Isnin, 17 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Wakil rakyat Pas diberi 'tarbiah'

Posted: 17 Jun 2013 11:10 AM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN dan ASMA HANIM MAHMOOD
pengarang@utusan.com.my

KOTA BHARU 17 Jun - Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-13 hari ini menjadi pentas kepada Ketua Pembangkang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Nozula Mat Diah untuk memberi 'tarbiah' kepada pemimpin-pemimpin Pas Kelantan mengenai sikap buruk mereka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, pemimpin-pemimpin Pas Kelantan sebenarnya hanya berselindung di sebalik kopiah dan songkok sebaliknya pertuturan mereka kesemuanya dipenuhi makian dan tuduhan liar.

Nozula berkata demikian ekoran tuduhan yang dikeluarkan Mohamad Zaki Ibrahim (Pas-Kelaboran) sebelum itu yang mendakwa BN memberi pil kuda dan air ketum kepada golongan muda pada pilihan raya lalu untuk mendapat undi.

"Di dewan yang mulia ini kita jaga pertuturan kita, jangan sakitkan hati orang sebab Pas cakap perjuangkan Islam, tetapi bila bangun tuduh, bila bangun maki orang.

"Rupa-rupanya, hati pemimpin Pas belum bersih, belum suci sebaliknya hanya menggunakan kopiah dan songkok untuk menunjukkan ciri-ciri Islam," katanya ketika membahas titah ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Terdahulu ketika membahas titah baginda, Mohamad Zaki mendakwa Pas sepatutnya menang bersih 45-0 di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13, namun BN berjaya mendapat 12 kerusi DUN kerana melakukan pelbagai penipuan termasuk memberi dadah kepada pengundi muda.

"Inilah yang UMNO dan BN buat. Budak-budak muda mereka bagi pil kuda, air daun ketum untuk jadi petugas parti dan sokong BN," katanya yang merupakan bekas Timbalan Speaker DUN Kelantan pada penggal lalu.

Mengulas mengenai tuduhan tersebut, Nozula dalam nada sindiran berkata, Mohamad Zaki mungkin melepaskan geram untuk bercakap di dewan ini kerana tidak lagi diberi jawatan sebagai Timbalan Speaker.

Nozula berkata, pemimpin-pemimpin Pas sepatutnya menggunakan Sidang DUN untuk mengulas isu rakyat supaya dapat diselesaikan dalam tempoh empat atau lima tahun lagi, bukannya menjadikannya sebagai pentas memaki hamun dan melemparkan pelbagai tuduhan.

"Perkara-perkara seperti tuduhan buruk ini sepatutnya dilemparkan di ceramah, bukan di dewan yang mulia ini kerana dewan ini adalah pentas untuk kita berbincang tentang bagaimana nak memajukan negeri demi kebaikan rakyat.

"Sepatutnya peringkat awal persidangan ini kita rangka dalam tempoh lima tahun untuk beri kesejahteraan kepada rakyat bukannya terus berpolitik," tambahnya.

Lebuh raya: Pas Kelantan kutip RM2.6j derma

Posted: 17 Jun 2013 11:10 AM PDT

KOTA BHARU 17 Jun - Kerajaan Pas Kelantan telah mengutip sebanyak RM2.6 juta derma daripada rakyat untuk membina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sejak tabung itu dilancarkan Mei tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad berkata, kesemua wang itu bagaimanapun masih belum diusik kerana kerja-kerja pembinaan setakat ini tertumpu di Hutan Simpan Ulu Sat yang ditanggung Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Menurut beliau, setakat ini kontraktor yang dilantik sudah selesai menjalankan kerja-kerja penyediaan tapak, pembinaan pejabat tapak dan pembersihan hutan di kawasan tersebut, sepanjang jajaran empat kilometer.

Beliau turut menyatakan keyakinan pakej pertama pembinaan lebuh raya sepanjang 30 kilometer yang akan menghubungkan Bukit Bakar, Machang dan Kampung Damar, Kuala Krai akan siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Kita jangka sumbangan dapat dikutip sehingga RM50 juta kerana bukan datang daripada rakyat Kelantan sahaja tapi seluruh penduduk Malaysia.

"Pakej pertama lebuh raya dijangka selesai tiga tahun iaitu Central Spine Road (CSR) dari Wakaf Che Yeh ke Kadok sepanjang tujuh kilometer (projek kerajaan Pusat) yang turut memakan masa tiga tahun," katanya semasa menjawab soalan Mohd. Fauzi Abdullah (Pas-Manek Urai) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Fauzi, Hanifa menyatakan kesediaan kerajaan Pas Kelantan sekiranya kerajaan Pusat berhasrat mahu melaksanakan projek CSR di negeri ini melalui Kota Bharu, Kuala Krai, Gua Musang sehingga ke sempadan Negeri Sembilan.

"Tender untuk CSR telah dibuka dan semasa mesyuarat dengan pihak Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), pengarah bahagian pembangunan jalannya telah bertanya kepada saya adakah Kelantan setuju jika Pusat mahu membina terus dari Kota Bharu ke sempadan Negeri Sembilan.

"Bagi saya tidak ada masalah sebab ini adalah tanggungjawab kerajaan Pusat. Peruntukan RM2 bilion (sangat banyak) tetapi disebabkan Pusat tidak membinanya sejak 1986, maka terpaksalah kita sebagai kerajaan wajib buat projek untuk rakyat (lancar lebuh raya rakyat)," jelas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan