Khamis, 13 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


266 penduduk diarah pindah

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

Oleh HAKIMI ISMAIL
kota@utusan.com.my

SEPANG 12 Jun - Sebanyak 266 penduduk Blok 5, Flat Taman Permata, Dengkil di sini diarahkan untuk berpindah ke kawasan lain selepas berlaku keretakan teruk di struktur bangunan kediaman itu sejak semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Mohd. Sayuthi Bakar berkata, penduduk diarah berpindah sebagai langkah berjaga-jaga seterusnya mengelak kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, sehingga kini pakar dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) sedang membuat penilaian ke atas struktur bangunan flat berkenaan sama ada selamat atau tidak untuk didiami.

Menurutnya, MPSepang akan membuat keputusan selewat-lewatnya petang ini atau esok sama ada penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing.

Kita kena bergantung 100 peratus kepada laporan pakar untuk menentukan perkara ini, buat masa ini penduduk diberi pilihan untuk tinggal di Dewan Serbaguna Dengkil atau menumpang di rumah saudara mara.

Setakat ini punca sebenar keretakan masih belum dikenal pasti, melihat daripada pandangan kasar ia tidak terlalu membahayakan, namun memerlukan penelitian dalam hal ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Micheal Dass, 25 berkata, unit rumahnya di tingkat empat blok berkenaan mengalami keretakan teruk.

Katanya, ekoran keretakan tersebut rumahnya kelihatan senget sehinggakan pintu bilik tidak boleh ditutup, lebih menyedihkan lagi apabila sebahagian jubin yang dipasang pada lantai tertanggal akibat pergerakan struktur bangunan semalam.

Semalam kepala saya juga tercedera apabila ditimpa kepingan jubin yang tertanggal daripada bahagian dinding, nasib baik tidak menimpa ibu saya yang sudah tua.

Perkara ini sudah serius dan saya amat berharap kerajaan prihatin dengan nasib kami di sini, jangan tunggu ada nyawa melayang baru kerajaan mengambil tindakan, ketika itu apa-apa tindakan kerajaan hanya sia-sia," katanya ketika di temui pemberita di sini hari ini.

Micheal Dass, yang merupakan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Baru Salak Tinggi tinggal di flat berkenaan sejak 11 tahun lalu.

Sementara itu, M. Saraswati, 49 berkata, tidurnya tidak lena sejak dua malam lalu kerana ketakutan akibat bunyi simen merekah di bahagian dinding rumahnya.

Masalah struktur bangunan retak sudah 10 tahun menghantui penduduk flat Taman Permata, namun beberapa hari kebelakangan ini keadaan bertambah serius sehinggakan siling rumah di tingkat empat juga merekah.

Perkara ini tidak boleh dibiarkan lagi, kami tidak mahu nyawa kami melayang tertimbus di sini, pihak kerajaan perlu melakukan sesuatu sebelum terlambat," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, K. Ramadass menggesa kerajaan menunaikan segera janji untuk memberikan penduduk flat berkenaan rumah teres.

Menurut Ramadas, kesemua 400 penghuni Flat Taman Permata merupakan bekas pekerja di Ladang Prang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley yang diambil untuk pembangunan Putrajaya dan mereka dipindahkan ke situ pada 1998.

Semua penduduk di sini berharap janji yang diucapkan oleh pihak bertanggungjawab iaitu Putrajaya Holdings (PJH) bersama Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) dan Kerajaan Selangor untuk memberikan rumah teres selepas mereka dipindahkan sementara ke flat berkenaan dapat dilaksanakan dengan segera.

Selepas dipindahkan ke rumah flat ini, segala kebajikan kami tidak lagi dihiraukan walaupun kami ada menyatakan keresahan kerana terpaksa hidup di rumah yang tidak selamat untuk didiami," katanya.

Ramadass berkata, mereka sudah 17 tahun menduduki rumah pangsa tersebut, tetapi sehingga kini harapan untuk memiliki rumah teres yang dijanjikan masih belum tercapai walau pelbagai usaha telah dilakukan.

Rumah flat yang kami diami sekarang tidak lagi selamat kerana keadaannya yang sudah terlalu uzur dan rosak teruk. Banyak bangunan yang retak, lubang di bawah blok menyebabkan rumah flat mendap serta sistem perparitan dan kumbahan yang turut rosak," katanya.

Peniaga tudung dahaga imej baharu

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

Deretan 12 gerai menjual tudung di lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur yang dahagakan kerja-kerja naik taraf bagi memberi imej baharu di kawasan itu. - UTUSAN/fahmi muhazir

KUALA LUMPUR 12 Jun - Peniaga tudung di lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera melaksanakan kerja-kerja naik taraf melibatkan 12 gerai di kawasan itu.

Menurut peniaga berkenaan ia bertujuan memberi imej baharu sekaligus menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan itu.

Ini termasuklah menukar struktur bangunan yang lebih baik berbanding kedai papan sedia ada sejak mereka menjalankan perniagaan hampir 44 tahun.

Wakil 12 peniaga tudung, Faizal Abdul Rahman, 46, berkata, dengan membayar sewa dan memperbaharui lesen perniagaan setiap tahun sudah tiba masanya gerai berkenaaan dinaik taraf.

Menurutnya, 12 kedai tudung tersebut mempunyai sejarahnya tersendiri yang disifatkan antara gerai paling lama di Kuala Lumpur, iaitu sejak tahun 1969, di samping pernah mengalami pelbagai peristiwa termasuk banjir besar pada tahun 1970.

"Asalnya dahulu kami adalah peniaga di Kompleks PKNS di Jalan Melayu (terletak di belakang Wisma Yakin, Jalan Masjid India) yang dipindahkan ke lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman, bermakna sehingga kini kami masih bertaraf perpindahan.

"Sejak 1969 sehingga sekarang k DBKL tidak pernah melakukan apa-apa penambahbaikan terhadap gerai kami yang serba uzur dan sangat terdedah kepada bahaya kebakaran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Faizal berkata, sebagai peniaga tudung yang paling awal di Kuala Lumpur sewajarnya DBKL menjadikan deretan kedai mereka sebagai ikon peniaga Melayu Islam yang perlu diberi wajah baharu.

Ini katanya, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan mahupun asing ke situ.

"Langkah ini sekaligus memberi gambaran kami mewakili 100 peratus peniaga Melayu dan tidak terkeliru dengan kebanjiran peniaga asing di kawasan berhampiran," katanya.

Beliau juga berharap dengan pelantikan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang baharu, dapat membangunkan kawasan di situ supaya lebih menarik kerana belum ada lagi kawasan perniagaan atas nama Melayu sebagaimana daya tarikan kawasan 'Little India' mewakili peniaga kaum India di Brickfields dan 'Petaling Street' sebagai mewakili kaum peniaga berbangsa Cina.

"Akibat DBKL tidak pernah melakukan sebarang penambahbaikan kepada gerai-gerai berkenaan menyebabkan kami sukar untuk mendapatkan insuran barang-barang jualan disebabkan struktur kedai yang masih diperbuat daripada kayu.

"Tidak ada mana-mana syarikat insuran dapat menawarkan insurans kepada kami kecuali dengan syarat bangunan kedai mestilah menggunakan tembok atau dinding batu. Jadi kami sangat berharap DBKL dapat mempertimbangkan cadangan ini demi untuk kepentingan kita bersama," katanya.

Menurutnya, jika perlu mereka sedia untuk dipindahkan secara sementara ke tempat lain bagi membolehkan DBKL meroboh dan seterusnya membantu membina gerai-gerai baru yang lebih menarik dan selamat.

"Kami yakin permintaan kami ini mampu dipenuhi DBKL kerana sepanjang tempoh berniaga kami tidak pernah cuai membayar sewa dan memperbaharui lesen," katanya.

Dalam pada itu, kesemua 12 peniaga tudung di kawasan itu turut , membantah tindakan DBKL yang menjadikan lorong hadapan kedai mereka sebagai tapak baharu bazar Ramadan.

Faizal berkata, terdapat 12 petak telah dicat putih yang menunjukkan DBKL membenarkan lorong tersebut dijadikan lokasi bazar.

"Sebelum ini lorong di situ ditutup kepada kenderaan bagi memudahkan orang ramai lalu lalang.

"Jika lorong ini juga dijadikan sebagai tapak Bazar Ramadan, bertambah sesaklah lorong,"katanya.

Dua suspek ragut tumpas, dua lagi diburu

Posted: 12 Jun 2013 11:19 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 Jun - Dua remaja lelaki dipercayai suspek utama beberapa kes ragut di sekitar ibu negara diberkas dalam rondaan cegah jenayah awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, polis mengesan empat lelaki menaiki dua buah motosikal Yamaha 125 yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria berkata, polis cuba menahan keempat-empat lelaki berkenaan namun mereka sempat memecut.

"Polis terpaksa mengejar suspek selama 35 minit sebelum salah sebuah motosikal terbabas di Jalan Ayer Hitam, Setapak.

"Kita menangkap kedua-dua suspek kira-kira 30 meter dan 100 meter dari kawasan mereka terbabas ketika cuba melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan mendapati motosikal yang ditunggang suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan telah dirampas untuk tindakan lanjut.

"Suspek dikenali sebagai Muhammad Farhan, 19, yang mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan curi motosikal dan pecah rumah serta rakannya, Syed Nadzreen, 20, memiliki rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Menurut Aziz, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan jenayah ragut di sekitar Wangsa Maju, Gombak, Setapak dan pusat bandar yang biasanya dilakukan dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 125 atau LC 135.

Kata beliau, polis masih memburu dua lagi rakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan