Khamis, 27 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Penghuni tanggung derita

Posted: 26 Jun 2013 11:37 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Akibat bil tertunggak, penghuni Pangsapuri Kekwa, Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor terpaksa menanggung sengsara apabila bekalan air mereka dipotong pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sejak Sabtu lalu. - UTUSAN/Safiiyana Salim

SEPANG 26 Jun - Dalam keadaan negara dilanda krisis jerebu, para penghuni Pangsapuri Kekwa di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini terpaksa menanggung penderitaan berganda selepas terputus bekalan air sejak Sabtu lalu.

Penduduk mendakwa masalah itu disebabkan pemotongan bekalan air ekoran bil tertunggak sebanyak RM49,000 oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Ekoran masalah itu, penghuni terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi semata-mata mahu mendapatkan bekalan air dari kawasan berhampiran termasuk masjid, stesen minyak dan tasik.

Mereka turut mendakwa, pihak pengurusan bangunan iaitu LT Sdn. Bhd. seolah-olah bersikap lepas tangan dalam hal berkenaan.

Seorang penduduk, Faizah Mohd. Yusuf, 34, berkata, dia amat berharap proses penukaran meter pukal ke meter individu dapat dilaksanakan segera.

Menurutnya, ini bagi mengelakkan penghuni terus menanggung derita sekali gus memberi keadilan kepada penghuni yang melunaskan pembayaran bil air.

"Selepas bekalan air dipotong kami terpaksa bergantung melalui air tangki, namun tidak bertahan lama," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kediaman di sini hari ini.

Perasaan sama turut dikongsi, Sujiyanti Narun, 38, yang berharap agar penyelesaian dapat dilakukan pihak berwajib.

Dia berkata, tindakan pemotongan itu sebagai tidak adil kepada dirinya dan penghuni lain yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membayar bil.

"Saya mengasuh tiga orang kanak-kanak. Susah bagi kami kerana tiada bekalan air ketika ini.

"Kami amat berharap pihak pengurusan, Syabas dan penduduk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah ini," tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Kekwa, Saiful Bahrin Badarudin berkata, setakat ini pihak pengurusan bangunan cuma dapat membayar kira-kira RM10,000 kepada Syabas untuk proses penyambungan semula bekalan air.

"Proses penyambungan semula bekalan air perlu dijelaskan sepenuhnya, namun pihak Syabas telah memberikan pengurangan kepada pendahuluan sebanyak RM20,000. Setakat ini kita mempunyai sebanyak RM11,000 dan memerlukan RM9,000 lagi," ujarnya.

Beliau menambah, jasa baik pihak Syabas juga amat diharapkan agar proses penukaran meter pukal ke meter individu yang dipohon penghuni pangsapuri berkenaan segera diluluskan.

Ini katanya, bagi menggelakkan kejadian bekalan air dipotong berulang sehingga penghuni terpaksa menanggung derita.

Bersyukur IPU turun selepas hujan

Posted: 26 Jun 2013 11:37 AM PDT

KUALA LUMPUR 26 Jun - Hujan lebat petang semalam di sekitar Lembah Klang ternyata melegakan orang ramai kerana mampu mengurangkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di ibu negara.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, suasana segar semakin dirasai biarpun langit dan beberapa bangunan pencakar langit masih diselubungi jerebu.

Seorang peniaga, Rosmah Selamat, 30, berkata, cuaca hari ini semakin baik berbanding hujung minggu lalu sehingga menyebabkan orang ramai mengurangkan aktiviti di kawasan terbuka.

"Pelanggan saya juga agak berkurangan sejak Isnin lalu, mungkin kerana mereka tidak keluar dan berada di bahagian yang kurang terdedah dengan asap jerebu.

"Namun, saya bersyukur kerana hujan petang semalam dapat mengurangkan tahap IPU di ibu kota," kata peniaga buah-buahan di Jalan Masjid India itu.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan masalah jerebu yang melanda ibu negara bukan sekadar menjejaskan aktiviti di kawasan terbuka, malah operasi gerai makanan turut berdepan situasi sama.

Terdapat pengusaha yang memilih untuk memendekkan waktu operasi dan mengurangkan pilihan makanan kerana mahu menutup lebih awal berbanding hari biasa.

Sementara itu, seorang pelancong dari Sabah, Johan Datu Samsul, 43, berkata, dia hanya dapat bersiar-siar di Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini selepas sudah beberapa hari berada di ibu kota.

"Saya lihat cuaca hari ini sedikit baik, jadi mengambil peluang untuk bersiar-siar berbanding sebelum ini saya hanya berada di kawasan tertutup," katanya.

Rakannya, Saimin Damsik, 53, pula berkata, dia memilih untuk menggunakan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) untuk bersiar-siar di ibu kota.

"Biarpun cuaca semakin baik, saya berharap langkah ini dapat mengurangkan pencemaran," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan turut mendapati, majoriti orang ramai masih memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di kawasan terbuka bagi mengurangkan risiko dijangkiti penyakit.

Peniaga perlu ubah sikap

Posted: 26 Jun 2013 11:37 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusan.com.my

Mhd. Amin Nordin Abd Aziz (kiri) bersalaman dengan para pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika meninjau Program Gotong- Royong membabitkan para penjaja di sekitar Medan Bonus, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Jun - Peniaga gerai dan orang ramai di sekitar ibu negara diminta membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjaga kebersihan dan keindahan di kawasan masing-masing agar sentiasa terjaga.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pihak berkenaan perlu mengubah sikap dengan tidak terlalu bergantung kepada pihak berkuasa tempatan itu untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Menurutnya, langkah itu juga sebagai penyediaan sempena kedatangan Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Sekiranya pihak berkenaan tidak membantu sudah pasti usaha untuk menceriakan dan mengindahkan ibu kota tidak tercapai,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Gotong-royong membabitkan para penjaja di sekitar Medan Bonus, Jalan Masjid India bersama DBKL dan Alam Flora Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja DBKL, Noor Azmi Noordin.

Beliau menambah, sebanyak 65 gerai penjaja di sekitar Medan Bunus,Jalan Masjid India telah diarah tutup oleh DBKL selepas premis mereka didapati gagal mematuhi syarat kebersihan yang ditetapkan.

Menurutnya, arahan penutupan selama seminggu itu berkuatkuasa Isnin lalu atau sehingga Jabatan Kesihatan DBKL berpuas hati dengan tahap kebersihan mereka.

"Pihak DBKL menerima banyak aduan daripada orang ramai termasuk pelancong asing berhubung masalah itu.

"Bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa baik, pihak DBKL akan melaksanakan pemantauan dari masa ke semasa,"katanya.

Sementara itu, Noor Azmi berkata, pihaknya bercadang mengarahkan premis-premis yang kotor melakukan pembersihan secara berkala pada setiap bulan.

"Kita akan mewujudkan buku log bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan premis masing-masing sebulan sekali dan jika ingkar DBKL akan mengeluarkan notis penutupan seterusnya.

"Dalam masa sama DBKL turut bercadang menyediakan cat kepada setiap penjaja bagi tujuan penyeragaman dan keindahan premis,"katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan