Isnin, 14 Mac 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Atasi masalah Jambatan Sg. Gayong

Posted:

Atasi masalah Jambatan Sg. Gayong

Atasi masalah Jambatan Sg. Gayong

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my


Boh Suan Tan See menunjukkan jalan di Kampung Kedaik Asal dan Rantau Panjang yang terputus hubungan selepas jalan utama berdekatan jambatan Sungai Gayong dinaiki air.


ROMPIN 14 Mac – Orang Asli di Kampung Kedaik Asal dan Rantau Panjang dekat sini sering menghadapi masalah apabila jambatan yang menghubungkan jalan utama dengan kampung mereka ditenggelami air pada musim tengkujuh.

Walaupun banjir di sekitar kawasan daerah ini sudah surut namun jambatan yang ditenggelami air itu hanya boleh digunakan apabila air surut dalam tempoh sebulan.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan jalan ladang kelapa sawit untuk keluar dari kampung tersebut walaupun jalan terbabit bahaya dan tidak boleh dilalui kenderaan berat.

Lebih menyedihkan apabila jalan utama itu tidak boleh dilalui semua kenderaan menyebabkan hasil pertanian seperti kelapa sawit dan getah tidak dapat dikeluarkan malah menyebabkan pendapatan kira-kira 160 keluarga Orang Asli di situ terjejas.

Penduduk Kampung Kedaik Asal, Amran Boji berkata, penduduk kecewa kerana jambatan sedia ada terlalu rendah dan tidak mampu menampung air dari Sungai Gayong hingga mengakibatkan ia ditenggelami air hampir setiap tahun.

Menurutnya, jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu sering kali ditenggelami air terutama pada musim tengkujuh dan mengambil masa yang lama untuk surut.

"Kerajaan perlu mengkaji semula pembinaan jambatan itu kerana setiap kali musim tengkujuh ia mudah dinaiki air dari Sungai Gayong," katanya ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Menurut Amran, keadaan itu perlu diatasi segera kerana penduduk sukar keluar ke jalan utama dan mereka terpaksa menggunakan jalan alternatif dengan jarak yang jauh.

"Penduduk yang ingin keluar terpaksa menggunakan jalan ladang kelapa sawit di sini dan dihadkan sehingga pukul 11 malam saja untuk keluar masuk ke kawasan kampung ini," katanya.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Leha Muda berkata, ketiadaan jalan utama di situ menyebabkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun meninggal dunia akibat gagal dihantar ke hospital.

Menurutnya, kes itu membuktikan bahawa jalan itu amat penting kepada penduduk di situ, lebih-lebih lagi jika berlaku kecemasan kepada penduduk yang memerlukan rawatan segera.

"Sebelum ini terdapat kes kematian akibat mangsa lewat menerima rawatan di hospital hingga dia disahkan meninggal dunia selepas itu.

"Wanita mengandung juga bimbang kerana jalan di situ tidak boleh dilalui, tambahan pula jalan alternatif di sini mempunyai jarak lebih jauh dan keadaan permukaan jalan yang licin," katanya.

Tok Batin Kedaik Asal, Boh Suan Tan See berkata, kebanyakan daripada murid dan pelajar di kampung itu juga sukar untuk ke sekolah akibat daripada masalah tersebut.

"Apabila keadaan itu berlaku akan menyebabkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah sukar ke sekolah walaupun kebanyakan mereka tinggal di asrama.

"Kami minta kerajaan menyediakan kemudahan atau infrastruktur kepada penduduk di sini kerana kemudahan seperti itu amat berguna kepada penduduk setempat," katanya.

Menurut beliau, masalah itu sudah beberapa kali diajukan kepada pihak bertanggungjawab, namun tiada penyelesaian yang dapat dilakukan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

JKR, PTD perlu pandang serius

Posted:

JKR, PTD perlu pandang serius

JKR, PTD perlu pandang serius


orang Asli Kampung Kedaik Asal dan Rantau Panjang terpaksa menggunakan jalan ladang kelapa sawit sebagai laluan alternatif selepas Jambatan Sungai Gayong dinaiki air.


ROMPIN 14 Mac – Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Rompin digesa memandang serius masalah Jambatan Sungai Gayong di Kampung Kedaik Asal di sini yang sering dinaiki air setiap kali musim tengkujuh.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaludin Mohd. Jarjis berkata, masalah itu perlu diatasi segera memandangkan jambatan tersebut rendah dan sering dinaiki air terutama ketika musim banjir.

"Kedua-dua agensi itu perlu membincangkan apakah langkah terbaik mengatasi masalah tersebut termasuk menambak pasir atau meninggikan jambatan terbabit supaya tidak mendatangkan masalah kepada penduduk setempat," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini. Jamaluddin yang juga Duta Malaysia ke Amerika Syarikat berkata, hasil lawatan beliau ke kampung berkenaan mendapati jambatan itu masih ditenggelami air dan perlu diatasi segera kerana ia menjadi laluan keluar dan masuk utama ke kampung tersebut.

Tambahnya, masalah itu juga secara tidak langsung melumpuhkan ekonomi penduduk kerana hasil pertanian tidak dapat diangkut ke luar.

"Kebanyakan penduduk Orang Asli di sini menjalankan aktiviti pertanian kelapa sawit dan kebun getah.

"Jadi bagaimana hasil pertanian itu boleh dibawa keluar sekiranya jalan utama tidak boleh dilalui kenderaan berat," katanya.

Beliau berkata, pihak berwajib perlu mengatasinya segera kerana difahamkan setiap kali musim tengkujuh jalan di situ termasuk di sekitar kawasan jambatan sering dinaiki air.

"Kita berharap pihak berwajib menyelesaikan masalah itu dengan segera kerana kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku berulang kali hingga menyusahkan penduduk di kawasan terbabit," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiga asnaf terima rumah baru

Posted:

Tiga asnaf terima rumah baru

Tiga asnaf terima rumah baru

Oleh Haris Fadilah Ahmad
utusanpahang@utusan.com.my


WAN Abdul Wahid Wan Hassan (tiga, kanan) disaksikan Ahmad Shukri Ismail (tiga, kiri) menyerahkan replika cek berbentuk kunci projek BRB kepada seorang penduduk di Kampung Bukit Rang, Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 14 Mac – Tiga penduduk golongan asnaf penerima zakat Kampung Bukit Rang, kawasan Pulau Tawar, dekat sini bersyukur apabila menerima sumbangan bernilai RM30,000 daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) menerusi projek Bina Rumah Baru (BRB) tahun ini.

Bantuan tersebut membolehkan mereka yang terdiri daripada warga miskin dan ibu tunggal itu dapat membina rumah yang lebih selesa.

Seorang penerima sumbangan tersebut, Shamsiah Sulaiman, 54, berkata, dia terharu apabila kesusahan hidupnya mendapat perhatian MUIP dan pemimpin setempat sehingga terpilih menerima bantuan untuk membina rumah baru.

Shamsiah yang tinggal di Bukit Rang menambah, bantuan itu membolehkannya membina rumah baru memandangkan rumah sedia ada sudah rosak dan uzur.

"Keprihatinan MUIP dan pemimpin setempat antara tanggungjawab sosial menjaga kebajikan penduduk dalam membantu insan yang miskin dan lemah," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, di Masjid Kampung Bukit Rang, dekat sini sempena sambutan Maulidur Rasul kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail dan Ketua Kampung Bukit Rang, Abdullah Ishak.

Bagi rakannya, Zaleha Ahmad, 56, bantuan itu merungkaikan kemelut kemiskinannya yang kini dibebani kesukaran mengumpulkan sejumlah wang untuk membina tempat tinggal baru.

"Sebelum ini, saya tidak berduit membina rumah baru apatah lagi membeli sekeping papan menampal dinding yang rosak kerana keperluan makanan perlu diutamakan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Wahid berkata, bantuan projek BRB untuk golongan tersebut diperuntukkan kepada penduduk miskin berasaskan kriteria ditetapkan dengan bantuan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemimpin setempat.

Jelasnya, sejak tahun lalu, MUIP memperuntukkan RM30,000 hingga RM38,000 masing-masing kepada 150 orang penerima golongan asnaf yang terpilih menerusi projek berkenaan.

Bagi Ahmad Shukri, bantuan tersebut merupakan kewajipan sosial kerajaan negeri dan MUIP meringankan beban golongan asnaf yang lapan menerusi peruntukan projek BRB termasuk membaiki kerosakan tempat tinggal.

Katanya, komitmen MUIP menyasarkan bantuan zakat kepada golongan itu wajar disyukuri sekali gus mempercepatkan usaha kerajaan negeri memenuhi matlamat mencapai kemiskinan sifar dalam tempoh lima tahun ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan