Utusan Online - Pahang |
Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA Sebahagian kanak-kanak Orang Asli berbaris untuk menerima sumbangan dalam Program Pemantapan Akidah, Ziarah dan Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Gumum, Chini, Pekan, baru-baru ini. - Utusan/Mahathir Ali PEKAN 13 Jun - Minat yang mendalam untuk mempelajari agama Islam menjadi pendorong kepada Ina Daud, 16, dari Kampung Orang Asli Sungai Mok di sini memeluk agama tersebut. Menurutnya, ketenangan dan kedamaian yang dirasai ketika mendalami agama itu telah berjaya membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam. "Sebelum ini, saya tidak pernah terfikir untuk memeluk mana-mana agama dan secara tiba-tiba apabila menyebut Islam, pintu hati saya terbuka luas untuk menerimanya," katanya baru-baru ini. Dia ditemui Utusan Malaysia selepas Program Pemantapan Akidah, Ziarah dan Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gumum, Chini di sini baru-baru ini. Pada majlis tersebut, seramai 80 Orang Asli melibatkan tiga kawasan iaitu Pekan, Rompin dan Muadzam Shah memeluk agama Islam. Kesemua mereka melafazkan kalimah syahadah di hadapan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan. Selepas selesai majlis itu, kesemua mereka diberikan hadiah berupa sejadah, songkok, telekung dan buku agama, selain wang zakat saudara baharu RM500 setiap seorang untuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas. Mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun pula menerima wang zakat RM400 manakala RM300 setiap seorang untuk usia 12 tahun ke bawah. Yang turut hadir Tok Batin Kampung Orang Asli Gumum, Awang Alok. Mengulas lanjut, Ina berkata, tindakannya memeluk agama Islam tidak dipaksa atau dipujuk oleh sesiapa tetapi atas kerelaan sendiri. "Sebelum ini saya selalu melihat dan ambil tahu tentang agama Islam melalui ceramah yang disampaikan," katanya lagi. Bagi Narulisa Johari, 21, pula, dia berasa sangat gembira kerana langkah yang diambil telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya. "Saya rasa ini merupakan keputusan yang paling tepat kerana Islam sendiri merupakan agama yang terbuka kepada semua," katanya yang berasal dari Kampung Orang Asli Rompin. Din Tahir, 38, dari Kampung Orang Asli Air Molek, Muadzam Shah berkata, hatinya tergerak untuk memeluk agama Islam setelah melihat cara hidup masyarakat Melayu yang saling hormat-menghormati di antara satu sama lain. "Saya biasa bergaul dengan rakan-rakan yang terdiri daripada masyarakat Melayu dan rasa tersentuh dengan layanan baik ditunjukkan ketika saya ke rumah mereka pada musim perayaan. "Dari situ saya mula belajar sedikit demi sedikit mengenai Islam dan akhirnya membuat keputusan memeluk Islam," katanya. Seorang lagi Orang Asli dari Kampung Mikang, Muadzam Shah, Joha Mansor, 30 berkata, dia, isteri dan dua anaknya bersyukur kerana dapat menyertai program pengislaman berkenaan. "Sebelum ini kami sekeluarga tidak mempunyai pegangan agama atau kepercayaan, kehidupan kami juga terasa kosong. "Saya berharap niat kami memeluk Islam mendapat keberkatan," katanya. |
Saudara baharu Islam tidak diabaikan Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT Wan Abdul Wahid Wan Hassan (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada salah seorang saudara baharu Islam dalam Program Pemantapan Akidah, Ziarah dan Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Gumum, Chini, Pekan, baru-baru ini. PEKAN 13 Jun - Saudara baharu termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini akan terus dibimbing agar mereka lebih memahami serta menghayati ajaran Islam yang sebenar. Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, program pemantapan akidah, ziarah dan ramah mesra bersama Orang Asli akan diadakan dari semasa ke semasa bagi tujuan tersebut. "Saudara baharu Islam memerlukan didikan agama yang secukupnya dengan memberi penekanan kepada soal menunaikan solat, membaca al-Quran dan fardu ain untuk memantapkan lagi pemahaman mereka mengenai Islam. "Kita gembira dan bersyukur kerana masyarakat Orang Asli kini sudah mula menerima Islam sebagai agama dan pegangan hidup," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Pemantapan Akidah, Ziarah dan Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Gumum, Chini di sini baru-baru ini. Dalam ucapannya, Wan Abdul Wahid turut menasihati saudara baharu Orang Asli agar sentiasa menghubungi pihak jabatan agama atau mereka yang arif jika berhadapan masalah atau keliru dengan ajaran Islam. Beliau berkata, ini kerana golongan itu akan dapat memberi penerangan serta maklumat jelas, nyata dan tepat seperti di dalam al-Quran dan hadis. "Saudara baharu perlu mendapatkan penjelasan tepat mengenai hukum-hakam agama dengan pihak yang bertauliah, jika tidak mungkin boleh mengeliru dan memesongkan akidah," katanya. Menurutnya, pihaknya juga akan menghantar lebih ramai guru agama atau penceramah ke perkampungan Orang Asli di negeri ini bagi mengajar serta membimbing saudara baharu. "Dalam Islam ada peraturan dan saya harap kepada saudara baharu Islam supaya memahami seterusnya mematuhi peraturan tersebut, jangan malu bertanya kepada saudara Islam lain jika tidak memahami sesuatu perkara," katanya. |
Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT Oleh Ali Mahmood NOROL Azali Sulaiman bersalaman dengan pengadil Kejuaraan Silat Remaja Peringkat Negeri Pahang 2013 di Kompleks Rakan Muda di Bentong, baru-baru ini. BENTONG 13 Jun - Penggiat silat perlu mengangkat martabat seni mempertahankan diri walaupun negara mengalami transformasi pemodenan dalam pelbagai bidang. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman berkata, silat bukan sahaja menjadi kebanggaan orang Melayu tetapi mampu membentuk disiplin anak muda. Katanya, usaha untuk mempertahankan seni silat menjadi cabaran yang cukup besar terutamanya bagi menarik penyertaan golongan belia berikutan perkembangan teknologi komunikasi yang menyaksikan minat mereka lebih cenderung ke arah permainan komputer. ''Pada masa sama, walaupun terdapat peningkatan golongan belia dan remaja yang menyertai aktiviti seni silat tetapi masalah kekurangan tenaga pengajar dan gelanggang mengehadkan hasrat mereka untuk menceburi bidang ini. ''Kalau boleh, gelanggang silat dapat dibina di setiap kampung atau kawasan perumahan bagi memudahkan mereka yang berminat untuk menyertainya," kata Norol Azali. Beliau berkata demikian selepas menutup Kejuaraan Silat Remaja Peringkat Negeri Pahang 2013 di Kompleks Rakan Muda di sini kelmarin. Yang hadir sama Setiausaha Agung Persatuan Silat Negeri Pahang, Datuk Osman Noh. Pada pertandingan itu, daerah Temerloh dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan pungutan tujuh pingat emas. Norol Azali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai memberitahu, mereka yang menyertai seni silat ini mempunyai daya juang yang tinggi, selain memiliki semangat kental dan patriotik. Tambahnya, menerusi semangat kenegaraan yang begitu mendalam, mereka sanggup bersama-sama mempertahankan negara daripada anasir luar yang cuba menggugat kesejahteraan rakyat. ''Melalui aktiviti itu juga, kita boleh menyalurkan informasi yang betul kepada mereka supaya generasi muda boleh memperjuangkan apa yang telah dipertahankan pejuang tanah air sebelum ini," kata beliau. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan