maju dalam bidang industri serta pengurusan sumber manusia yang berkualiti, malah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. "Mereka yang dipilih ke Jerman akan berada di negara tersebut selama seminggu bagi mempelajari bagaimana pengurusan bidang itu mampu berdaya saing. "Kumpulan itu juga akan dibawa melawat beberapa industri ternama dan jabatan kerajaan di negara berkenaan yang dikenali memiliki tenaga kerja berkualiti," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat daerah di Dewan Ibnu Sina Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jengka di sini semalam. Ismail berkata, sebaik sahaja kumpulan itu pulang ke negara ini, mereka akan dilantik sebagai jurulatih di peringkat sektor masing-masing supaya lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi diwujudkan. Menurutnya, pendekatan yang diambil kementerian itu sebagai usaha penambahbaikan dalam membentuk tenaga kerja positif serta dapat berkhidmat dalam semua sektor pekerjaan. "Malaysia mempunyai peluang pekerjaan yang mencukupi untuk rakyatnya tetapi masalah timbul kerana mereka sendiri terlalu memilih kerja. "Akibat terlalu memilih kerja seperti pembantu rumah dan tenaga buruh di ladang menyebabkan pekerjaan itu dimonopoli rakyat asing seperti Indonesia, Bangladesh dan lain-lain," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan