Jumaat, 21 Jun 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Floria Putrajaya 2013 bermula

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh HAKIMI ISMAIL
kota@utusan.com.my

ABDUL Razak Abd. Manan dan cucu saudaranya, Ahmad Uazir kelihatan tertarik melihat dekorasi yang turut menghiasi tapak Floria Putrajaya 2013 di Putrajaya semalam. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

PUTRAJAYA 21 Jun - Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2013 kini bersedia sepenuhnya untuk menerima kunjungan peminat bunga-bungaan.

Pengarah Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya (PPj), Mohammad A. Shukor berkata, Floria Putrajaya 2013 yang bermula esok hingga 30 Jun itu semestinya akan memukau pengunjung dengan kreativiti dan keunikan hiasan seni reka taman yang mengandungi lebih 400,000 bunga terdiri daripada pelbagai spesies.

Katanya, bertemakan Bunga Orkid-Khazanah Tropika, Floria Putrajaya 2013 dijangka menarik lebih sejuta pengunjung sekali gus mengatasi rekod sebelumnya iaitu sekitar 800,000 pengunjung.

"Tema orkid pada penganjuran kali ini amat bertepatan kerana merupakan tanaman hiasan yang amat popular di Malaysia ekoran kesesuaian iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun.

"Selain mudah ditanam dan dibiak bunga jenis ini menjadi pilihan utama penggemar flora di negara ini kerana saiz, struktur dan bunganya yang pelbagai, orkid juga digunakan secara meluas dalam industri landskap di negara ini," katanya semasa lawatan media ke tapak Floria Putrajaya 2013 di Persisiran Tasik, Presint 2 di sini hari ini.

Menurut Mohammad, selain orkid, Floria Putrajaya 2013 turut mempamerkan beberapa jenis bunga lain seperti bonsai, heliconia dan bunga kertas untuk tatapan pengunjung.

"Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai terutama penggemar landskap taman dan bunga-bungaan datang beramai-ramai ke Floria Putrajaya 2013 bagi menyaksikan sendiri keindahan yang bakal dipamerkan," katanya.

Sementara itu, katanya, Floria Putrajaya 2013 turut menampilkan sebanyak 23 peserta antarabangsa dari 18 buah negara terdiri daripada pereka taman dan penggubah bunga yang akan mempamerkan taman dalaman, taman luaran dan taman orkid.

"Floria Putrajaya 2013 bukan sahaja mempamerkan keindahan dan keceriaan warna bunga dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di negara ini, malah menambah keindahan Putrajaya yang telah dirancang dan dibina dengan reka bentuk yang begitu unik dan rapi.

"Ini dapat menonjolkan identiti Putrajaya sebagai sebuah bandar dalam taman dan bandar bunga-bungaan, selain membuktikan komitmen PPj membangun dan memajukan pusat pentadbiran ini sebagai bandar raya contoh yang ceria dan bertenaga dalam semua aspek," katanya.

Dalam pada itu, katanya, jerebu yang melanda negara dijangka tidak memberi kesan kepada jumlah kedatangan pengunjung ke Floria Putarajaya 2013.

"Floria Putrajaya mempunyai daya tarikan yang tersendiri, malah ada di antara yang hadir ke sini adalah pengunjung tetap, jadi saya tidak fikir masalah jerebu akan memberi kesan kepada kedatangan pengunjung.

"Lagi pun masalah jerebu di Putrajaya tidak serius seperti di Johor, malah mereka yang hadir ke sini juga akan dapat menghirup udara segar melalui oksigen yang dilepaskan oleh pelbagai jenis bunga-bungaan yang dipamerkan," katanya.

Ketua Wanita UMNO Kapar terus berkhidmat walau hidap kanser

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Noh Omar (duduk, kiri) mengatakan sesuatu kepada Noorliza Ahmad (duduk, dua dari kanan) sewaktu melawatnya di Meru, Klang kelmarin.

KLANG 21 Jun - Penderitaan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kapar, Noorliza Ahmad yang menghidap sejenis penyakit kanser sejak lima tahun lalu tidak mematahkan semangatnya untuk terus memberikan khidmat kepada masyarakat setempat.

Noorliza, 46, meluahkan keinginannya untuk terus memberikan khidmat kerana merasakan masih banyak lagi tanggungjawab yang belum dilunaskan, antaranya menarik anak muda untuk menjadi pelapis pemimpin pada masa akan datang.

"Kami bukan sekadar menarik golongan ini untuk berjuang bersama, tetapi berkongsi maklumat tentang apa sahaja supaya sedar perkara sebenar yang mereka perlu perjuangkan.

"Kami tidak mahu mereka 'diculik' oleh pemimpin parti pembangkang yang sentiasa cuba untuk mempengaruhi golongan muda bagi memenuhi kepentingan mereka," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar di kediamannya di Meru semalam.

Dalam kunjungan itu, Noh menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Noorliza sebagai tanda penghargaan dan ingatan terhadap jasa dan perjuangan beliau sepanjang berkhidmat bersama UMNO.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar dan Pengerusi BN Kapar, Datuk Abdul Rahman Palil.

Menceritakan tentang penyakitnya, ibu kepada lapan orang anak itu tidak menyangka bahawa keputusan pemeriksaan kesihatan yang dijalani di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 2008 mengesahkan bahawa beliau menghidap kanser di tahap empat.

Noorliza berkata, meskipun doktor telah mengesahkan penyakit itu, perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan berjuang bersama-sama dengan rakan wanita yang lain.

"Bagaimanapun, keadaan kesihatan bertambah teruk pada tahun lalu apabila ketika itu saya berada di Pulau Carey. Tiba-tiba kaki kiri saya tidak boleh bergerak. Sejak itu saya terpaksa memperlahankan aktiviti politik atas faktor kesihatan.

"Walaupun kini tidak lagi aktif, saya masih menerima kunjungan rakan-rakan untuk bertanya pendapat dan ada sesetengah penduduk datang berjumpa untuk meminta bantuan. Saya tidak kisah dan akan menyalurkan bantuan mengikut kemampuan," katanya.

Sampah di jalan sunyi terus dibakar

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

longgokan sampah yang dibuang individu tidak bertanggungjawab di lorong berdekatan jejantas ke Stesen LRT Cheras, Kuala Lumpur bukan sahaja bertambah tetapi turut dibakar tanpa menghiraukan keadaan berjerebu sekarang. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

KUALA LUMPUR 21 Jun - Ketika seluruh negara dilanda kebimbangan akibat jerebu, terutama di selatan Semenanjung yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras bahaya, namun ada pihak yang tidak mengendahkannya.Di sebatang lorong di Jalan Chan Sow Lin, yang bersebelahan dengan Lebuh Raya Maju (MEX), pihak itu masih membakar sampah yang dibuang di situ secara haram seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia semalam.

Tinjauan semula Utusan Malaysia ke lokasi itu kira-kira pukul 5.50 petang hari ini mendapati, sampah-sarap tersebut sedang terbakar, dipercayai bermula kurang 30 minit sebelumnya.

Malah, asap ekoran pembakaran haram tersebut juga jelas kelihatan dibawa angin ke Apartmen Suria, Cheras yang terletak dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi tersebut.

Asap akibat pembakaran itu turut mengganggu pejalan kaki yang menggunakan jejantas untuk menyeberangi MEX ke Stesen LRT Cheras.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan tindakan pihak bertanggungjawab yang membuang sampah menggunakan lori pada waktu malam sebelum membakarnya secara sesuka hati sehingga menjejaskan alam sekitar.

Pelbagai jenis sampah dibuang di lokasi tersebut termasuk bahan binaan, kaca, tilam, tayar dan kayu yang dibiarkan menjadi timbunan seperti bukit kecil.

Malah, orang ramai yang ditemui juga kesal kerana selain tidak mengetahui 'pemilik' sampah itu, tindakan tegas juga tidak pernah diambil biarpun bomba sudah berulang kali memadam kebakaran di situ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan