Selasa, 1 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Saksi diarah periksa sel lokap Anwar

Posted:

Saksi diarah periksa sel lokap Anwar

Saksi diarah periksa sel lokap Anwar

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Mac - Sehelai bulu, botol air minuman, berus gigi dan tuala kecil 'Good Morning' merupakan barang yang dirampas oleh pasukan Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Bukit Aman dari sel lokap tahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ibu negara pada Julai 2008.

Bekas Ketua Bahagian CSI Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Amidon Anan, 60, berkata, beliau menjumpai bulu, berus gigi dan tuala tersebut di atas lantai sel lokap berkenaan.

Sementara botol air minuman 'Cactus' ditemui di atas tembok tandas sel lokap tersebut, kata saksi pendakwa ke-15 itu pada perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Anwar, 64, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Amidon yang kini merupakan pensyarah pelawat di dua buah universiti tempatan berkata, beliau membuat pemeriksaan di sel lokap itu selepas diarahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Datuk Ku Chin Wah kira-kira pukul 11.40 pagi, 17 Julai 2008.

Amidon yang memberi keterangan di mahkamah dalam lebih 900 kes memberitahu, beliau sebelum itu bersama pasukannya diminta oleh pegawai penyiasat, Deputi Supritendan (DSP) Judy Blacious Pereira untuk membuat pemeriksaan di unit 11-5-1 dan 11-5-2 di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada 30 Jun 2008.

Dari unit 11-51-1, menurutnya, beliau hanya menemui dan merampas sehelai bulu manakala satu hamparan permaidani sutera China dan sehelai selimut tebal (blanket duvet) jenama Pasaya dirampas dari unit 11-5-2.

Jelas saksi tersebut, kesemua barang itu yang dirampas dari kedua-dua lokasi bertujuan dijalankan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) kemudiannya diserahkan kepada Judy.

Menurut Amidon lagi, semasa pemeriksaan dan merampas barang-barang tersebut, beliau dan anggota pasukannya memakai baju keselamatan, sarung tangan dan kaki bagi mengelakkan barang- barang itu tercemar.

Pada 23 Februari lalu, ahli kimia yang juga saksi pendakwa keenam, Nor Aidora Saedon memberitahu mahkamah bahawa ujian analisis DNA terhadap tuala, berus gigi dan botol minuman yang diserahkan kepadanya menunjukkan wujudnya profil DNA Lelaki Y.

Enam hari sebelum itu, seorang lagi ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong menyatakan, ujian analisis DNA pada empat calitan putik kapas menunjukkan kehadiran profil DNA Lelaki Y di dalam rektum dan permukaan dubur (perianal) pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Beliau bagaimanapun, sehingga hari terakhir memberi keterangan di mahkamah, tidak mengetahui identiti sebenar penyumbang DNA Lelaki Y itu.

Sementara itu, saksi pendakwa ke-17, DSP Yahya Abd. Rahman berkata, Anwar turut membawa bersamanya sebotol air mineral ketika ditahan di dalam sel lokap D9 di tingkat tujuh IPK tersebut pada 16 Julai 2008.

Menurut pegawai penyelia lokap D9 IPK tersebut, beliau membenarkan Ketua Pembangkang itu membawa botol minuman itu selain dua helai tuala mandi warna cerah ke dalam lokap atas budi bicara sekalipun barang-barang itu sepatutnya tidak diizinkan dibawa masuk.

Bagaimanapun, katanya, pada pukul 12.10 tengah malam, 17 Julai 2008 beliau ada membawa satu bungkusan plastik mengandungi sehelai tuala kecil 'Good Morning', sebatang berus gigi, ubat gigi dan sabun kecil seperti yang biasa dibekalkan kepada tahanan, untuk diserahkan oleh anggota polis bertugas kepada Anwar.

Dalam keterangannya, Yahya yang juga Pegawai Siasatan Kes Bunuh IPK Kuala Lumpur berkata, berdasarkan buku kehadiran lokap, Anwar dibawa masuk oleh Judy dalam keadaan baik dan terkawal pada pukul 11.05 malam, 16 Julai 2008.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Yahya berkata, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ditahan sehingga pukul 8 pagi keesokan harinya dan sepanjang tempoh tersebut, tiada tahanan lain berada di dalam lokap berkenaan.

Menurutnya, di balai polis itu hanya terdapat sebuah lokap dan sebuah sel.

Ujarnya, selepas Anwar dikeluarkan, beliau telah mengarahkan dua anggota polis yang bertugas mengunci sel lokap tersebut dan tidak membenarkan sesiapa masuk ke dalamnya.

Beliau juga memberikan arahan supaya barang-barang kepunyaan Anwar di sel lokap tersebut tidak diusik, disentuh atau dialih dari tempat asalnya.

Walaupun beliau mengaku selepas itu ada memasuki sel lokap tersebut untuk mengambil senaskhah Surah Yasin milik Anwar, beliau tidak menyentuh barang-barang seperti botol air, tuala dan berus gigi.

Selain dua helai tuala, katanya, Anwar ketika itu tidak ada meminta barang-barang lain dibawa keluar.

Menjawab soalan lain, saksi tersebut menyatakan, kawasan lokap IPK berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) tetapi ia telah lama tidak berfungsi.

Turut memberi keterangan pada sesi pagi ialah jurufoto polis, Lans Koperal Hazri Hassan yang mengambil gambar di lokap tersebut dan Inspektor Nur Ayuni Dayana Mohd. Puad yang membantu Amidon semasa mengumpul bahan-bahan bukti di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bersambung esok.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peguam bantah barang kes, mohon bicara dalam perbicaraan

Posted:

Peguam bantah barang kes, mohon bicara dalam perbicaraan

Peguam bantah barang kes, mohon bicara dalam perbicaraan

KUALA LUMPUR 1 Mac - Barisan pembelaan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini secara rasmi mengemukakan bantahan ke atas beberapa barang kes terutamanya yang diperoleh dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008.

Barang-barang tersebut adalah sehelai tuala kecil 'Good Morning', sebatang berus gigi kecil warna putih, satu botol plastik jenama 'Cactus' dan dua helai bulu (termasuk sehelai bulu yang dijumpai oleh ahli kimia, Nor Aidora Saedon pada tuala kecil tersebut).

Pada prosiding hari ini juga, peguam bela utama, Karpal Singh memohon agar bicara dalam perbicaraan (TWT) diadakan selepas mendakwa barang-barang kes itu diperoleh dengan cara yang tidak sah.

Mendengar permohonan tersebut, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden memohon pihak pembelaan menyatakan dengan terperinci 'cara yang salah' yang digunakan oleh pihak dalam mendapatkan barang tersebut.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah kemudian mengarahkan kedua-dua pihak berhujah mengenai perkara tersebut esok.

Pada 23 Februari lalu, peguam bela Sankara Nair membangkitkan bantahan terhadap beberapa barang kes sewaktu saksi pendakwa keenam, Nor Aidora sedang memberi keterangan.

Bagaimanapun, pada waktu bantahan itu dikemukakan pihak pendakwaan mahupun saksi berkenaan masih belum mengemukakan mahupun menyebut mengenai sebarang barang kes.

Setelah tuala, berus gigi, botol minuman dan bulu-bulu tersebut dikemukakan, barang-barang kes tersebut ditandakan sebagai 'ID' ekoran terdapat bantahan.

Pada tarikh yang sama, Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia dalam keterangannya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ujian analisis profil asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap tuala, berus gigi dan botol minuman menunjukkan wujudnya profil DNA Lelaki Y.

Pada 17 Februari lalu, Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian DNA Divisyen Forensik, Jabatan Kimia, Dr. Seah Lay Hong menyatakan, ujian analisis profil DNA pada empat calitan putik kapas menunjukkan kehadiran profil DNA Lelaki Y di dalam rektum dan permukaan dubur (perianal) Mohd. Saiful Bukhari.

Terdahulu, pada sesi pagi pemeriksaan utama, barisan pembelaan tidak menyoal balas tiga orang saksi pertama.

Keadaan tersebut berubah apabila Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan selesai menyoal saksi pendakwa ke 17, Deputi Supritendan (DSP) Yahya Abdul Rahman.

Bagaimanapun, soalan yang dikemukakan tidak mempunyai kaitan langsung dengan bukti mahupun kes tersebut.

Sebaliknya, soalan yang ditanya berkaitan dengan tandas, bantal, tilam, selimut dan katil malah turut mempertikaikan keadaan lokap yang disifatkan menyerupai kandang haiwan.

KARPAL (KS): Lihat gambar tandas. Adakah ia dicuci pada bila-bila masa. Kalau ada orang di tandas itu, kamera litar tertutup (CCTV) akan rakam.

YAHYA (Y): Tak boleh nampak, kamera fokus kepada anggota yang mengawal dan pintu masuk.

KS: Ada tak Anwar dibekalkan selimut, bantal?

Y: Tidak.

KS: Kenapa? Dia manusia bukan? Tahu kan dia ada sakit belakang?

Y: Memang begitu. Barang-barang tersebut tidak disediakan jadi bagaimana saya nak beri. Lagipun saya ada benarkan dia bawa dua tuala besar.

KS: Ada katil? Selimut? Semua lokap macam tu?

Y: Tidak ada. Saya cuma jaga lokap saya, lokap orang lain saya tidak tahu.

Sementara itu, empat anggota polis mengesahkan bahawa antara 11.05 malam, 16 Julai 2008 hingga 8.10 pagi, keesokan harinya, hanya Anwar yang ditahan di dalam lokap Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur.

Saksi-saksi tersebut ialah Lans Koperal Yusmadi Ismail, Konstabel Mohd. Azry Mohd. Toyab, Lans Koperal Mohd. Jasni Jaafar dan Lans Koperal Mohd. Adnan Masri Safril.

Pada prosiding hari ini juga, Mohd. Adnan yang merupakan saksi pendakwa ke 21 benar-benar memberi 'kejutan' kepada semua yang berada di mahkamah.

Ini kerana, lontaran suara anggota polis itu sangat kuat sehingga ada yang terjaga daripada lena atau hilang rasa mengantuk.

Keadaan itu juga menyebabkan hampir semua yang berada dalam mahkamah termasuk pihak pendakwaan dan Nair ketawa.

Suaranya yang kuatnya juga konsisten sepanjang dia memberi keterangan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan