Utusan Online - Selatan |
- 3 premis makanan diarah tutup
- Pejabat ADUN Pertang bawah khemah
- Menara Taming Sari perkenal produk baharu
Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI SEREMBAN 15 Jun - Keengganan tiga buah premis dekat Paroi yang tidak mematuhi aspek kebersihan ternyata membawa padah apabila diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Jabatan Kesihatan Negeri dalam Operasi Perlesenan Premis Makanan MPS di sini kelmarin. Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan negeri, T. Param Jothie berkata, kesemua premis berkenaan diarah tutup oleh pihak berkuasa selepas pemeriksaan mendapati pengusahanya melanggar aspek kebersihan yang digariskan oleh MPS dan Jabatan Kesihatan negeri. Jelasnya, serbuan yang turut disertai beberapa pegawai dan anggota dari MPS dan Jabatan Kesihatan itu dilakukan hasil aduan dan rungutan orang ramai tentang tahap kebersihan di premis berkenaan yang tidak memuaskan. ''Berdasarkan pemeriksaan yang kita lakukan di empat premis makanan, didapati tiga daripadanya iaitu sebuah restoran dan dua kedai makan telah gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983," katanya. Berikutan itu, kata Jothie, pihaknya telah mengarahkan pemilik kedai dan premis berkenaan yang telah melanggar peraturan itu supaya menutupnya selama tiga hari sehinggalah benar-benar bersih sebelum dibenarkan beroperasi semula. Namun, katanya, jika mereka masih ingkar dan tidak memenuhi syarat ditetapkan, pihaknya akan bertindak untuk terus menutup premis berkenaan sehinggalah pihak berkuasa benar-benar berpuas hati dengan tahap kebersihan premis itu. ''Pemilik premis makanan perlu peka dengan tahap kesihatan dan pastikan bersih bagi mengelak tindakan undang-undang diambil ke atas mereka. ''Kita tidak mahu perkara ini berulang dan saya minta semua pemilik perniagaan makanan agar memastikan mutu kebersihan sentiasa dijaga bagi mengelakkan premis ditutup," katanya. |
Pejabat ADUN Pertang bawah khemah Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT Jalaluddin Alias (dua dari kiri) tetap memberi khidmat kepada masyarakat kawasan Dewan Undangan Negeri Pertang biarpun hanya di bawah khemah. JELEBU 15 Jun - Aktiviti khidmat masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang tetap diteruskan di khemah biarpun premis baharu yang lebih sesuai dan selesa belum ditemui. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Jalaluddin Alias berkata, walaupun menghadapi masalah untuk mendapatkan premis yang lebih selesa, namun aktiviti khidmat kepada rakyat tetap diteruskan dalam apa jua suasana dan keadaan. "Justeru, saya mengambil keputusan untuk membuat pusat khidmat sementara bagi kawasan DUN Pertang dengan mendirikan khemah sebelum mendapatkan satu premis baru yang lebih sesuai. "Waktu operasi adalah sama yang mana kita akan buka pada waktu pejabat, bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang, pegawai dan petugas akan berada sepenuh masa di sini," ujarnya. Jalaluddin berkata, oleh kerana masa yang begitu singkat, khemah sementara telah didirikan sebagai Pusat Khidmat DUN Pertang yang mana beliau menjangkakan kemungkinan mengambil masa dua atau tiga minggu untuk mendapatkan premis lebih baik. ''Saya menerima banyak kunjungan daripada masyarakat di Pusat Khidmat ini, kira-kira 100 orang sehari yang mana bilangan akan bertambah terutamanya hari Jumaat," ujarnya. |
Menara Taming Sari perkenal produk baharu Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT MELAKA 15 Jun - Kerajaan negeri mahu peranan Menara Taming Sari dipelbagaikan dengan meningkatkan jumlah produk pelancongan baharu di kawasan itu dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung. Ketua Menteri, Datuk Idris Haron (gambar) berkata, kedudukan menara yang sangat strategik serta menjadi laluan pelancong mampu menjadi tempat kunjungan utama di negeri itu. Menurutnya, produk pelancongan baharu perlu ditambah agar pelancong dapat meluangkan masa lebih lama seterusnya menjana lebih keuntungan serta memberi faedah kepada peniaga di kawasan berkenaan. "Antara produk pelancongan yang dicadangkan di kawasan ini ialah Reverse Bunjee Jumping yang dilihat mempunyai potensi untuk menjadi tarikan kepada pengunjung," katanya. Beliau ditemui selepas merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima Menara Taming Sari, Banda Hilir, di sini hari ini. Jelas Idris, kerajaan negeri tiada halangan untuk melaksanakan perkara itu malah menyokong penuh dan akan membantu usaha pihak Menara Taming Sari membawa produk baharu di kawasan tersebut. "Sebelum ini terdapat produk pelancongan lain seperti Duck Tour dan bas double decker yang menjadi produk sampingan kepada pelancongan yang mengunjungi menara berkenaan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan