Selasa, 22 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Rakyat sedar janji realistik

Posted:

Rakyat sedar janji realistik

Rakyat sedar janji realistik

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

KITA sememangnya tidak akan mengerti. Sampai bila-bila pun tidak akan mengerti dengan motto pakatan pembangkang 'Ubah Sekarang: Selamatkan Malaysia!. Entah apa yang hendak diubahnya ketika Malaysia terus aman damai?. Sementelah dunia di sana sini pula diselimuti keributan.

Di Jepun, ketika bencana gempa bumi, tsunami dan kebocoran nuklear terjadi, rakyat Malaysia bersyukur dengan kehidupan yang ada. Di tanah Arab sana, rakyatnya bergelodak, berkecamuk dan entah apa lagi dengan yang terbaru serangan ke atas Libya dan 'tempias' melanda Yemen.

Namun, di pihak pakatan pembangkang yang dikepalai DAP, PKR dan Pas, mereka tampil dengan agenda pakatan yang dimuatkan dalam sebuah buku yang digelar Buku Jingga. Ia meletakkan 10 janji yang bersifat populis untuk meraih undi rakyat seandainya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Hakikatnya, Buku Jingga tidak menjelaskan dari mana sumber kewangan untuk melaksanakan janji-janji tersebut. Bak kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembangkang sengaja menabur janji kerana mereka tahu tidak akan dapat membentuk sebuah Kerajaan Pusat, apatah lagi untuk melaksanakannya.

Disorot janji pembangkang dalam buku itu untuk memastikan pendapatan isi rumah minimum RM4,000 sebulan jika pakatan pembangkang berkuasa kelak, apakah ia boleh dicapai? Sumber memberitahu Utusan Malaysia bahawa untuk mencapai pendapatan isi rumah seminimum itu, kadar pertumbuhan ekonomi perlu berada pada tahap 21.7 peratus. Negara China sendiri yang merupakan paling tinggi pertumbuhan ekonominya pun sekadar pada tahap 10 peratus.

Ironinya, rakyat cuba diperbudak-budakkan pembangkang semata-mata untuk memancing undi dengan tawaran pendapatan RM4,000 sebulan tanpa mengira faktor ekonomi. Tidak ada kesan ekonomi sekiranya pendapatan tinggi sementara pembangkang gagal mengawal inflasi dan harga barang.

Malah, jika diamati, kerajaan DAP Pulau Pinang gagal menunaikan janji untuk memberi pendapatan isi rumah sebanyak RM6,000 sebulan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12). Demikian juga dengan janji pembangkang untuk memastikan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki konsesi lebuh raya untuk pemberian tol percuma. Berdasarkan perkiraan ekonomi, ia kelak akan memakan belanja antara RM50 hingga RM100 bilion.

Jika dilaksanakan, ia akan meningkatkan defisit negara lebih daripada 6.4 peratus dari KDNK. Dengan pendapatan kerajaan RM158.6 bilion pada 2009, melaksanakan janji ini akan menelan kos hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Di sebalik janji-janji ini, bagaimana pula dengan janji Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menghapuskan Tol Sungai Nyior dan Tol Jambatan Pulau Pinang dalam manifesto PRU-12. Setelah mendapat kuasa, janji itu tidak ditunaikan.

Rakyat mengerti bahawa KWSP tidak boleh disalah guna kerana ia khusus untuk simpanan rakyat semasa tua dan tidak boleh digunakan untuk menghapuskan bayaran tol. Kerajaan sendiri komited dalam soal tol dengan menurunkan kadar tol di Kampung Medan - Petaling Jaya Selatan daripada RM1.60 kepada RM1 bagi meringankan beban rakyat.

Malah, kerajaan telah membuat perakuan bahawa kadar tol di empat lebuh raya PLUS tidak dinaikkan dalam masa lima tahun. Demikian juga dengan komitmen akan menamatkan konsesi tol untuk Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught di Kuala Lumpur berkuat kuasa Mei 2011.

Janji kedua pembangkang mahu memberi imbuhan kepada guru sebanyak RM500 seorang setiap bulan, apakah ia boleh terlaksana? Dianggarkan ketika ini terdapat kira-kira 400,000 guru, maka kos yang diperlukan adalah RM2.4 bilion (sebanyak 0.3 peratus daripada KDNK). Ketika ini, guru PPSMI kategori ijazah memperoleh elaun lima peratus daripada jumlah gaji dan guru bukan ijazah 10 peratus daripada jumlah gaji masing-masing.

Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), sebanyak 60 peratus tumpuan adalah bagi menaik taraf guru kelulusan diploma kepada ijazah yang akan melonjakkan tangga gaji perguruan.

Dalam aspek ini juga, seramai 924 guru besar telah menerima ganjaran RM7,500 seorang baru-baru ini kerana berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Anugerah Tawaran Baru (Bai'ah). Sejumlah lima peratus guru paling cemerlang pula menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang.

Pada masa sama, setiap 16 Mei sambutan Hari Guru, kerajaan komited memberi pengiktirafan kepada Guru Cemerlang dengan kenaikan tangga gaji. Malah, sejumlah RM700,000 telah diagihkan untuk Sekolah Berprestasi Tinggi (20 buah sekolah) di bawah NKRA Pendidikan.

Buku Jingga turut menyertakan 'janji manis' pembangkang untuk memberi 20 peratus royalti minyak kepada Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Ini dijangka akan diuar-uarkan lagi menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan menyusul bulan depan. Apakah janji ini realistik?

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, jika 'janji manis' ini direalisasikan, ia pasti mengurangkan dividen Petronas sebanyak RM12.5 bilion dan akan menjunamkan kelestarian Petronas dalam jangka masa panjang. Jika disemak peratus royalti minyak di luar negara, kita dapati China adalah dari empat hingga 12.5 peratus (1996), Texas (minimum 6.25 peratus) dan Australia, dari 10 hingga 12.5 peratus.

Apa yang dipersoalkan kenapakah selama lapan tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, beliau tidak pernah berusaha untuk menaikkan royalti minyak kepada negeri-negeri tersebut. Hak Sabah dan Sarawak sebenarnya termaktub di dalam North Borneo (Alteration of Boundaries) Order In Council 1954 dan Sarawak (Alteration of Boundaries) Order In Council 1954. Ia merupakan sejarah dan hak istimewa yang diiktiraf semasa menyertai Malaysia pada 1963.

Keistimewaan yang diterima Sabah dan Sarawak dan tidak ada pada negeri-negeri di Semenanjung ialah perkiraan bayaran mengambil kira duti import, duti eksais, duti eksport petroleum serta hasil perlombongan galian semula jadi. Petronas telah memberikan faedah sama rata kepada empat buah negeri tersebut hasil keuntungan syarikat setiap tahun.

Bagaimana pula dengan janji pembangkang dalam Buku Jingga mahu membatalkan Felda Plantations. Apakah ia juga wajar dipersetujui? Hakikatnya kerajaan Pas Kelantan sendiri gagal mentadbir Ladang Rakyat sehingga tidak mampu memberi RM200 kepada peneroka di Kelantan. Inikan pula ingin mengurus Felda yang jauh lebih besar kapasitinya.

Felda Plantations dimiliki 51 peratus oleh Felda Holding yang terdiri daripada Koperasi Permodalan Felda yang disertai penduduk Felda, pekerja dan ahli koperasi. Kepentingan warga Felda amat terjamin. Ironinya juga, Felda telah berjaya membangunkan 255,770 peneroka di 317 tanah rancangan. Warga Felda juga dapat menikmati duit raya, bonus dan dividen berjumlah RM2,381.

Bagi generasi kedua dan ketiga, mereka telah menerima bantuan pertanian, pendidikan, perniagaan, latihan kemahiran, perumahan warga Felda dan Ahli Koperasi Permodalan Felda. Jika Felda Plantations dihapuskan, maka kira-kira 330,000 hektar tanah dibahagikan kepada 1.6 juta ahli keluarga peneroka. Maka, seorang ahli akan mendapat seekar tanah sahaja.

Felda merupakan pemilik kawasan perladangan terbesar di dunia dengan jumlah kawasan mencecah 340,000 hektar. Tanah sekecil ini memberi makna kepada peneroka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mengiktiraf usahawan tekno

Posted:

Mengiktiraf usahawan tekno

Mengiktiraf usahawan tekno

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my


Ashran Ghazi


KEMUNCAK Anugerah ICT NEF-AWANI 2010 anjuran Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF) bersama saluran berita televisyen, Astro Awani bermula hari ini.

Selama dua hari berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, acara tersebut bakal mengiktiraf usahawan-usahawan tekno bumiputera terbaik bagi beberapa kategori utama.

Anugerah yang julung kali diadakan itu mempunyai objektif menyokong dan membantu pembangunan usahawan ICT bumiputera tempatan yang berpotensi ke peringkat lebih baik.

Hari pertama acara menyaksikan pelbagai program menarik diatur untuk para pengunjung seperti sesi ceramah dan pameran.

Ia termasuk pelancaran majalah rasmi NEF, The Network, dan portal NEF oleh Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Tidak ketinggalan juga aktiviti rakaman program bual bicara dan berdialog untuk siaran di Astro Awani, taklimat karier dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), pelancaran produk dan sesi menandatangani memorandum persefahaman.

Untuk sesi taklimat, beberapa syarikat ICT gergasi akan terlibat secara langsung dalam menyampaikan informasi kepada para pengunjung.

Syarikat-syarikat berkenaan adalah Orea Technologies, Google Android, Funcel, MAPEM, KUBTEL, SKALI Group dan KUB.

Bagi pameran ICT pula, sebanyak 40 syarikat tempatan membuka gerai termasuk organisasi yang tercalon serta universiti-universiti tempatan.

Menurut Presiden NEF, Ashran Ghazi, individu atau syarikat yang sedang mencari peluang perniagaan dalam bidang ICT perlu menyertai acara ini.

''Menerusi program pameran yang disediakan, para pengunjung akan dapat meneroka tawaran bisnes ICT seperti menjadi rakan strategik dan pengedar.

''Orang ramai juga boleh menyertai program diskusi bersama agensi-agensi bumiputera dalam usaha memajukan industri ICT tempatan,'' jelasnya.

Untuk program hari kedua, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan serta menyampaikan sendiri anugerah-anugerah kepada para pemenang.

Acara berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran berita televisyen, Astro Awani (501) bermula pukul 1.30 petang.

Mengimbas kembali sewaktu sesi pemilihan, pihak penganjur Anugerah ICT NEF-AWANI 2010 telah menerima lebih 800 penyertaan produk dan perkhidmatan daripada kalangan usahawan tekno tempatan.

Penyertaan itu kemudian melalui beberapa lagi proses saringan sebelum akhirnya disenarai pendek menjadi 31 syarikat yang layak ke peringkat akhir pencalonan.

Secara asasnya, anugerah berkenaan dibahagikan kepada dua komponen iaitu kategori Bumiputera dan Pilihan Rakyat.

Untuk bumiputera, ia dipecahkan lagi kepada lapan kategori utama melibatkan penilaian oleh panel juri profesional.

Antara kriteria penilaian yang diambil kira adalah keunikan produk, kreativiti, inovasi, model perniagaan, penerimaan pasaran, kualiti serta impak kepada industri dan komuniti.

Sementara bagi Pilihan Rakyat pula, ia mempertandingkan lima kategori di mana pemenangnya akan ditentukan oleh rakyat Malaysia secara dalam talian menerusi laman web sosial Facebook.

Anugerah ICT NEF-AWANI 2010 tidak menawarkan hadiah lumayan kepada para pemenang sebaliknya mengetengahkan konsep memberi peluang kepada mereka menonjolkan produk dan perkhidmatan yang mereka hasilkan menerusi saluran media.

Platform media tersebut termasuk siaran televisyen (Astro Awani), rangkaian radio (AMP), akhbar (Utusan Malaysia) dan juga majalah keluaran NEF (The Network).

Menerusi cara itu, ia secara tidak langsung akan dapat memberi impak promosi sangat besar kepada para usahawan terutama daripada segi imej, aktiviti pembiayaan, akses pasaran, kreativiti dan pembangunan.

Penggiat industri atau orang ramai yang berminat untuk hadir menyaksikan anugerah ini boleh mendaftarkan nama mereka menerusi laman web www.nef.org.my.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen