Isnin, 24 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Akhirnya mereka akur - Zahid

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil diperhatikan oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas pelantikannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 24 Jun - Tindakan kesemua 89 Ahli Parlimen pembangkang mengangkat sumpah di Dewan Rakyat membuktikan mereka akur kepada lunas Perlembagaan Persekutuan serta mengakui kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangkang berjaya memanipulasi pemikiran penyokong mereka untuk berdemontrasi membantah keputusan pilihan raya umum lalu termasuk yang dilakukan kira-kira 200 orang di luar Parlimen pagi ini.

Tambah beliau, ketika kumpulan penyokong pembangkang itu berdemonstrasi dalam keadaan berjerebu dan panas, pemimpin-pemimpin mereka pula melalui perjalanan demokrasi dengan mengangkat sumpah.

"Apabila mereka datang (angkat sumpah), ia menunjukkan akhirnya mereka akur kepada Perlembagaan dan peraturan Dewan Rakyat.

"Namun, apa yang dilakukan beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dengan berdemonstrasi membuktikan mereka tidak memahami Perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu dalam sidang Dewan Rakyat, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri membentangkan usul memerintah Ketua Polis Negara memberi kemudahan laluan kepada semua Ahli Parlimen serta memastikan keselamatan dan keamanan di sekitar kawasan Parlimen.

Merujuk kepada usul itu, beliau berkata, mana-mana pihak diingatkan tidak cuba menghalang pintu masuk Parlimen memandangkan usul tersebut diterima sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang.

"Seharusnya itulah tindakan sebaiknya dan jangan mencari masalah, mereka harus terima apa jua akibat daripada masalah yang mereka lakukan," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut mengingatkan pemimpin pembangkang tidak berterusan mengancam keselamatan negara dengan mengadakan perhimpunan haram kerana mereka sendiri mengakui sistem demokrasi negara dengan hadir mengangkat sumpah.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menambah, ikrar taat setia dan janji mematuhi undang-undang yang dilafazkan setiap Ahli Parlimen itu diharap tidak lagi membawa kepada sebarang pertikaian berhubung sistem pilihan raya yang didakwa satu penipuan.

"Proses demokrasi sudah berjalan lancar, rakyat sudah membuat pilihan, jadi semua Ahli Parlimen jangan lagi membuang masa sebaliknya bertindak mengikut lunas Perlembagaan," katanya.

Anwar angkat sumpah, penyokong berbaring di jalan raya

Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT

Seorang anggota polis terjatuh ketika cuba menenangkan peserta perhimpunan mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Timbalan Pengerusi SPR meletak jawatan di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam

SELEPAS melakukan pelbagai propaganda, hasutan, tohmahan dan fitnah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mendakwa berlaku penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengetuai pakatan pembangkang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Anwar dan sekutu-sekutunya dilaporkan berbuat demikian kira-kira sejam selepas polis menahan sekumpulan 200 peserta perhimpunan haram yang bertindak ganas merempuh kawalan polis yang mengawal perkarangan Bangunan Parlimen.

Tindakan ganas itu dilakukan oleh saki-baki kumpulan yang sebelum ini menyertai perhimpunan haram di Padang Merbok yang berpunca daripada seruan Anwar supaya rakyat turun beramai-ramai ke perhimpunan berkenaan bagi membantah keputusan PRU-13.

Ternyata, peserta-peserta berkenaan yang ada antara mereka 'berkampung' di dalam khemah di Padang Merbok sejak Sabtu lalu telah diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang.

Segala susah-payah mereka dalam perjuangan sia-sia itu tidak membawa apa-apa makna kerana Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang tetap mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Kalau benarlah pemimpin pembangkang mendakwa pilihan raya umum lalu penuh kepincangan dan penipuan, kenapakah mereka mahu mengiktiraf keputusan yang berpihak kepada mereka tetapi menolak kemenangan yang menyebelahi BN?

Sepatutnya sama ada perhimpunan haram atau keganasan di hadapan bangunan Parlimen tersebut tidak akan berlaku, jika Anwar berjiwa besar untuk menasihatkan penyokong-penyokong supaya menghormati proses melakukan bantahan iaitu melalui petisyen kepada mahkamah.

Namun malangnya, Anwar tidak berbuat demikian, beliau seolah-olah bangga apabila ramai anak muda yang terpengaruh dengan dakyah beliau khususnya kelompok yang bergabung dalam Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Dengan jumlah kehadiran di Padang Merbok tidak mencapai sasaran pakatan pembangkang, ia sepatutnya memberikan kesedaran kepada Anwar bahawa perjuangan beliau melakukan politik jalanan tidak akan berhasil. Mana mungkin kalau setakat 200 orang yang berkumpul di hadapan Bangunan Parlimen akan mampu melunturkan semangat perjuangan pegawai-pegawai SPR.

Bagaimanapun, apa yang kita saksikan, Anwar terus memberi galakan kepada kumpulan berkenaan untuk melakukan bantahan. Ketika kelompok itu menyusahkan diri sendiri dan mungkin juga menunjukkan kebodohan mereka dengan tidur dalam keadaan berjerebu, Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang lain selesa berada di kediaman masing-masing membuat persiapan untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Setakat melahirkan penghargaan kepada perjuangan kelompok itu, ia tidak membawa makna apa-apa. Sepatutnya kalau Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang benar-benar bertekad bahawa berlaku penipuan dalam PRU-13, mereka juga akan bersama-sama kumpulan itu yang antara lain mahukan pemimpin-pemimpin pembangkang tidak mengangkat sumpah.

Jelaslah, Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, semalam menunjukkan sikap hipokrit pada tahap paling tinggi yang tidak mungkin ada kepada mana-mana Ahli Parlimen di seluruh dunia.

Apa pun yang paling malang ialah penyokong-penyokong mereka yang begitu mudah diperbodohkan sehingga sanggup berkhemah, bermalam dan berbaring di jalan raya serta ditangkap oleh polis. Segala-galanya berpunca daripada sikap hipokrit dan watak 'sesumpah' pemimpin pembangkang seperti Anwar!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan