Selasa, 8 Mac 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Jenazah tak muat dalam lif

Posted: 07 Mar 2011 02:47 PM PST

Wilayah

PENGHUNI blok A khuatir dinding bangunan retak akibat tangki air bocor di Flet Taman Medan Cahaya PJS2. - Foto Syed Putra Syed Abdul Rahman

PENGHUNI blok A khuatir dinding bangunan retak akibat tangki air bocor di Flet Taman Medan Cahaya PJS2. - Foto Syed Putra Syed Abdul Rahman

Penghuni flet meradang kediaman digenangi air

PETALING JAYA: Enam blok flet kos rendah Taman Medan Cahaya, di sini membabitkan 1152 unit rumah dan didiami kira-kira hampir 4,000 penduduk berdepan masalah tangki air bocor sejak tahun lalu.

Masalah itu mengakibatkan kediaman sebahagian penduduk digenangi air dan kerosakan lif yang menjadi kemudahan harian penduduk flet itu. Apa yang dikesali penduduk adalah sikap lepas tangan pemaju perumahan flet terbabit iaitu Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) walaupun aduan dibuat sejak tahun lalu.

Wakil penduduk blok B flet itu, Zainab Osman, 46, berkata enam blok fasa pertama, iaitu blok A, B, C, D, E dan F mengalami masalah yang sama dan sehingga kini belum ada tindakan daripada SPNB, manakala blok yang dibina dalam fasa kedua iaitu G dan H terselamat kerana baru dibina. "Kita dah banyak kali buat aduan... mereka hanya datang, ambil gambar dan balik. Apa guna bil penyelenggaraan yang kami bayar sebanyak RM45 sebulan?.

"Bukan blok saya saja yang ada masalah tangki bocor, enam blok lain pun turut mengalami nasib sama," katanya ketika ditemui Sentral di sini, semalam.

Difahamkan, semua enam blok itu turut mengalami masalah kerosakan lif akibat daripada kebocoran tangki air yang berlaku di tingkat 16 flet berkenaan, selain turut menyebabkan air meresap masuk ke dalam dinding rumah dan bertakung di kawasan kediaman serta berlaku keretakan di sekitar kawasan dinding yang bocor.

"Jika perkara ini berlarutan, struktur dinding dan konkrit mungkin retak," kata Zainab.
Penasihat Persatuan Badan Kebajikan Penduduk Blok A, Mustafa Abdullah, 48, berkata semua blok yang mengalami masalah tangki bocor itu hanya menggunakan satu lif untuk kemudahan harian penduduk.

"Sekarang satu lif saja yang berfungsi, tapi selalu rosak sebab kerap digunakan dan biasanya terpaksa membawa muatan yang berlebihan, lebih-lebih lagi pada waktu pagi, tengah hari dan petang," katanya.

Sementara itu, Zainab berkata, jika berlaku kecemasan dan kematian, mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan lif dan jika tiada pilihan lain, penduduk terpaksa menggunakan tangga.

"Pernah berlaku kematian, tapi lif yang berfungsi ini kecil saiznya berbanding lif yang rosak dan jenazah tidak dapat dimuatkan ke dalam lif untuk dibawa turun.

"Kita terpaksa mendapatkan khidmat penyelenggara untuk menggunakan lif yang rosak itu secara manual bagi mengangkat jenazah dari tingkat atas dan kadang kala terpaksa menaiki tangga," katanya.

Penduduk berharap agar tindakan segera diambil SPNB agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

"Kami harap kebajikan dan keselamatan penduduk flet diberi perhatian pihak pemaju dan segera membaiki segala kerosakan yang berlaku sebelum perkara ini menjadi lebih teruk," kata Mustafa.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sewa kolong rumah uzur

Posted: 07 Mar 2011 02:45 PM PST

Wilayah

Oleh Mahani Ishak
bhjb@bharian.com.my
JOHOR BAHRU: Seorang tukang cuci bersama tiga anaknya mengharungi kehidupan harian penuh kesempitan dekat Kampung Tarom di pinggir bandar raya ini, apabila hanya mampu menyewa bahagian kolong sebuah rumah uzur berlantaikan simen sebagai tempat berlindung sejak lima tahun lalu. Kolong rumah seluas kira-kira 100 kaki persegi dengan hanya satu lampu itu disewa tukang cuci yang ditinggalkan suami secara gantung tak bertali, Wan Sharifah Hanam Wan Mohd Shariff, 44, pada kadar RM250 sebulan daripada seorang warga Indonesia. Meskipun sempit, namun kolong itulah yang menjadi ruang untuk tiga beranak itu, Intan Zaharah Mohd Jailani, 17, Mohd Amirul Izani, 14, dan Intan Norzubaidah, 13, tidur dan makan serta belajar setiap hari, sementara Wan Sharifah Hanam memasak menggunakan dapur yang diletak di belakang rumah itu bertemankan lilin.

Wan Sharifah Hanam berkata, beliau membawa anak-anaknya lari daripada suaminya sejak tujuh tahun lalu sebelum mencari pekerjaan sebagai tukang cuci untuk menyara kehidupan kerana tidak tahan dengan penderaan mental dan fizikal yang dialaminya.

"Suami bukan saja penagih dadah, tetapi kerap membawa rakan penagih lain ke rumah lama kami ketika tinggal di Batu 10, Skudai untuk menagih, selain bersikap panas baran termasuk pernah membalingkan ikan mentah ke muka saya berikutan lambat memasak untuk rakannya.

"Keperitan hidup saya dan anak-anak berterusan, apabila keluarga di Terengganu meminggirkan kami kerana malu dengan pekerjaan saya sebagai tukang cuci, berikutan enam adik beradik lain mempunyai pekerjaan baik termasuk seorang berkelulusan luar negara," katanya ketika ditemui media dekat rumahnya, semalam.
Terdahulu, keluarga malang itu menerima kunjungan rombongan kakitangan Maybank Cawangan Jalan Segget diketuai Pengurus Cawangannya, Ismail Ahmad, yang menyampaikan sumbangan tanda simpati menerusi Program Cahaya Kasih yang dianjurkan mereka.

Wan Sharifah Hanam yang menerima gaji RM500 sebulan sebagai tukang cuci dengan sebuah syarikat swasta, berkata meskipun hidup dalam serba kekurangan dan kesempitan, setakat ini beliau hanya mendapat bantuan daripada Baitulmal.

Katanya, kekangan kewangan dengan kos sara hidup harian yang tinggi termasuk menampung keperluan persekolahan tiga anaknya yang sedang belajar di sekolah menengah, menyebabkan mereka terpaksa bertahan tinggal di bawah kolong terbabit.

"Selain sewa rumah RM250 sebulan, saya menanggung RM150 sebagai tambang bas anak-anak ke sekolah. Bagi yuran persekolahan, ada guru yang bersimpati membayar bagi pihak seorang daripada anak saya, manakala dua lagi mendapat simpati kakitangan Maybank.

"Meskipun Intan Zaharah berdepan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, saya tidak mampu menghantarnya mengikuti sebarang kelas tambahan kerana tidak mampu membiayai yurannya, cuma berharap dia dapat beri tumpuan di sekolah sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, kedaifan hidup keluarga terbabit menarik perhatian kakitangannya yang berusaha mengumpul dana sebelum tampil menghulurkan sumbangan itu sebagai tanda simpati.

"Bagi pihak kakitangan Maybank Jalan Segget, kami sudah dua kali menyalurkan sumbangan kepada keluarga ini dalam bentuk wang tunai dan barang keperluan asas bagi meringankan beban mereka iaitu pada November lalu dan hari ini.

"Kami berharap pemimpin tempatan yang prihatin terhadap kesempitan hidup keluarga ini dapat membantu mereka mendapatkan kemudahan rumah sebagai tempat tinggal lebih baik demi keselesaan dan keselamatan anak gadisnya yang sedang meningkat dewasa," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen