Utusan Online - Kota |
Kedai motosikal 'curi' hak awam Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD MOTOSIKAl baharu dan terpakai disusun di petak letak kereta dan laluan pejalan kaki oleh pemilik sebuah kedai motosikal di Taman Tenaga, Cheras, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 25 Jun - Sebuah kereta kelihatan mundar-mandir, mungkin pemandunya sedang tercari-cari tempat untuk meletakkan kenderaannya agar dia dapat menjalankan urusan. Tetapi, selepas agak lama pemandu itu berpusing-pusing di sekitar kawasan itu, dia masih belum mendapat petak letak kereta. Lebih mengecewakannya ialah apabila terdapat petak yang telah diisi dengan sebuah motosikal. Tetapi yang lebih membuatkan dia marah apabila terdapat beberapa petak yang dipenuhi motosikal milik sebuah kedai menjual kenderaan itu. Itulah senario yang berlaku di Taman Tenaga, Cheras, apabila petak letak kereta awam dibolot oleh kedai motosikal sehingga menyusahkan orang lain. Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, setiap kedai motosikal termasuk bengkel membaiki kenderaan di situ seakan-akan menjadikan kemudahan awam itu harta 'mak bapak' mereka. Biarpun terdapat dua petak khas di salah sebuah kedai di situ, petak di sebelahnya turut diletakkan motosikal terpakai untuk dijual kepada pelanggan. Malah, motosikal yang hendak dijual itu juga disusun sehingga menutup laluan menjadi satu lorong sahaja di sepanjang deretan kedai di situ. Seorang pengunjung, Zaini Zakaria, 53, berkata, masalah tersebut tidak pernah berubah sejak 15 tahun lalu kerana tiada tindakan diambil pihak berkuasa selepas aduan dilakukan. "Penduduk sendiri sudah membuat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai perkara ini tetapi memang tiada tindakan. "Motosikal tersebut juga mengganggu lalu lintas kerana di sebelah kanan laluan sehala itu memang petak letak kereta, jadi kalau ada lubang kita terpaksa langgar sahaja," katanya. Sementara itu, Zainuddin Abdul Rahman berkata, keadaan berbeza sekiranya peniaga makanan yang mengganggu lalu lintas atau petak letak kereta di situ. "Kalau peniaga makanan, DBKL mengambil tindakan mengeluarkan kompaun tetapi peniaga lain dibiarkan sahaja," katanya. Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Ludin, 62, berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas kerana baginya tiada guna aduan dibuat tanpa ada tindakan atau penyelesaian. "Kita komen pun tak guna kalau tiada tindakan dibuat. Mereka tidak takut untuk menggunakan petak letak kereta sebagai ruang pameran motosikal untuk dijual," katanya. |
Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN PETALING JAYA 25 Jun - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata Majlis Pengundian Unit Rumah Kerinchi Residensi yang dihadiri hampir keseluruhan pemiliknya membuktikan program pembangunan semula yang dilaksanakan kerajaan mendapat sokongan rakyat di kawasan itu. Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu dihadiri oleh seramai kira-kira 400 bekas penghuni Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi untuk mencabut undi unit rumah di Kerinchi Residensi yang bakal mereka duduki pada April 2016. Raja Nong Chik, yang turut hadir pada majlis pengundian itu berkata, pembangunan semula itu merupakan hasil perjuangan bersama-sama kerajaan Barisan Nasional (BN) dan penduduk setempat yang telah memperjuangkan pembangunan tersebut sejak 20 tahun lalu. "Alhamdulillah, hasilnya kita lihat sekarang iaitu pemilik-pemilik yang berasal daripada golongan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah lebih selesa yang nilainya lebih kurang RM300,000. "Semoga ini dapat mencetuskan pembangunan semula di kawasan-kawasan lain supaya golongan yang disasarkan menerima manfaat. Saya berharap lebih ramai penghuni yang mendiami kawasan usang dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha ini," katanya kepada Utusan Malaysia. Beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai menyifatkan, majlis itu juga menunjukkan pelbagai usaha pihak pembangkang untuk mengagalkan program seperti itu tidak berjaya. "Kelebihan melalui pembangunan ini adalah kita memastikan penduduk asal di situ dapat balik semula ke tempat sama dalam keadaan selesa. Saya juga akan teruskan perjuangan di Lembah Pantai jika diperlukan penduduk setempat melalui UMNO," jelasnya. Sementara itu, mengenai laporan polis yang dibuat olehnya berhubung penyebaran fitnah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar terhadap beliau akan diserahkan kepada pihak berkuasa dan mahkamah bagi tindakan selanjutnya. "Saya tidak akan berundur berhubung fitnah yang dilemparkan oleh beliau ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu yang telah mencemarkan nama saya. Dia (Izzah) kata dia 'main bersih', tapi jelas dia tidak main bersih dan bukan wakil rakyat yang 'bersih'. "Apa yang berlaku saya tetap akan melawan dia. Sebagai orang Lembah Pantai, dia tetap tidak akan duduk senang di sini dan saya akan lawan beliau sehingga ke akhir hayat," tegasnya. Beliau menambah, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu cuba menjejaskan usaha pembangunan semula Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi sehingga projek tertangguh selama dua tahun. "Dua tahun lalu kita dah cabut undi jika tidak kerana rancangan beliau untuk mengagalkan projek tersebut. Adakah kita mahu wakil rakyat seperti ini?," ujarnya. |
Pembakaran hutan kecil untuk dapat baja Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT SEORANG anggota bomba memadamkan api di sebuah hutan kecil di Kampung Johan Setia, Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN/Siti Rohaizah Zainal. KLANG 25 Jun - Kebakaran hutan kecil seluas 6.4 hektar di kawasan Kampung Johan Setia baru-baru ini dipercayai berpunca daripada pembakaran tanah gambut oleh golongan petani untuk mendapatkan baja. Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Andalas, Masdar Suminggu berkata, pembakaran tersebut dilakukan dalam kuantiti kecil tetapi ekoran cuaca yang kering dan panas menyebabkan api merebak ke kawasan lain. "Bagaimanapun, keadaan jerebu yang melanda negara bukan disebabkan pembakaran hutan kecil tanah gambut di kawasan ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Jelas Masdar, setakat hari ini, kebakaran seluas kira-kira 2.4 hektar hutan kecil di kawasan itu berjaya dipadamkan dan dua daripada empat kawasan yang telah dikenal pasti Unit Pemantau Udara Majlis Perbandaran Klang (MPK) Khamis lalu dapat dikawal. "Kini pasukan bomba masih berusaha untuk memadamkan kebakaran dalam tanah di dua tempat yang merupakan kawasan pertanian atau hutan kecil. "Proses pemadaman mengambil masa kerana kami terpaksa menggunakan air dari parit bersebelahan kerana kawasan tersebut tidak mempunyai punca air," katanya. Tambah Masdar, selain menggunakan kenderaan utiliti bomba dengan bantuan 19 anggota, MPK turut meminjamkan pam air bagi memudahkan kerja memadamkan api. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mengenal pasti pemilik tanah di kawasan hutan kecil tersebut. "Jabatan Alam Sekitar akan membuka 12 kertas siasatan untuk mendakwa pemilik tanah kerana gagal menjalankan tanggungjawab serta menyenggara tanah mereka dengan sebaiknya. "Saya difahamkan kebakaran di kawasan ini telah terkawal dan jika setiap pemilik tanah ini didapati bersalah mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau lima tahun penjara," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan