Selasa, 8 Mac 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Barangan lusuh jadi motosikal mini

Posted:

Barangan lusuh jadi motosikal mini

Barangan lusuh jadi motosikal mini

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my


Rohazman Affendi Abdul Rahim menunjukkan motosikal dan basikal yang diciptanya menggunakan barangan lusuh.


KOTA BHARU 7 Mac – Saban hari kita melihat ramai orang mengutip barangan lusuh dan terbiar seperti botol plastik, tin kosong dan besi untuk dijual sebagai pendapatan sampingan.

Bagaimanapun, jarang sekali kita menemui individu yang sanggup menjelajah seluruh negeri ini semata-mata mencari besi buruk untuk dikitar semula bagi menghasilkan pelbagai rekaan kreatif dan dijual semula dengan harga lumayan sehingga ada mencecah RM1,000.

Bagi Rohazman Affendi Abdul Rahim, 46, besi buruk yang banyak ditemuinya di tepi-tepi jalan atau di mana sahaja bukanlah barangan sudah tidak berguna sebagaimana tanggapan banyak orang.

Sebaliknya, dengan sentuhan kepakarannya, barangan lusuh itu boleh diubah menjadi sebuah motosikal mini yang mendapat tempahan daripada beberapa pihak.

Sekiranya kita mengunjungi bengkelnya yang terletak di tepi jalan di Kampung Binjai di sini, pandangan mata pasti terarah ke beberapa buah motosikal kecil itu yang kesemuanya menggunakan enjin mesin pemotong rumput yang sebelum ini rosak dan telah dibaiki.

Kesemua motosikal itu tidak mempunyai rangka asal, sebaliknya ia dibentuk sendiri oleh Rohazman menggunakan besi pagar yang ditemuinya di merata tempat.

"Saya buat semua ini sebab memang minat saya mereka cipta pelbagai jenis barang menggunakan barangan terpakai dan kalau ada yang mahu beli saya jual.

"Setakat ini, saya sudah berjaya menjual tiga motosikal ini pada harga antara RM800 hingga RM1,000 dan kadang kala ada orang yang membuat tempahan terus," katanya ketika ditemui di bengkelnya, di sini baru-baru ini.


Rim motosikal yang terbuang dijadikan bangku.


Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia melakukan rekaan itu sejak lima tahun lalu berdasarkan pengalamannya sebagai seorang mekanik dan didorong oleh minat amat mendalam.

Salah sebuah motosikal yang dihasilkan Rohazman amat unik kerana rangkanya dibuat daripada besi pagar yang sudah dibuang dan menggunakan enjin mesin pemotong rumput untuk menggerakkannya, di samping beberapa botol plastik untuk melengkapkan keseluruhan ciri-ciri motosikal mini tersebut.

Katanya, motosikal mini itu dicipta untuk dinaiki sesiapa sahaja termasuk orang dewasa terutama ketika beriadah atau bersiar-siar pada masa lapang.

"Kadang-kadang ada orang datang untuk tempah motosikal mini ini dan jika kena pada harganya, saya akan siapkan. Saya memerlukan masa paling cepat satu minggu untuk siapkan sebuah motosikal ini.

"Hendak dapatkan barangannya tidak susah mana, saya hanya perlu mencari dan kadang kala, kalau ada yang mahu menjualnya seperti enjin mesin pemotong rumput yang sudah rosak, saya beli dan baiki," katanya.

Selain motosikal mini itu, Rohazman turut mereka cipta beberapa jenis basikal termasuk yang menggunakan roda tiga dan boleh digunakan untuk mengangkut barang.

Selain itu, dengan menggunakan tali terpakai dan rim tayar basikal sebagai kaki, anak jati Kelantan ini turut menghasilkan beberapa kerusi yang boleh digunakan untuk bersantai.

"Saya tengoklah kalau ada yang boleh dibuat, saya akan cuba menghasilkannya terutama meja dan kerusi.

"Macam rim tayar basikal ini, memang boleh digunakan sebagai kaki meja dan kerusi. Ia lebih baik daripada kita membuangnya begitu sahaja selepas sudah tidak digunakan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

2,000 MyKad belum dituntut

Posted:

2,000 MyKad belum dituntut

2,000 MyKad belum dituntut

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 7 Mac - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Terengganu mengingatkan 2,000 pemohon di negeri ini agar menuntut MyKad mereka sebelum ia dilupuskan selepas tempoh 18 bulan permohonan dibuat.

Pengarahnya, Ghazali @ Suhaimi Muhammad berkata, pemilik MyKad yang gagal berbuat demikian juga bakal dikenakan denda RM40 sebagai penalti bagi kad pengenalan yang tidak dituntut mengikut Akta Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007.

Katanya, jumlah MyKad yang tidak dituntut tersebut merangkumi pemohon yang menukar alamat tempat tinggal, kad pengenalan baru serta yang hilang atau dokumen berkenaan musnah.

"Selain MyKad, MyKid yang dikeluarkan secara percuma kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun atau sebaik mendaftar kelahiran bayi juga ada yang tidak dituntut ibu bapa masing-masing.

"Kita berharap pemohon dapat menuntut kad pengenalan mereka dengan segera sebelum notis denda dikeluarkan.

"Mereka juga perlu ingat sekiranya ingin memohon semula kad pengenalan baru, turut dikenakan denda kerana sistem kita akan mengesan rekod mereka yang gagal menuntut kad terdahulu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ghazali berkata, kebanyakan pemohon yang gagal menuntut MyKad itu disebabkan faktor usia tua, terlupa, sibuk bekerja dan mereka terdiri daripada golongan warga emas serta mereka dalam lingkungan umur 20 dan 35 tahun.

Katanya, mereka yang sengaja memandang remeh soal tuntutan kad pengenalan itu turut berhadapan denda dengan nilai yang lebih tinggi selain disoal siasat oleh JPN jika melibatkan kes berulang.

"Orang ramai yang hilang MyKad secara sengaja atau tidak sengaja juga akan dikenakan denda RM100 bagi kes pertama, kes kedua (RM200) dan kes ketiga (RM300).

"Namun, jika masih berulang, bayaran denda tetap RM300. Bagaimanapun, mereka tetap disoal siasat JPN bagi mengelakkan berlakunya unsur-unsur penipuan," katanya.

Setakat ini, jelas beliau, pihaknya mengambil pendekatan menghantar surat makluman dan menelefon pemohon untuk memaklumkan tentang perkembangan permohonan mereka.

Beliau turut mengingatkan pemohon perlu ke JPN untuk mengambil MyKad mereka.

"Sekiranya tidak mampu berbuat demikian atas alasan uzur mahupun masalah lain, pihak ketiga perlu membawa bersama surat kebenaran pemohon bagi mengelakkan perkara berbangkit," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat tentang permohonan MyKad mereka boleh menghubungi JPN Cawangan Terengganu di talian 09-6301031.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

30 pelajar Imtiaz jayakan Program Tadarus al-Quran 13 Mac

Posted:

30 pelajar Imtiaz jayakan Program Tadarus al-Quran 13 Mac

30 pelajar Imtiaz jayakan Program Tadarus al-Quran 13 Mac


Khazan Che Mat (duduk lima dari kanan) bersama pihak penganjur dan peserta program Tadarus al-Quran anjuran Radio Malaysia Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 7 Mac - Sempena musim cuti sekolah pertengahan bulan ini, Radio Malaysia Terengganu (TFM) akan menganjurkan program Tadarus al-Quran yang bermula 13 Mac depan.

Pengarah Penyiaran negeri, Dr. Nawiyah Che Lah berkata, seramai 30 pelajar dari Sekolah Menengah Imtiaz akan memperdengarkan bacaan mereka di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI).

"Pelajar yang memperdengarkan bacaan mereka selama lima hari itu bermula pada pukul 9 pagi hingga 6 petang dan rakaman tadarus 30 juzuk itu disiarkan sepanjang Ramadan tahun ini.

"Majlis khatam pula diadakan pada hari terakhir program berkenaan, " katanya ketika berucap pada majlis perasmian Tadarus al-Quran Bersama TFM di TTI, dekat sini hari ini.

Perasmian program dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Yayasan Terengganu dan TTI Management Sdn. Bhd. itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Turut hadir, Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Shaikh Harun Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman.

Tambah Dr. Nawiyah, program itu merupakan kesinambungan daripada program sama tahun lalu yang melibatkan 60 pelajar Institut al-Quran Terengganu (IQ).

"Program ini merupakan usaha pihak kami untuk menarik pendengar terutama golongan pelajar mendekati dan mencintai al-Quran seterusnya menghayati maksud yang terkandung di dalamnya," katanya.

Menurutnya, TFM sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada masyarakat dengan menganjurkan pelbagai program seperti Suara Kampus dan Terengganu Indah.

"Tidak ketinggalan, rancangan berbentuk keagamaan seperti Tadarus al-Quran, Suara Masjid dan Suara Azan turut diperkenalkan bagi memastikan semua peringkat masyarakat mendapat maklumat sebaik mungkin.

"TFM memperbanyakkan program seumpama ini yang bakal memaparkan aktiviti masyarakat serta lokasi menarik di negeri ini untuk diterokai dan diperkenalkan menjadi aset pelancongan yang berharga," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen