Khamis, 27 Jun 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Adat pepatih, masakan nogori

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh NOOR HANIS HARUN
utusanN9@utusan.com.my

Zaidi Kassim (depan, enam dari kanan) bersama peserta Negeri Sembilan Food Trail 2013 dan pemilik Restoran Wadi Ar-Raudah di Rahang, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - utusan/Noor hanis harun

SEREMBAN 26 Jun - Negeri Sembilan bukan hanya terkenal dengan jolokan bumi adat perpatih malahan turut popular dengan pelbagai jenis makanan tradisionalnya sekali gus menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Secara amnya, sejarah dan keunikan kisah adat yang menjadi amalan turun temurun masyarakat di negeri ini menjadi signifikan serta identiti kepada negeri beradat ini.

Lebih menarik warisan sejarah itu turut diinterpretasi melalui sosial kehidupan masyarakat malah ditonjolkan melalui seni pembinaan bangunan serta rumah berteraskan konsep Minangkabau sehingga ke hari ini.

Bukan itu sahaja, apabila menyentuh aspek masakan, negeri ini sudah terkenal dengan hidangan pedas seperti masak lomak cili api dan rendang yang dipopularkan menerusi resipi tradisional sejak berabad lalu.

Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zaidi Kassim berkata, adat perpatih sudah menjadi amalan masyarakat negeri ini kira-kira 600 tahun lalu, maka tidak hairanlah ia mempengaruhi sebahagian besar aspek kehidupan penduduk Negeri Sembilan.

Menurutnya, selain keunikan adat perpatih, Negeri Sembilan juga terletak pada lokasinya yang amat strategik antara Singapura dan Lembah Klang sebagai destinasi kunjungan umum khususnya dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Pada tahun ini, kita mensasarkan seramai lima juta pelancong berkunjung ke negeri ini khususnya di tempat menarik seperti kawasan rekreasi, bersejarah selain merasai pengalaman suasana di kampung.

Selain berkunjung ke pantai peranginan Port Dickson, negeri ini juga mempunyai tempat penginapan inap desa, aktiviti ekopelancongan dan makanan tradisional peninggalan nenek moyang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Negeri Sembilan Food Trail 2013 di Homestay Kampung Lonek, di Batu Kikir, Kuala Pilah, baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung program tiga hari itu, Zaidi berkata, Negeri Sembilan Food Trail itu merupakan salah satu platform untuk mempromosikan lokasi pelancongan, masakan tradisional serta tempat makanan menarik sekitar negeri ini.

Program kembara ini meliputi jelajah tiga daerah iaitu Seremban, Kuala Pilah dan Rembau, di mana setiap daerah mempunyai identiti makanan yang berbeza, sebagai contoh apam johol, kuih sepang dan masak lomak cili api daging salai

Kita membawa 40 peserta yang terdiri daripada pengamal media dan agensi perlancongan untuk singgah ke 11 destinasi pelancongan di negeri ini.

Setiap premis makanan akan menghidangkan pelbagai hidangan terbaik mereka yang enak dan unik untuk dipromosikan kepada pelancong," ujarnya

Antara lokasi pelancong menarik yang dilawati peserta menerusi program tersebut termasuk Jelita Ostrich Farm, Starfresh Agropark, Muzium Diraja Istana Seri Menanti, Homestay Kampung Lonek, Teratak Zaaba dan Rembau Kristal.

Di samping itu, katanya, peserta turut berpeluang merasai pelbagai hidangan menarik seperti cendol madu, sate tulang Jelebu, dan kuih koci labu dan pucuk ubi goreng rendang Rembau yang popular di negeri ini.

Zaidi berharap program sedemikian memberi pelaung kepada umum untuk mengetahui tentang keunikan Negeri Sembilan ini melalui masakan tradisional ala nogori.

Tambahnya, sempena acara Tahun Melawat 2014 tidak lama lagi, pihak Tourism Malaysia akan menganjurkan lebih banyak lagi program yang berbentuk jelajah negeri.

Kita merancang untuk menjadikan Port Dickson sebagai salah satu perhentian dalam program Negeri Sembilan Food Trail yang seterusnya selepas ini," katanya.

NS Food Trail 2013 promosi keunikan Negeri Sembilan

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

SEREMBAN 26 Jun - Peserta kembara Negeri Sembilan Food Trail 2013 amat teruja dengan kepelbagaian aktiviti yang disediakan serta tempat menarik dilawati sekitar Seremban, Kuala Pilah dan Rembau dekat sini baru-baru ini.

Urus Setia program, Nurul Syaqqeera Noor Azizan berkata, seringkali Negeri Sembilan terlepas pandang daripada menjadi destinasi pelancongan pilihan khususnya dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, melalui program berkenaan, secara tidak langsung dapat membuang tanggapan orang ramai bahawa negeri ini tidak mempunyai tempat menarik untuk dilawati.

''Biasanya Negeri Sembilan tidak dijadikan destinasi pelancongan utama kerana pelancong lebih suka berkunjung ke Kuala Lumpur atau ke bahagian selatan seperti Johor Bahru dan Singapura.

"Sebenarnya kita mempunyai banyak tempat tinggalan sejarah yang masih dijaga baik untuk tujuan mempromosikan aktiviti pelancongan seperti Istana Lama Seri Menanti dan Teratak Za'aba di Kuala Pilah," katanya.

Jelasnya, selain berpeluang merasai pelbagai masakan tradisional negeri ini melalui program tersebut, dia turut rasa gembira dapat berkunjung ke tempat pembuatan kristal di Rembau yang menawarkan produk kristal pada harga berpatutan.

Sementara itu, jurugambar, Mohd. Farhan Che Hassan, 26, berkata, makanan kegemarannya sepanjang program itu ialah Sate Tulang Jelebu yang ditawarkan di Senawang.

"Rasanya unik dan tidak pernah saya cuba sebelum ini. Selalunya kita makan sate daging atau sate ayam, ternyata pemilik restoran ini mempunyai idea yang kreatif untuk menggunakan sendi-sendi tulang ayam untuk dibuat sate.

''Selain itu, kami dibawa melawat Jelita Ostrich Farm di Jalan Pantai di sini dan menyaksikan sendiri burung unta yang diternak di sini, malah kami juga disajikan dengan sate burung unta yang enak," ujarnya.

Tambahnya, sebagai anak jati Negeri Sembilan dia berasa bertanggungjawab untuk mempromosikan kelebihan yang terdapat di negeri ini kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Siapa lagi yang hendak mempromosikan tempat kita kalau bukan kita sendiri. Sebagai rakyat Negeri Sembilan, kita patut berasa bangga dengan kelebihan yang terdapat di negeri kita sendiri,'' ujarnya.

Bagi seorang lagi peserta, Onny Izwan Pulkiem, 24, peluang untuk melawat tempat menarik yang terdapat di Negeri Sembilan dan merasai masakan tradisonal Negeri Sembilan adalah pengalaman yang amat berharga untuk dirinya.

"Saya amat tertarik dengan kuih-muih yang pelik dan tak pernah saya jumpa sebelum ini sebagai contoh, kuih apam Johol dan koci labu. Rasanya juga amat unik.

"Di samping itu, kami semua dapat merasai cara makan duduk bersila sambil dihidang dengan lauk pauk masakan tradisonal negeri ini seperti masak lemak tempoyak dan sambal taucu tenggiri," jelasnya.

Katanya, pengalaman itu amat berharga untuknya yang juga merupakan penulis majalah masakan, Rasa.

Tapak lupus sampah terbakar

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Anggota bomba dan penyelamat berusaha memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pajam, Nilai, semalam.

SEREMBAN 26 Jun - Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat masih berusaha memadamkan kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah seluas 2.8 hektar di Pajam, Nilai dekat sini yang berlarutan sejak petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba negeri, Ahmad Nizam Shapiee berkata, kebakaran tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7.10 petang semalam dan menyebabkan hampir 90 peratus kawasan pembuangan sampah seluas 2.8 hektar itu terbakar.

Sehingga kini kita telah berjaya memadamkan kebakaran tersebut dan tumpuan kini memastikan bara di bawah timbunan sampah benar-benar padam sepenuhnya.

Kita jangkakan operasi ini berlanjutan sehingga dua hari lagi dan semua bergantung pada keadaan cuaca," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak lima jentera bomba dari balai Nilai, Seremban 2 dan Telok Kemang bersama 35 anggota telah ditugaskan untuk memadamkan kebakaran itu.

Kita menghadapi tugas sukar untuk memadamkan kebakaran ini ekoran tiada punca air atau kolam terbuka untuk kita gunakan dalam operasi ini selain kawasan kebakaran yang luas.

Buat masa ini kita mengambil sumber air dari satu kolam takungan dan sebatang sungai berhampiran bagi melancarkan operasi ini," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan