Selasa, 8 Mac 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Tarian kuda kepang di rantau NS

Posted:

Tarian kuda kepang di rantau NS

Tarian kuda kepang di rantau NS

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my


ANTARA ahli kumpulan Seri Kelembak yang mengikuti latihan kuda kepang di Lui Barat, Jempol, baru-baru ini.


JEMPOL 7 Mac. - Kuda kepang adalah sejenis tarian pahlawan berkuda yang berasal dari Jawa, Indonesia.

Tarian tersebut adalah permainan rakyat di Indonesia dan Malaysia khususnya di Johor dan ia kebiasaannya dipersembahkan pada majlis perkahwinan dan keramaian.

Peralatan permainan kuda kepang terdiri daripada angklung, gendang, gong, kuda, sebatang pecut dan tali sepanjang 30 meter.

Angklung berbentuk empat segi diperbuat daripada buluh serta rotan dan dimainkan dengan cara menggoyangkan buluh tersebut.

Gabungan bunyi nyaring buluh kecil serta bunyi bergema daripada buluh besar menghasilkan irama indah dan menarik.

Gendang yang diperbuat daripada kayu leban dan kulit lembu pula akan dipalu mengikut irama tertentu membantu menyedapkan lagi bunyi muzik pengiring.

Pecut diperbuat daripada buluh dan tali dipintal menjadi satu berfungsi mengarah dan mengawal permainan penari-penari kuda kepang.

Selain itu, perkakas yang penting ialah kuda yang diperbuat daripada kulit lembu dan diwarnakan merah, putih serta kelabu.

Tali digunakan untuk membuat pagar bagi mengawal penari-penari yang 'mabuk' daripada berkeliaran serta memudahkan ketua mengawal tarian.

Kuda kepang biasanya dipersembahkan di tempat terbuka atau di atas pentas yang besar dan sebelum tarian bermula ketua akan membakar kemenyan dan membaca jampi untuk memberikan tenaga kepada kuda-kuda.

Biasanya mereka turut menggunakan telur mentah, bunga, rumput dan air untuk persembahan.

Ketika persembahan dilakukan, seorang peserta ditugaskan melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian dan apabila muzik mula bergema, penari-penari akan masuk ke dalam gelanggang.

Rentak muzik bermula dengan perlahan dan agak membosankan dan setiap penari akan menunggang dan mengawal kuda mengikut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu.

Ketika muzik menjadi lebih pantas, kuda-kuda akan bergerak dengan lebih laju, ketika itu para penari boleh melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat dan melompat-lompat setinggi 1.8 meter.

Semasa penari dalam keadaan itu, muzik yang mengiringi tarian akan bertambah rancak kerana dipercayai jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.

Penari akan menari selama dua jam sehingga terpukau dengan kehebatan pergerakan mereka dan keadaan itu mengakibatkan mereka lalai dan bermimpi seakan menunggang kuda yang sebenar sambil menari dengan iringan muzik.

Disebabkan itu, mereka cuba menyaingi muzik itu dan ia dipanggil 'naik syeh'.

Jika keadaan bertambah teruk dan tidak dapat dikawal, ketua akan mengarahkan pembantunya yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah sebelum dibacakan jampi untuk memulihkan mereka kepada keadaan asal.

Terdapat pantang larang dalam permainan kuda kepang iaitu pemain tidak boleh diganggu semasa dalam persembahan atau ketika sedang 'mabuk' dengan tarian.

Pemain juga dikatakan tidak boleh melihat kain merah kerana ia merupakan pantang larang semulajadi selain mereka juga tidak boleh melihat kaca kerana bimbang akan memakannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Usaha gerak semula tarian kuda kepang

Posted:

Usaha gerak semula tarian kuda kepang

Usaha gerak semula tarian kuda kepang


PENARI kuda kepang sedang membuat tarian mengikut alunan muzik yang dimainkan.


JEMPOL 7 Mac. - Tarian kuda kepang adalah seni budaya yang pernah berkembang pesat dan terkenal di Johor, namun ia kini hampir tenggelam berikutan peredaran masa.

Menyedari hakikat itu, seorang aktivis tempatan, Ramlee Zaiton, 57, dari Felda Lui Barat dekat sini berusaha menggerakkan semula tarian kuda kepang dengan menubuhkan kumpulan yang dikenali sebagai Seri Kelembak.

"Kumpulan ini ditubuhkan pada 2006 dan kini dianggotai oleh 25 orang ahli terdiri daripada anak peneroka dan golongan belia di sekitar kawasan ini.

"Saya berhasrat memperkenalkan dan memastikan seni budaya ini diketahui dan dihayati oleh orang ramai khususnya di kalangan generasi muda hari ini.

"Menerusi persatuan ini peserta bukan sahaja dapat mempelajari tarian kuda kepang malah dapat mengelakkan belia daripada terlibat dengan gejala sosial yang tidak berfaedah," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, dia tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila ramai menyatakan minat untuk mempelajari tarian kuda kepang.

Tambahnya, latihan diadakan setiap malam Sabtu bagi mendedahkan anggota kumpulan dengan ilmu tarian kuda kepang.

Sementara itu Mohd. Alif Yahya, 24, berjaya menguasai ilmu tarian kuda kepang setelah mempelajarinya selama hampir setahun.

Walaupun berasal dari Johor katanya, dia tidak mengetahui mengenai tarian kuda kepang dan minat yang mendalam mengenainya timbul selepas mempelajarinya.

"Saya mengikuti latihan ini hanya kerana ingin mengisi masa lapang. Ternyata tarian kuda kepang tidak mudah.

''Ia memerlukan kesabaran dan apa yang penting minat untuk belajar. Setiap pemain perlu belajar teknik menari dan bermain muzik," katanya.

Halim Mahat, 11, berkata, minat yang mendalam untuk mempelajari tarian kuda kepang membuatkan dia sanggup 'mencuri masa' untuk mengikuti latihan.

"Sebagai pelajar saya mempunyai pelbagai tanggung jawab yang harus dilaksanakan. Saya sentiasa membahagikan masa dengan bijak agar pelajaran tidak terabai.

"Walaupun terpaksa mengikuti latihan kuda kepang pada waktu malam, namun saya tidak pernah ponteng sekolah," katanya.

Menurutnya, masa lapangnya kini lebih tersusun apabila dia mengikuti kelas tarian kuda kepang.

"Saya tidak lagi membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Keluarga juga menyokong minat saya dan pastinya saya mahu menjadi penari kuda kepang yang disegani," tambahnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cabaran membersihkan Sungai Temiang

Posted:

Cabaran membersihkan Sungai Temiang

Cabaran membersihkan Sungai Temiang

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my


V. S. Mogan (dua dari kiri) bersama Pengarah JPS negeri, Hashim Osman (dua dari kanan) merasmikan Pusat Informasi Sungai Temiang di Seremban, semalam.


SEREMBAN 7 Mac - Perangai buruk manusia menyaksikan tilam usang pernah dicampakkan ke dalam Sungai Temiang, di sini sebagai jalan mudah membuang sampah sehingga ia tercemar teruk dan diletakkan di bawah Program Satu Negeri Satu Sungai pada 2005.

Hari ini, sudah nampak kemajuan dalam usaha itu meskipun masih banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh kerajaan sebelum program itu benar-benar membuahkan hasil seperti yang diinginkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam negeri, Datuk V. S. Morgan berkata, bagi mempercepatkan usaha-usaha itu, kerajaan negeri telah meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) pada awal tahun lalu bagi menjadikan Sungai Temiang benar-benar bersih.

Beliau berkata, menjelang 2015, kerajaan negeri berharap sungai sepanjang sembilan kilometer itu akan mencapai kelas IIB berdasarkan piawaian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berbanding kelas III dan IV yang dicatatkan pada masa ini.

Secara kasarnya, Kelas IIB membolehkan orang ramai turun untuk mandi manda di dalam sungai.

"Dahulu, sungai ini berada pada tahap kelas IV iaitu tercemar teruk sepanjang masa tetapi kini ada masa-masa tertentu kita capai tahap kelas III.

"Kita tidak mengharapkan peningkatan yang drastik. Memadailah perubahan yang biasa kerana banyak cabaran yang terpaksa kita tempuhi memandangkan sungai ini melalui kawasan bandar yang padat dengan penduduk dan kegiatan ekonomi.

"Namun secara umumnya, sampah sudah berkurangan dan tidak seperti dulu yang mana tilam pun dibuang oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab ke dalam sungai," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Pusat Informasi Sungai Temiang di Jalan Tun Dr. Ismail, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Bahagian Lembangan Sungai dan Pantai JPS, Datuk Ong Siew Heng dan Pengarah JPS negeri, Hashim Osman.

Morgan memberitahu, pelbagai program telah dirancang pada tahun ini bagi mencapai sasaran menjadikan Sungai Temiang bersih daripada pencemaran seperti memasang perangkap sampah di tempat strategik.

Selain itu, tambahnya, pusat penyembelihan ayam di Pasar Besar Seremban juga akan dipindahkan kerana bahan buangan dari pusat itu dikenal pasti menyumbang kepada pencemaran sungai tersebut.

"Kita juga menggalakkan para peniaga di pasar itu menghantar bahan buangan daripada perniagaan mereka seperti sisa sayur ke Pusat Informasi Sungai Temiang yang mempunyai mesin bagi menghasilkan baja kompos secara percuma," ujarnya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, usaha membersihkan Sungai Temiang memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk masyarakat setempat, pelajar dan penjaja di pasar besar berganding bahu menjaga kebersihan dan kualiti air sungai itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan