Utusan Online - Kota |
- 'Kg. Myanmar' perlu dibersih
- Ingatkan mereka ini negara kita - Orang ramai
- Keselamatan Pasar Harian Selayang ditingkatkan
Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD Pasar Harian Selayang yang menjadi tempat warga asing, terutamanya dari Myanmar mencari rezeki. - UTUSAN/Farid Janudin KUALA LUMPUR 13 Jun - Melangkah masuk ke kawasan Pasar Harian Selayang yang bersempadan antara ibu negara dan Selangor di bahagian utara terasa seperti berada di sebuah perkampungan di Myanmar. Mana tidaknya, boleh dikatakan setiap sudut kawasan tersebut termasuk yang berniaga di dalam pasar dipenuhi warganegara itu, baik yang muda hinggalah ke pertengahan umur. Warga tempatan yang sering berurusan di situ menyifatkan pekerja asing tersebut seolah-olah tidak berkurangan biarpun serbuan sering dilakukan oleh pihak berkuasa. Begitu juga keadaannya dengan Pasar Borong Kuala Lumpur yang terletak di seberang jalan. Perasaan tidak selamat sering menghantui warga tempatan setelah beberapa kali melihat pergaduhan sesama warga Myanmar sehingga ada yang meragut nyawa. Difahamkan, biarpun jarang orang tempatan terlibat dengan pergaduhan tersebut, lagak warga Myanmar yang seperti 'abang besar' yang mengancam dan mengganggu ketenteraman warga tempatan di situ amat menggusarkan mereka. Malah, tinjauan wartawan Utusan Malaysia di pasar tersebut juga dibuat dengan berhati-hati kerana terasa gerak-geri kami seolah-olah diperhatikan oleh 'samseng-samseng' Myanmar, mungkin kerana mereka menyangka kami pegawai imigresen. Ketika mahu merakamkan gambar sekitar kawasan itu juga, kami terpaksa berpura-pura untuk mengambil gambar longkang yang berada di sekitar kawasan itu terlebih dahulu. Namun, gambar bahagian dalam pasar tidak berani dirakamkan memandangkan pengunjung tidak begitu ramai ketika itu. Baru-baru ini, sebanyak 21 daripada 102 warga Myanmar yang diperiksa dalam operasi oleh Jabatan Imigresen di Pasar Harian Selayang ditahan kerana mereka melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen sah, salah guna permit kerja dan menetap lebih masa. Bagaimanapun dalam operasi bermula pukul 3 pagi itu, beratus-ratus warga terbabit yang dipercayai menjadi pembantu kedai di pasar tersebut berjaya melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran trak pihak berkuasa. Malah mereka sanggup membahayakan nyawa dengan melarikan diri ke arah jalan raya sebelum menyusup ke dalam semak dan kawasan lombong berdekatan. |
Ingatkan mereka ini negara kita - Orang ramai Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT KEDAI-KEDAI ini bukan sahaja menggajikan pekerja asing, malah sebahagiannya didakwa diusahakan oleh mereka. KUALA LUMPUR 13 Jun - Orang ramai yang sering berurusan di sekitar Pasar Borong Selayang meminta pihak berkuasa lebih tegas dalam menangani kebanjiran warga asing terutamanya dari Myanmar yang memonopoli kawasan itu. Seorang peniaga tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, 25, berkata, warga Myanmar yang sering menimbulkan kekecohan perlu diberi peringatan agar tidak lagi berlagak samseng. Katanya, operasi perlu lebih kerap diadakan bagi memberi amaran kepada warga Myanmar agar menghormati undang-undang negara. "Kalau sebagai majikan, sudah tentu kami pun akan berasa susah apabila mereka tidak bekerja ketika tempahan pelanggan terlalu banyak. "Tetapi, apabila memikirkan soal keselamatan, kita pula menjadi takut kepada mereka. Memang patut pendatang asing ini diambil tindakan yang sewajarnya," katanya yang hanya mengupah warga tempatan untuk bekerja dengannya. Ketakutan warga tempatan kepada warga asing itu amat jelas apabila mereka yang ditemubual enggan wajah mereka dirakamkan. Seorang penduduk Kampung Lembah Indah yang berdekatan dengan pasar itu, Mahmud Rashid, 51, berkata, tindakan pihak berkuasa yang melakukan operasi di sekitar itu wajar dipuji kerana lambakan warga asing semakin membimbangkan mereka. "Seolah-olah kita pula yang berada di tempat mereka sehingga perlu berhati-hati untuk berurusan. "Malah, anggota polis yang sering meronda di kawasan ini pun mereka tidak takut dan saya pernah mendengar cerita ada polis yang digertak oleh mereka," katanya. Bagaimanapun, Mohamad Puteh, 58, pula berkata, populasi warga terbabit tidak pernah menunjukkan tanda berkurangan selepas pihak berkuasa membuat serbuan. "Memang patut serbuan sering dilakukan tetapi saya lihat macam tiada perbezaan langsung sebelum dan selepas operasi," katanya. Tambahnya, kebanyakan gerai-gerai sementara yang dibuka di tepi jalan juga dimonopoli peniaga asing termasuk dari Indonesia dan Bangladesh. |
Keselamatan Pasar Harian Selayang ditingkatkan Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT KUALA LUMPUR 13 Jun - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengetatkan kawalan keselamatan di Pasar Harian Selayang bagi mengawal pergerakan orang ramai termasuk warga asing yang berurusan di situ. Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, langkah tersebut meliputi pembaikan pagar di sekeliling pasar dan menutup pintu-pintu pagar kecil yang terdapat di situ. Menurutnya, pasar tersebut selepas ini hanya akan memiliki satu pintu masuk dan satu pintu keluar yang akan dilengkapi dengan pejabat kawalan imigresen. "Ketika ini, pasar tersebut telah dilengkapi dengan lapan kamera litar tertutup (CCTV) dan kami bercadang untuk menambah enam unit lagi, masing-masing di pintu masuk dan keluar. "Dengan memagar seluruh kawasan pasar itu, kami berharap dapat mengekang orang luar yang cuba membuat kacau di dalam premis serta sekitar pasar tersebut, malah bahagian atas pagar itu akan dipasang kawat duri" katanya ketika ditemui. Ujar beliau, proses menaik taraf keselamatan pasar tersebut dijangka akan mengambil masa satu hingga dua bulan, sebelum Jabatan Imigresen menubuhkan pejabat mereka di situ. "Kerja-kerja tersebut kini dalam proses mengeluarkan tender kepada kontraktor dan kami berharap dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya. Sementara itu, Ahmad Phesal berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga akan menubuhkan sebuah pejabat di situ untuk memastikan kualiti barangan yang dijual. "Mereka juga akan membantu kami mengawal penjualan barangan tersebut yang hanya boleh dijalankan oleh peniaga yang berlesen sahaja," katanya. Beliau turut menafikan dakwaan bahawa DBKL mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga Myanmar untuk beroperasi di pasar tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan