Sabtu, 22 Jun 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Peluang generasi muda miliki rumah

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh SALEHUDIN M,AT RASAD
utusanktn@gmail.com

MARAN 22 Jun - Pelaksanaan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Felda Wilayah Jengka merupakan anjakan baharu kerajaan menyediakan rumah mampu milik kepada generasi baharu di tanah rancangan.

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din (gambar) berkata, pembinaan projek itu bertujuan memberi peluang kepada golongan itu yang layak memiliki rumah sesuai dengan kemampuan mereka.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan agensi kerajaan itu adalah bergantung kepada lokasi, kesesuaian tanah dan juga permintaan daripada penduduk setempat.

"Projek perintis PGBF di Felda Padang Piol sudah siap disusuli dengan projek di tanah rancangan lain seperti Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Kota Gelanggi 2 dan 4, Felda Sungai Retang dan Jengka 11.

"Projek perumahan di Felda Siantan Jengka 19 yang dibina lebih awal sedang dalam proses kerja-kerja akhir dan akan dijual kepada yang layak tidak lama lagi," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Jelasnya, PGBF yang akan dilaksanakan di semua tanah rancangan Felda secara berperingkat merupakan satu tanggungjawab sosial Felda kepada warga peneroka.

Menurutnya, rumah yang dibina adalah dalam bentuk Sistem Binaan Industri (IBS) atau lebih dikenali sebagai rumah pasang siap.

Saari berharap generasi baharu terbabit perlu bersabar menunggu kehadiran projek berkenaan tiba di tanah rancangan mereka memandangkan jumlah kontraktor berkelayakan melaksanakan projek itu adalah terhad.

Beliau turut mengingatkan golongan itu supaya terus mengukuhkan rasa kasih terhadap Felda kerana banyak berjasa kepada generasi pertama yang berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Penghargaan itu membuktikan mereka merupakan generasi yang berbudi dan sentiasa bersyukur terhadap nikmat keselesaan pembangunan negara," ujarnya.

Penduduk minta Perhilitan pindahkan gajah liar

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Hamizi Abdul Rahman (kiri) dan Shahrul Nizam Mansor menunjukkan kebun pisang milik seorang penduduk yang musnah akibat pencerobohan sekumpulan gajah di Kampung Kuala Kechau, Kuala Lipis, Pahang, kelmarin.

KUALA LIPIS 22 Jun - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diminta melakukan segera operasi memindahkan sekumpulan gajah liar yang mengganggu dan menceroboh kawasan pertanian Kampung Kuala Kechau sejak akhir-akhir ini.

Ketua Kampung Kuala Kechau, Hamizi Abdul Rahman berkata, kekerapan empat ekor gajah itu menceroboh kawasan tanaman menyebabkan petani terpaksa menanggung kerugian besar.

Tambahnya, penduduk diselubungi kebimbangan sejak lima tahun lalu berikutan kehadiran haiwan liar itu yang kali terakhir dilihat berkeliaran di kebun mereka pada 13 Mei lalu.

"Gajah ini memusnahkan tanaman penduduk seperti kelapa sawit, getah, pisang dan pokok buah-buahan," katanya kepada pemberita di Kuala Kechau di sini semalam.

Menurut Hamizi, berikutan ancaman berkenaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu mengambil alternatif meminta penduduk melaksanakan kawalan pemantauan di kawasan kebun pada setiap malam.

Bagi seorang penduduk, Shahrul Nizam Mansor, 26, walaupun petani menggunakan sistem keselamatan seperti atap zink dan pagar elektrik, namun peralatan tersebut tidak menghalang gajah berkenaan menceroboh ke kawasan kebun.

"Ancaman gajah ini menghalang niat saya membesarkan kawasan pertanian dan terpaksa berfikir banyak kali untuk melebarkan projek ini berikutan usaha sebelum ini musnah dalam sekelip mata akibat dilanyak haiwan berkenaan," ujarnya.

Katanya, walaupun beberapa kali dihalau, namun haiwan tersebut tetap masuk ke kampung apabila habitatnya diganggu dan kekurangan makanan.

Dalam pada itu, Penghulu Mukim Kuala Lipis, Mohd. Nazri Abdul Kadir berkata, pihaknya menghantar surat kepada pemimpin setempat dan Perhilitan untuk memaklumkan kejadian berkenaan serta kerosakan tanaman dihadapi oleh petani.

"Ancaman gajah liar mengundang rasa bimbang dan takut dalam kalangan penduduk untuk ke kebun selain menanggung banyak kerugian," katanya.

Ibu rayu Mahsuri pulang

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

che Abidah Che Man menunjukkan gambar Mahsuri semasa ditemui di Kampung Aur Gading, Kuala Lipis, Pahang kelmarin.

KUALA LIPIS 22 Jun - Seorang ibu merayu anak perempuannya, Mahsuri Es Amira Abdul Halim, 20, yang menghilangkan diri sejak dua bulan lalu dipercayai kerana mengikut teman lelakinya agar pulang ke pangkuan keluarga segera.

Che Abidah Che Man, 53, yang menetap di Kampung Aur Gading di sini mengakui bimbang dengan keadaan anaknya itu apatah lagi Mahsuri merupakan penuntut tahun akhir di sebuah kolej swasta.

Tambahnya, Mahsuri yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik tidak pernah berselisih faham dengannya mahupun keluarga malah merahsiakan perhubungannya itu.

"Kami sekeluarga tidak mengenali lelaki tersebut yang dipercayai warga tempatan. Mahsuri tidak pernah menceritakan dia ada teman lelaki dan kami pun juga tidak tahu peribadi lelaki itu," katanya di sini kelmarin.

Menurut Che Abidah, kehilangan Mahsuri hanya diketahui apabila anak lelakinya, Mohd. Nazri, 22, menghantar barangan keperluan adiknya itu, namun rakan sebilik memaklumkan gadis berkenaan tiada di situ.

"Akibat rasa bimbang, saya sekali lagi meminta Mohd. Nazri pergi ke tempat pengajian itu pada 20 Mei lepas, tetapi rakan sebiliknya memberitahu Mahsuri tidak muncul sejak 3 Mei lalu," ujarnya.

Che Abidah berkata, usaha mencari Mahsuri telah dilakukan di Kuantan dan Kuala Lumpur selain menghubungi saudara mara di merata tempat tetapi gagal.

"Kami sekeluarga sekarang mula buntu tambahan pula kesihatan saya menjadi tidak menentu kerana asyik memikirkan Mahsuri," katanya.

Tambah Che Abidah, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan dan sehingga ini masih menunggu laporan serta berita mengenai anaknya.

Katanya, orang ramai dan kenalan Mahsuri yang ternampak atau mengetahui mengenai kedudukan gadis berkenaan boleh menghubunginya di talian 014-2331854 atau 0111-2949336.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan