Jumaat, 18 Mac 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Taib jumpa Yang Dipertua Negeri

Posted:

Taib jumpa Yang Dipertua Negeri

Taib jumpa Yang Dipertua Negeri

Oleh SOPI SAMAILE
sopi.samaile@utusan.com.my


ABDUL Taib Mahmud bersama timbalannya, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam keluar daripada mesyuarat kabinet negeri di Kuching, semalam.


KUCHING 17 Mac - Adakah Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah memaklumkan hasrat pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng?

Perkara itu menimbulkan tanda-tanya apabila Abdul Taib mengadakan pertemuan bersama Abang Muhammad Salahuddin di Astana Negeri bermula pukul 9.40 pagi ini.

Pertemuan berkenaan berjaya 'dihidu' oleh Utusan Malaysia dan Bernama yang kemudiannya tersebar di kalangan petugas media sehingga menarik puluhan wartawan berkumpul di pintu pagar masuk Astana Negeri.

Kira-kira sejam selepas itu, Abdul Taib yang menaiki kenderaan rasmi Ketua Menteri meninggalkan Astana Negeri menuju ke Wisma Bapa Malaysia untuk menghadiri mesyuarat Kabinet negeri.

Kegagalan mendapatkan reaksi beliau di situ menyebabkan wartawan bergegas ke Wisma Bapa Malaysia dan 'berkampung' di lobinya dengan jangkaan Abdul Taib akan mengadakan sidang media mengumumkan pembubaran DUN Sarawak.

Lebih menimbulkan tanda-tanya ialah apabila beliau meninggalkan Wisma Bapa Malaysia lebih awal dan enggan membuat sebarang ulasan mengenai pertemuannya dengan Abang Muhammad Salahuddin sewaktu diserbu wartawan.

"Mesyuarat masih berlangsung," katanya ringkas.

Sementara itu, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan yang ditemui sejurus mesyuarat berakhir menjelaskan pertemuan antara Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri adalah amalan biasa sebelum Mesyuarat Kabinet.

"Ia sememangnya amalan yang dilakukan setiap minggu, satu perkara yang normal mengikut jadual yang sedia ada.

"Sama ada ini adalah Mesyuarat Kabinet yang terakhir atau sebaliknya, saya tidak tahu," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, Abdul Taib meninggalkan Mesyuarat Kabinet lebih awal kerana perlu menghadiri pertemuan dengan Persatuan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Sarawak (Sabati) di kediaman rasminya.

Sumber Astana Negeri turut mengesahkan pertemuan berkenaan merupakan perjumpaan bulanan yang biasa.

Spekulasi mengenai tarikh pembubaran DUN Sarawak semakin hangat diperkatakan berikutan kehadiran beberapa menteri Pusat ke negeri ini bermula kelmarin.

Kemuncak kehadiran pimpinan Kerajaan Persekutuan ialah pada Sabtu ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan menghadiri program Sejiwa Senada Bahagian Kota Samarahan di pekan Serian sebelum mengadakan kunjungan ke beberapa lokasi secara berasingan pada hari yang sama.

Ramai pemerhati politik membuat telahan bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan pada hujung bulan ini termasuklah penganalisis politik terkenal di negeri ini, Dr. Jeniri Amir.

Pada penggal terdahulu, pembubaran DUN Sarawak diumumkan Abdul Taib pada 24 April 2006 melalui sidang akhbar khas di Bilik VIP, Hangar Hornbill Skyway, di sini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Takziah kepada seluruh rakyat Jepun

Posted:

Takziah kepada seluruh rakyat Jepun

Takziah kepada seluruh rakyat Jepun

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai upacara bertafakur tanda penghormatan kepada mangsa tsunami di Jepun sebelum usul gempa dan tsunami di Jepun dibentangkan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Kedua Belas 2011 di Bangunan Parlimen, semalam.


KUALA LUMPUR 17 Mac – Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan usul bagi merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sangat mendalam kepada kerajaan dan rakyat Jepun yang dilanda bencana gempa bumi dan tsunami pada Jumaat lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengemukakan usul itu selepas sesi soal jawab berkata, Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jepun atas segala bantuan yang diberikan kepada rakyat Malaysia terutama penuntut-penuntut yang terjejas oleh malapetaka itu.

Najib berkata, adalah wajar bagi Malaysia menawar dan menghulurkan apa jua bentuk bantuan yang termampu memandangkan Jepun mempunyai hubungan yang akrab dengan Malaysia.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan dan bantuan dari segi material, emosi dan moral kepada mangsa-mangsa bencana dan malapetaka itu.

"Saya juga merayu masyarakat antarabangsa untuk terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Jepun. Perkara yang berlaku ke atas negara Jepun dan rakyatnya adalah sesuatu yang amat menyedihkan seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.

"Dengan itu, Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mempunyai hubungan akrab dengan Jepun turut merasakan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersyukur kerana kesemua rakyat dan penuntut Malaysia yang berada di Jepun dapat dihubungi dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat di pusat-pusat pemindahan yang disediakan Kerajaan Jepun.

"Ini membuktikan pihak berkuasa Jepun mengambil berat dan prihatin terhadap keselamatan bukan sahaja rakyatnya, malah warga asing termasuk Malaysia," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia wajar bersama-sama mendoakan agar Jepun dilindungi daripada bencana gempa bumi dan tsunami serta dapat membangunkan semula kawasan yang musnah dalam malapetaka itu.

Seramai sembilan Ahli Parlimen menyertai perbahasan usul tersebut sebelum Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menggulung perbahasan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengurusan kewangan kita tambah meyakinkan - PM

Posted:

Pengurusan kewangan kita tambah meyakinkan - PM

Pengurusan kewangan kita tambah meyakinkan - PM

KUALA LUMPUR 17 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keyakinan pasaran dunia terhadap pengurusan kewangan dan makro negara semakin nyata serta tidak dapat dinafikan terutama sekali dengan pengukuhan nilai mata wang ringgit.

Perdana Menteri berkata, pengukuhan nilai ringgit serta pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan juga telah meningkatkan keyakinan pelabur asing dan menarik aliran modal masuk ke dalam negara.

Mengikut perangkaan Imbangan Pembayaran Negara (BOP) katanya, Malaysia kembali mencatatkan aliran masuk wang bersih pelaburan langsung asing (FDI) yang besar iaitu RM27.6 bilion pada tahun lalu berbanding hanya RM5 bilion pada tahun sebelumnya.

"Aliran masuk bersih pelaburan portfolio pula telah meningkat kepada RM44.9 bilion pada tahun lalu berbanding aliran keluar bersih sebanyak RM1.7 bilion pada 2009. Ini membuktikan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia dari segi pegangan sekuriti ekuiti dan hutang," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang mahu kerajaan nyatakan peluang yang bakal diambil dalam mengeksploitasi kekukuhan nilai mata wang ringgit berbanding mata wang utama dunia bagi menyokong aliran masuk modal yang lebih besar serta pengukuhan asas makro ekonomi negara.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, pengukuhan nilai ringgit secara amnya memberi kelebihan dan implikasi positif terhadap dagangan import terutama dalam menangani kenaikan harga barang makanan global.

"Kesan peningkatan harga barang makanan import akan meningkatkan kadar inflasi serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Justeru, pengukuhan nilai ringgit mampu mengurangkan kenaikan harga barang makanan dan seterusnya membantu mengekang kenaikan kadar inflasi negara," katanya.

Peningkatan nilai ringgit juga kata Perdana Menteri, mampu meningkatkan pelaburan langsung melalui peningkatan pelaburan dalam bidang-bidang berimpak tinggi seperti minyak dan gas, minyak sawit dan infrastruktur yang memerlukan jentera dan peralatan import.

Menjawab soalan tambahan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) berhubung laporan Integriti Kewangan Sedunia (GFI) mengenai berlakunya pengaliran wang secara besar-besaran dalam tempoh tujuh ke lapan tahun berjumlah RM889 bilion sehingga menyebabkan nilai ringgit terganggu, Perdana Menteri berkata, laporan GFI itu mengandungi perkara yang benar dan tidak benar.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dijawab secara menyeluruh pada bulan depan.

"Saya sudah minta Bank Negara Malaysia untuk mengumpulkan segala maklumat supaya jawapan kita mengenai laporan GFI itu adalah komprehensif," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan