Isnin, 14 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Impian DAP di Sarawak

Posted:

Impian DAP di Sarawak

Impian DAP di Sarawak

Oleh A. Aziz Deraman

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka dilakukan pada bila-bila masa. Pilihan Raya Negeri (PRN) disebut-sebut sebelum Julai akan datang. Kini parti-parti pembangkang dari Semenanjung sedang menggunakan apa juga cara mempengaruhi rakyat Sarawak.

Mereka cenderung ke arah memesongkan pandangan rakyat terhadap kerajaan negeri. Mereka mahu rakyat menyokong pendirian politik ekstrem. Di sana sini semasa penulis berada di beberapa bandar pada penghujung Februari dan awal Mac baru-baru ini, kata-kata 'change' atau perubahan menjadi sebutan lumrah. Malahan perkataan "Tok Uban' disebut tanpa segan silu dan kepada siapa ia dimaksudkan.

Kelemahan masyarakat umum digunakan pembangkang habis-habisan. Kedatangan tokoh-tokoh pembangkang melalui kempen berunsur hasutan kian ketara. Pembohongan fakta dibuat, kerana rakyat tidak tahu semua. Mereka masih menabur janji kosong. Itu sudah menjadi umpan besar pancingan yang hebat.

Kehangatan politik Sarawak sedang dirasakan. Cita-cita Parti Tindakan Rakyat (DAP) hanya satu. DAP mahu memerintah Sarawak melalui pakatan pembangkang dengan kuasa dominan di tangan mereka. Lalu digembar-gemburkan segala macam tohmahan, fitnah dan serba tidak kena terhadap kemajuan Sarawak.

Semua pihak, kerajaan dan rakyat Sarawak mesti diperingatkan. Berhati-hatilah dengan dakwaan dan fitnah DAP, apabila Barisan Nasional (BN) dikatakan zalim. BN tersohor dengan dasar diskriminasi. DAP mendakwa berjuang untuk setiap golongan rakyat semua kaum dan kumpulan etnik.

Kerajaan Persekutuan dikatakan tidak pernah berlaku adil untuk Sarawak dan Sabah. Kata mereka orang Sarawak hanya mendapat sekeping kecil daripada kek pembangunan negara.

DAP mengabui mata rakyat. Mereka tidak pernah bersyukur bahawa Sarawak sudah jauh lebih maju. Mereka lupa akan kehidupan kota yang senang lenang dinikmati orang Cina. Kemakmuran, kestabilan dan taraf hidup rakyat sudah jauh meningkat.

Sayangnya, orang ramai semakin terpukau, ada penerimaan melulu terhadap isu-isu melalui pidato yang berapi-api dan janji-janji yang memukau.

Suara politik sumbang pihak pembangkang terus menerus diledakkan. Mereka menafikan apa sahaja kebaikan dan kejayaan kerajaan BN selama memimpin negara. Macam-macam isu dibangkitkan.

Mereka mulai menghasut tentang isu tanah adat anak negeri (NCR), kebajikan rakyat Sarawak di Semenanjung yang kononnya diabaikan, isu agama, pendidikan dan isu-isu lain berkaitan dengan status istimewa Melayu dan bumiputera. Bara api perkauman sedang ditiupkan, suatu hal yang tidak terlalu lazim.

DAP pandai menggunakan kesempatan, ruang dan peluang. Lalu timbul dakwaan bahawa hanya DAP sahaja yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat Sarawak.

Fokus DAP adalah terhadap orang-orang Cina dan usaha menawan bandar-bandar seperti Kuching, Sibu, Miri, Bintulu dan di mana penempatan kawasan ramai pengundi Cina. Kawasan luar bandar mungkin sukar buat mereka. Sokongan orang Cina di bandar kian meningkat.

Mahu tidak mahu anggota BN Sarawak mesti bertindak pantas, menjawab segala tuduhan dan gerakkan perpaduan kaum bumiputera. BN Sarawak hendaklah lebih bersatu.

BN kena mencari pendekatan baru. Rakyat mesti disedarkan bahawa segala dakwaan DAP itu tidak lebih daripada suara kekecewaan kerana kerakusan kuasa dan bertujuan merosakkan kedamaian negara.

Isu-isu yang dibangkitkan itu sudah menjadi program kerajaan secara berterusan. Lihat sahaja pembangunan infrastruktur, keutamaan kepada pendidikan, kemajuan ekonomi dan kebajikan sosial.

Ada sogokan idea supaya timbul anggapan bahawa bumiputera Sarawak hanya 'kelas kedua' berbanding dengan Melayu di Semenanjung. Mereka gagal melihat kerjasama pentadbiran antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan. Pembangunan hebat di Sarawak diperlekehkan begitu sahaja.

Kemenangan tipis DAP sebanyak 398 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu, Mei tahun lalu, sudah cukup buat DAP menggunakannya sebagai formula, strategi dan taktik pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ada tanda-tanda sokongan kaum Cina kepada BN mulai merosot disebabkan nyalaan api perkauman. BN masih disokong kuat oleh orang Melayu, Melanau, dan bangsa Dayak seperti Iban dan Bidayuh. Itu pun di kawasan luar bandar. BN dijangka menguasai kerusi-kerusi DUN nanti dengan sokongan padu daripada bumiputera.

Apakah iktibar politik dari Sibu? Kenapakah formula Sibu akan menjadi formula DAP untuk menawan bandar-bandar di Sarawak kali ini? Mana-mana kelemahan BN negeri dan parti-parti komponennya mesti diperkukuhkan semula dan serta-merta.

Kemarahan terhadap BN mungkin disebabkan kesilapan seorang dua pemimpin sebelum ini. Misalnya kekalahan PRK Sibu dikaitkan dengan penduduk-penduduk tempatan yang tidak berpuas hati dengan pemimpin mereka.

Akibat besar sebenarnya datang daripada pemimpin tempatan BN sendiri, apabila SUPP yang sudah 28 tahun mewakili penduduk kawasan Sibu tetapi pembangunan hanya ditumpukan di pusat bandar Sibu sahaja, tidak menyeluruh ke kawasan luar bandar.

Bagaimanakah cara DAP memesongkan pemikiran dan persepsi masyarakat umum? Mereka menghasut rakyat, khususnya kaum Cina agar tidak mengundi BN.

Apakah isu-isu yang sering DAP bangkitkan? Antaranya mereka mempersoalkan hak-hak dan keistimewaan Melayu dan bumiputera; mendesak tambahan biasiswa kerajaan kepada kaum Cina; melebihkan kuota pelajar Cina memasuki universiti tempatan (IPTA); bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dibuat berterusan selama-lamanya; tambahkan Menteri Cina dalam Kabinet sekarang; iktiraf sijil UEC Cina; hapuskan mana-mana kementerian yang membantu Melayu dan bumiputera.

Mereka mengungkit-ngungkit isu tanah adat atau NCR di Sarawak. Generasi muda dan pemimpin pelapis Cina dalam DAP sudah mempunyai pemikiran ultra radikal.

Perjuangan DAP semakin jelas bagi menjayakan konsep Malaysian-Malaysia tajaan mereka berkonsepkan kesamarataan, bukannya 1Malaysia yang berteraskan Perlembagaan, penerimaan dan keadilan sosial.

Mereka bercita-cita untuk merobekkan Perlembagaan Persekutuan dan mengubah struktur negara kepada sistem baru pemerintahan, sekiranya pembangkang berkuasa penuh pada PRU Ke-13 kelak. Mereka mahu memulakannya dengan kemenangan di Sarawak.

Ada impian DAP bahawa menjelang tahun 2020, kuasa politik dominan Malaysia menjadi milik orang Cina bukan bumiputera.

Penulis sangat tidak faham kenapa parti-parti politik yang berlandaskan orang Melayu atau Islam kekal menyokong DAP.

Bagi Sarawak, BN mesti lebih diperkukuh dan lakukan kesedaran perpaduan di kalangan bumiputera tanpa mengira suku bangsa.

Datuk A Aziz Deraman ialah bekas pegawai tinggi PTD, pemerhati politik dan pernah memegang jawatan-jawatan penting di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jenayah di P. Pinang turun 25%

Posted:

Jenayah di P. Pinang turun 25%

Jenayah di P. Pinang turun 25%

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

Penurunan indeks jenayah bukan sekadar memenuhi petunjuk statistik semata-mata namun ia lebih kepada mengurangkan perasaan takut di kalangan masyarakat.

Malah ia juga mampu membuatkan masyarakat rasa selamat terutama dengan kehadiran anggota polis di kalangan masyarakat sendiri.

Itulah yang telah diterapkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob bagi memastikan kadar jenayah di Pulau Mutiara menurun selain membuktikan bahawa negeri yang dipilih sebagai hotspot jenayah itu sebenarnya memang selamat.

Pelbagai strategi dan langkah diambil bagi memastikan penurunan kadar jenayah di Pulau Pinang mampu mencapai 27.1 peratus pada tahun lalu menjangkau sasaran kerajaan di peringkat nasional iaitu 5 peratus.

Lebih membanggakan sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan di peringkat nasional bagi kes jenayah jalanan iaitu 20 peratus berjaya di atasi kontinjen Pulau Pinang apabila mencatat 24.8 peratus penurunan tahun lalu.

Menurut Ayub, semua itu tidak akan dicapai sekiranya tiada kerjasama yang erat antara pihak polis dan masyarakat sendiri melalui pelbagai program seperti kepolisan komuniti, skim rondaan sukarela (SRS), pasukan simpanan sukarelawan polis (PVR) selain program dialog dan sesi bertemu masyarakat.

Jelas beliau, antara sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan Kementerian Dalam negeri (KDN) adalah bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini jadi pihak polis harus kreatif mencipta strategi mencapai sasaran itu.

"Hakim polis adalah rakyat. Beberapa tahun lalu statistik jenayah di negeri membuatkan rakyat rasa tak selamat dengan peningkatan kadar jenayah jalanan seperti ragut, samun, peras ugut dan sebagainya.

"Tapi kita cuba perbaiki sistem dan cara bergerak di kontinjen Pulau Pinang dan hasilnya hanya 1,953 kes jenayah jalanan berlaku pada 2010 berbanding tahun 2009 iaitu sebanyak 2,596 kes dan menunjukkan penurunan sebanyak 644 kes," katanya pada sidang media khas sempena Sambutan Hari Polis Ke-204 pada 25 Mac ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Georgetown baru-baru ini.

Tambah Ayub, secara keseluruhan indeks jenayah bagi Januari hingga Disember 2010 juga menurun sebanyak 4,509 kes iaitu daripada 16, 653 kes pada tempoh sama tahun 2009 kepada 12,144 kes tahun lalu.

Jelasnya, pucuk pimpinan polis Pulau Pinang sentiasa aktif dalam program kepolisan komuniti serta sesi bertemu masyarakat sama ada di program ceramah atau dialog malah di masjid-masjid melalui khutbah Jumaat serta di rumah-rumah ibadat lain.

Selain pimpinan di IPK, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai juga memiliki program kepolisan komuniti mereka sendiri dan inilah satu pendekatan berhemah yang dilakukan polis Pulau Pinang untuk menyelami masalah rakyat.

"Kalau dulu polis yang anjurkan program dan menjemput orang ramai untuk menyertai program kami namun kini program yang dianjurkan masyarakat serta badan bukan kerajaan (NGO) menjemput polis untuk bersama mereka.

"Ini dibuktikan pada program sambutan Tahun Baru Cina anjuran sebuah NGO di Sungai Ara, Februari lalu apabila lebih 12,000 penduduk hadir bersama pihak polis memeriahkan sambutan itu," ujarnya.

Kini hubungan antara masyarakat dan polis juga semakin erat apabila lebih 1,000 SRS wujud di negeri ini di taman-taman perumahan serta di kampung-kampung selain 1,017 anggota PVR yang terdiri daripada anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Interaksi antara polis dan masyarakat juga ditingkatkan dengan penggunaan teknologi serta sistem komunikasi terkini seperti facebook, khidmat pesanan ringkas serta slot di radio Mutiara FM.

Menyedari peranan media dalam membantu pihak polis juga, semua Ibu Pejabat Polis Daerah kini dilengkapi dengan pusat media yang dilengkapi komputer dan wi-fi bagi memudahkan pihak media mendapatkan maklumat serta menyebarkan kepada orang ramai.

Jelas Ayub lagi, kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan juga sentiasa dipertingkatkan dalam operasi mencegah jenayah termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di Pulau Pinang dan Seberang Perai.

"48 CCTV baru akan dipasang yang akan siap penghujung Mac ini iaitu 24 di bahagian pulau dan 24 lagi di Seberang Perai sebagai tambahan kepada 31 CCTV sedia ada.

"Kita juga akan menambah kiosk kecemasan di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan pelancong sebagai tambahan kepada dua kiosk yang telah dipasang di Upper Penang Road dan Gurney Drive sekarang," katanya.

Selain itu, sistem paparan maklumat elektronik juga dipasang bagi menghebahkan statistik jenayah serta maklumat penting berkaitan cegah jenayah kepada orang ramai.

Dalam membangunkan kawasan perumahan baru di negeri ini, sistem penandaan kawasan panas atau hotspot pada pemetaan kawasan juga dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Balai Polis Pintar juga telah dibangunkan di Pulau Pinang antaranya di Balai Polis Bayan Baru dan Pulau Tikus yang memiliki sistem kawalan yang canggih dan terkini yang memiliki pelbagai kemudahan untuk keselesaan masayarakat atau dikategorikan balai polis e-sektor.

Pada masa sama Ayub berkata, makmal forensik di IPK juga dipertingkatkan dengan kemahiran forensik canggih dan moden selari dengan konsep penyiasatan saintifik yang mampu menyelesaikan kes dengan cepat dan berkesan.

Namun begitu kontinjen Pulau Pinang tidak melupakan pembangunan modal insan dengan menyediakan kelas bahasa Inggeris dan Hokkien kepada anggota bagi meningkatkan kemahiran mereka berkomunikasi dengan pelancong serta penduduk negeri ini yang kebanyakannya berbahasa Hokkien.

Dari segi prasarana juga, beberapa balai polis lama akan dinaik taraf dari masa ke semasa agar menjadi motivasi kepada anggota sendiri untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat serta menaikkan imej polis di mata masyarakat.

"Kita akui Pulau Pinang adalah tapak mulanya institusi kepolisan moden di negara ini pada tahun 1807 namun beberapa kelengkapan serta kemudahan yang ada agak ketinggalan zaman.

"Oleh sebab itu, kita secara proaktif mengatasi masalah ini termasuk membina balai polis baru seperti di Batu Feringghi, Tasek Gelugor, Teluk Air Tawar dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan yang kini berwajah baru," ujar Ayub lagi.

Semua kejayaan yang dicapai polis Pulau Pinang kata Ayub tidak mampu dicapai tanpa semangat kebersamaan antara polis dan masyarakat dan pastinya masyarakat selamanya adalah hakim kepada polis.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen