Utusan Online - Kota |
- Hulur bantuan tanpa mengira fahaman politik
- Pemandu teksi, peniaga terjejas
- Rakyat Indonesia pilih Malaysia destinasi pelancongan kesihatan
Hulur bantuan tanpa mengira fahaman politik Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT Aishah Salleh (kiri) menyerahkan cek sumbangan bantuan kepada salah seorang wakil Pusat Pemulihan Dalam Komuniti sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-5 Kasih di Shah Alam, semalam. SHAH ALAM 22 Jun - Badan Amal dan Kasih Selangor (Kasih) diminta supaya sentiasa meneruskan komitmen dengan menghulurkan bantuan kepada masyarakat tanpa mengira fahaman politik. Yang Dipertua Kasih, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, bantuan yang diberikan bagi membantu golongan sasar khususnya rakyat Selangor merupakan salah satu usaha untuk mendekatkan diri dengan masyarakat. Menurut isteri Perdana Menteri, sepanjang penubuhan Kasih, badan amal tersebut giat menjalankan aktiviti amal dan program kemasyarakatan untuk golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini. "Sebagai contoh golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan komuniti istimewa dan tidak dinafikan mereka juga mempunyai peranan dalam proses pembangunan negara. "Kita tidak melupakan golongan tersebut, buktinya kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan serta mengadakan program bagi golongan itu," katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan ke-5 Kasih di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Yang Dipertua Kasih, Datin Seri Dr. Aishah Salleh. Terdahulu, Aishah yang juga isteri kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar, menyampaikan cek bantuan RM1,000 kepada 42 pusat pemulihan dalam komuniti Kasih di negeri Selangor untuk menjaga dan melatih anak-anak OKU. "Selain menambah pusat pemulihan itu, Kasih juga menjalankan beberapa usaha seperti membimbing dan menyediakan peluang pekerjaan serta perniagaan kepada golongan istimewa itu," katanya. |
Pemandu teksi, peniaga terjejas Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT Oleh syukri shaari KUALA LUMPUR 22 Jun - Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) menyelar kedegilan pembangkang menganjurkan perhimpunan haram di pusat bandar raya kerana menjejaskan mata pencarian mereka. Presidennya, Datuk Aslah Abdullah berkata, beliau menerima laporan banyak jalan terpaksa ditutup ekoran perhimpunan haram itu sehingga menyukarkan pemandu teksi dan kereta sewa beroperasi. Menurutnya, perkara itu menjejaskan pendapatan pemandu teksi dan kereta sewa memandangkan golongan tersebut tidak bebas mencari pelanggan di kawasan yang sering menjadi tumpuan. Malah, tambah beliau, perhimpunan haram itu juga menyebabkan imej pemandu teksi tercalar kerana dikatakan cuba mengaut keuntungan berganda. "Akibat jalan ditutup, pemandu teksi terpaksa mengubah haluan dan mengambil jarak lebih jauh untuk sampai ke destinasi. Sudah tentu penumpang akan mempertikaikannya dan menyangka kami sengaja mahu berbuat demikian untuk kaut untung," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas penganjuran perhimpunan haram anjuran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Merbok di sini, serta di beberapa lokasi lain sekitar ibu kota yang mendatangkan kesusahan kepada banyak pihak. Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah turut melahirkan rasa kesal kerana perhimpunan haram tersebut mengganggu aktiviti perniagaan peniaga kecil di sekitar ibu kota. "Lori-lori yang menghantar barang keperluan tidak dapat sampai pada waktunya sehingga menyebabkan kelancaran urusan peniaga terutamanya pengusaha kecil terganggu," katanya. Menurut beliau, Ikhlas tidak akan berdiam diri lagi selepas ini sekiranya pembangkang tetap berdegil mengadakan perhimpunan haram pada masa depan dan akan memikirkan langkah sesuai sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati. |
Rakyat Indonesia pilih Malaysia destinasi pelancongan kesihatan Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT Sebahagian daripada 90 pelancong Indonesia yang menyertai Majlis Kayuhan Basikal Malaysia-Indonesia di Dataran Putra, Putrajaya, semalam. PUTRAJAYA 22 Jun - Sebanyak 20 peratus daripada 2.3 juta pelancong Indonesia yang mengunjungi negara ini pada tahun lepas adalah untuk mengikuti pakej pelancongan kesihatan. Pengarah Bahagian Pemasaran Antarabangsa (Asia Tenggara) Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman berkata, kebanyakan mereka datang dari Medan dan Sumatera. Beliau berkata, Pulau Pinang menjadi destinasi pilihan utama mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan berbanding Kuala Lumpur yang menjadi tempat kedua. "Harga berpatutan, perkhidmatan memuaskan dan kemudahan kelengkapan selesa yang disediakan oleh hospital swasta di sini antara faktor yang menarik perhatian mereka berbanding negara lain. "Selain itu, jarak perjalanan yang dekat dan kemudahan penerbangan seperti ditawarkan oleh Sriwijaya Air memudahkan lagi mereka mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Kayuhan Basikal Malaysia-Indonesia di Dataran Putra, di sini hari ini. Terdapat seramai 90 pelancong dari negara itu menyertai program kayuhan tersebut. Kesempatan itu digunakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk mempromosikan Putrajaya sebagai salah satu destinasi pilihan pelancongan di negara ini. Syed Yahya berkata, seramai 630,419 pelancong dari Indonesia dicatatkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini. Beliau berkata, jumlah itu mengalami peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding tempoh sama bagi tahun sebelumnya. "Setiap tahun kita menyasarkan berlaku peningkatan sebanyak 15 peratus kedatangan pelancong dari Indonesia ke negara ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan