Selasa, 22 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Pegawai SPRM sebak, menangis

Posted:

Pegawai SPRM sebak, menangis

Pegawai SPRM sebak, menangis

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my


MOHD. Anuar Ismail ketika hadir memberi keterangan perbicaraan kes Teoh Beng Hock di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ZULKARNAIN SAIDIN


KUALA LUMPUR 22 Mac - Seorang pegawai penyiasat (IO) dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor tidak dapat menahan sebak semasa menceritakan kebimbangan beliau terhadap keselamatan keluarganya selepas saksinya, Teoh Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009.

Mohd. Anuar Ismail yang sedang memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock tidak dapat bersuara untuk seketika serta dilihat mengelap air mata berkali-kali sebelum prosiding ditangguhkan selama 15 minit bagi memberi ruang kepadanya untuk bertenang.

Sebelum itu, Mohd. Anuar memberitahu beliau meluahkan kebimbangan kepada Ketua Unit Siasatan SPRM Selangor, Hairul Ilham Hamzah tentang persepsi masyarakat terhadap beliau sebagai IO apabila Beng Hock ditemui mati sewaktu mereka dalam perjalanan ke SPRM Putrajaya pada hari yang sama.

Katanya, walaupun beliau tidak melakukan sebarang perbuatan yang salah sehingga membawa kepada kematian itu, masyarakat akan tetap menuding jari kepadanya sebagai orang yang bertanggungjawab.

Dalam perjalanan itu, beliau turut meminta Hairul Ilham singgah di rumahnya untuk berjumpa isterinya bagi meluahkan perasaan serta memberitahu apa yang berlaku selain berpesan agar berhati-hati dengan menjaga keselamatan diri dan anak-anak.

"Saya bimbang berikutan kematian Beng Hock sebab dia saksi kami. Saya jangkakan kemarahan keluarga, rakan sekerja dan masyarakat akan ditujukan kepada SPRM lebih-lebih lagi gambar saya bersama Beng Hock disiarkan dalam media pada hari yang sama.

"Saya tidak memberitahu isteri melalui telefon sebab ia perkara serius dan takut tidak sampai maksud. Saya maklumkan pada isteri bahawa saya rasakan kemarahan orang pada saya sebab saya IO, jadi jagalah keselamatan awak dan anak-anak," jelas beliau.

Semasa Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen bertanya dengan nada yang agak sinis sama dia telah ditenteramkan oleh isterinya, Mohd. Anuar tiba-tiba terdiam dan dilihat menangis.

Menjawab soalan ahli suruhanjaya yang juga pakar psikiatri forensik, Profesor Mohamed Hatta Shaharom, pegawai SPRM itu menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menahan sebak kerana kes itu bukan sahaja melibatkan kematian saksi di premis SPRM, malah memberi kesan yang amat buruk kepada beliau serta organisasi tersebut.

Beliau turut memberitahu terpaksa menyuruh isterinya pergi ke satu tempat selepas beberapa kereta yang tidak dikenali dilihat berkeliaran di luar rumah.

"Saya juga bersimpati dengan keluarga Beng Hock. Tapi apa yang berlaku di luar pengetahuan dan kawalan kami. Tidak rasa bersalah, tetapi terkilan sebab kejadian berlaku di premis SPRM dan saya sebagai IO terpaksa menanggung akibatnya.

"Jika peristiwa malam itu boleh diulang semula, kalau Beng Hock mahu rehat, kita akan sama-sama jaga dia. Kalau dia mahu balik, kita akan hantar dia sampai keluar, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja," katanya.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam dekat sini.

Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini bersambung esok.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Syarikat kecantikan diarah bayar semula RM8,362

Posted:

Syarikat kecantikan diarah bayar semula RM8,362

Syarikat kecantikan diarah bayar semula RM8,362


Mohamad Azmar Bidin menunjukan set produk kecantikan yang didakwanya tidak memberi kesan seperti dijanjikan. TTPM di Alor Setar semalam telah mengarahkan syarikat itu memulangkan semula wang beliau.


TIDAK berbaloi! Wang beribu ringgit dihabiskan untuk mencantikkan wajah namun apa yang berlaku, kulit muka seorang pelanggan bertambah teruk dan gatal-gatal.

Bukan itu sahaja, syarikat kecantikan terkenal yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di sini turut didakwa mengenakan caj rawatan berlebihan sehingga RM2,500 tanpa pengetahuan seorang pelanggan lain.

Berikutan itu, syarikat New York Skin Sdn. Bhd. di Alor Setar semalam diarahkan oleh Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Reihana Abd. Razak memulangkan semula wang dua pelanggannya masing-masing berjumlah RM6,362 dan RM2,000 dalam tempoh 14 hari.

Dalam kes pertama, syarikat itu diarah membayar RM6,362 kepada penjawat awam, Mohamad Azmar Bidin, 37, yang mengemukakan tuntutan selepas tidak puas hati terhadap rawatan mencantikkan kulit yang dijanjikan oleh syarikat tersebut.

"Syarikat ini memberi jaminan bahawa masalah kulit muka saya beransur pulih setelah menjalani empat rawatan daripada 15 sesi rawatan yang ditawarkan.

"Namun selepas menjalani lima rawatan, tiada sebarang perubahan sebaliknya muka menjadi lebih teruk dan gatal-gatal, atas nasihat doktor saya berhenti," katanya ketika ditemui di pekarangan TTPM.

Tambahnya, apa yang menyakitkan hatinya adalah pakar kecantikan di situ memberi pelbagai alasan tentang masalah itu termasuk memujuknya membeli satu lagi produk iaitu minuman kolagen.

"Saya sudah membayar RM6,362 untuk rawatan dengan jaminan ia berkesan tetapi dipaksa membeli produk lain pula agar rawatan berkesan. Memang saya rasa tertipu," katanya.

Berbeza pula dengan kes yang dituntut oleh jurujual, Lee Siew Hong, 52, yang mendakwa syarikat terbabit mengenakan caj rawatan berlebihan iaitu RM4,500 berbanding harga yang dipersetujui RM2,000.

"Saya cuma bersetuju mengambil pakej rawatan yang berjumlah RM2,000 dan membayar jumlah tersebut tanpa mengetahui syarikat ini telah menggenakan caj tambahan RM2,500 melalui kad kredit saya," katanya.

Dia yang tidak berpuas hati terus membuat laporan polis dan berjaya mendapat semula wangnya berjumlah RM2,500.

"Tetapi untuk bakinya, RM2,000 mereka asyik tertangguh dan memaksa saya menjalani rawatan. Awal-awal lagi mereka sudah ingin memperdayakan saya dengan cara begini, kenapa saya harus terus menjerat diri saya lagi," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen