Jumaat, 28 Jun 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Anwar gila kuasa, berkhayal

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

Oleh HUSSAINI AMRAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 Jun - Sifat gila kuasa yang dimiliki Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakibatkan Ketua Pembangkang itu sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai angan-angannya menjadi Perdana Menteri.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar berkata, Anwar sedang menghadapi situasi mental berikutan kegagalan pakatan pembangkang menerima mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Beliau yang pernah berganding bahu dengan Anwar ketika mengasaskan PKR memberitahu, Anwar berpegang teguh pada angan-angannya itu dan akan melakukan sesuatu bagi menggagalkan pihak yang menang.

"Kami yang lama mengenali Anwar tahu matlamat hidupnya yang ingin menjadi Perdana Menteri.

"Saya sendiri tidak faham bagaimana Anwar boleh begitu yakin pakatan pembangkang boleh memenangi PRU-13 dengan menjadikan bilangan penyokong yang menghadiri ceramah sebagai kayu pengukur kerana keyakinan itu tidak berasas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Chandra mengulas kenyataan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang mempunyai imaginasi sangat melampau kerana masih ingin menjadi Perdana Menteri meskipun pakatan pembangkang kalah dalam PRU-13.

Tambah Chandra, Anwar akan terus berpegang pada keyakinan tidak berasas itu selagi ada pihak yang menyokongnya dari belakang.

"Namun, saya berpandangan, sokongan terhadap Anwar dari dalam dan luar negara kini semakin merosot," ujarnya.

Dalam pada itu, bekas rakan seperjuangan Anwar semasa mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ismail Mina Ahmad menyifatkan Penasihat PKR tersebut sebagai seorang yang khayal.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) menjelaskan, keputusan PRU-13 secara logiknya menyebabkan Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.

"Bagaimanapun sifat Machiavellinisme pada diri Anwar mendorongnya menggunakan pendekatan sosiologi termasuk menganjurkan demonstrasi jalanan seperti yang disarankan penulis Barat, Gene Sharp bagi membantah keputusan PRU-13.

"Kita bimbang kecelaruan akan berlaku dalam masyarakat ekoran pengaruh mobilisasi sosial yang didalangi Anwar," katanya.

Ismail Mina turut berpandangan, pengaruh Anwar tidak boleh dipandang remeh kerana beliau mempunyai jaringan luas dan hati cukup keras untuk melaksanakan perancangannya.

Pindah aset DAP: Guan Eng mesti berterus-terang

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

KUALA LUMPUR 28 Jun - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu berterus-terang dan memberi penjelasan sama ada pimpinan tertinggi parti berkenaan benar-benar mengharapkan pendaftaran parti itu dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Bekas Ketua Cawangan DAP Pantai Sepang, R. Vellasamy berkata, dakwaan berlakunya proses pemindahan pemilikan aset DAP kepada beberapa individu merupakan perkara serius yang memerlukan penjelasan Guan Eng mengenai hala tuju parti itu.

"Arahan ROS adalah pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP diadakan semula tetapi sampai sekarang masih belum ada lagi, semua orang tertanya-tanya adakah Guan Eng mengharapkan pendaftaran parti itu dibatalkan kerana hendak menyingkirkan kumpulan yang tidak menyokongnya.

"Sekarang ini timbul pula soal pemindahan aset parti bernilai jutaan ringgit, jika selama ini dia hanya tahu menyalahkan Barisan Nasional (BN), sekarang ini dia harus bertanggungjawab memberi penjelasan dan tidak boleh menganggap DAP miliknya dan bapanya, Lim Kit Siang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass berkata, dakwaan DAP memindahkan aset bernilai jutaan ringgit kepada pemimpin dalaman parti seolah-olah menunjukkan Dinasti Lim 'mengharapkan' pendaftarannya dibatalkan.

Dakwaan mengenai proses pemindahan aset itu didedahkan oleh aktivis MIC, Datuk R. Ramananan yang turut percaya, hanya dengan pembatalan pendaftaran parti oleh ROS, Guan Eng berkemungkinan besar akan dapat menyingkirkan sejumlah besar kumpulan yang tidak menyokongnya khususnya yang berketurunan India.

Pemilihan CEC DAP pada tahun lalu menimbulkan keraguan dan kini berada dalam siasatan ROS kerana didakwa wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah untuk mengundi dalam pemilihan tersebut.

Sementara itu, bekas Setiausaha DAP Cawangan Kampung Baru Balakong, Tan Chew Wah berkata, tindakan DAP yang seolah-olah mengharapkan pembatalan parti tersebut seperti mencabar ketegasan ROS.

"Kita semua tahu masalah ini berpunca daripada pemilihan CEC yang amat meragukan tetapi Guan Eng perlu ingat yang negara ini ada undang-undang yang perlu dipatuhi.

"Ahli DAP juga ada hak terhadap parti ini dan Guan Eng tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya hanya kerana mahu Dinasti Lim terus berkuasa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan