Rabu, 23 Mac 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Akibat tidak ikut nasihat doktor

Posted:

Akibat tidak ikut nasihat doktor

Akibat tidak ikut nasihat doktor

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my



WAJAH enigma Nisa bertukar keriangan apabila disapa Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif.

"Nisa, ada wartawan ingin menemubual awak, awak ok ke?," kata Abdul Razak sambil menyelak langsir katil di wad IPR Rabu lalu.

Tanpa ada bantahan, Nisa bingkas bangun dari katilnya lantas bersuara: "Tiada masalah Datuk, apa salahnya berkongsi cerita tentang penyakit saya, saya sudi."

Rundingan mudah antara doktor dan pesakit itu se memangnya telah membuka ruang untuk penulis menebak kisah Nisa yang menghidap penyakit tibi. . Tanpa berselindung, wanita yang berumur 35 tahun itu memberitahu, dia menyewa sebuah bilik berharga RM20 sebulan di sebuah flat di Chow Kit bersama rakannya.

"Saya ibu tunggal dan ada seorang anak perempuan duduk di rumah ibu," ujarnya yang duduk bersimpuh atas katil wad. Kemudian dia membetulkan ikatan rambutnya dan menegakkan posisi badannya, tanda dia bersedia menjawab pelbagai soalan yang ingin dilontarkan.

Sebelum itu, dia dinasihatkan Abdul Razak untuk memakai topeng udara. Sebagai langkah berjaga-jaga, penulis juga diminta untuk berbuat demikian bagi mencegah sebarang jangkitan.

Bicara semakin serius tatkala dia mula menitipkan cerita bagaimana dia mula menghidap penyakit tibi yang begitu menyesakkan hidupnya.

Langgar pantang

"Sebenarnya, saya pernah kena penyakit ini sekitar tahun 2003, tapi mahu tahu kenapa saya masih lagi di sini (wad), jawabnya ialah saya telah langgar pantang," ujar Nisa yang menyalahkan dirinya sendiri.

Kata anak jati Kuala Lumpur itu, dia tidak mengikut preskripsi yang telah ditetapkan oleh doktor.

Sepatutnya dia harus makan 12 biji pil ubat dalam tempoh enam bulan tanpa gagal.

"Saya degil, tak ikut cakap doktor. Akibatnya, dua bulan lalu, nyawa saya bagai di hujung tanduk apabila saya disahkan diserang simptom tibi sekali lagi.

"Saya mengalami batuk berlarutan, jantung rasa sakit, muntah dan gagal bernafas dengan baik. Akhirnya saya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kemudian di pindahkan ke IPR," katanya yang memberitahu bahawa keluarga sebelah ibunya, mempunyai sejarah penyakit berjangkit itu.

Nisa memberitahu, dia mempunyai sebab yang kuat membuka bicaranya dengan memberitahu lokasi tempat tinggalnya. Penulis sebenarnya dapat meramal bahawa kedudukan geografi kediamannya itulah penyumbang kepada penyakit yang dialaminya.

Chow Kit adalah sebuah kawasan yang cukup terkenal. Namun masyarakat harus akui, persekitaran di situ agak menakutkan.

Chow Kit yang terletak di jantung ibu kota didominasi oleh warga asing. Ia di burukkan lagi dengan lalu-lalang kenderaan yang bertali arus.

Udara tercemar

Sampah sarap yang bertaburan ditambah dengan bau yang menjengkelkan memang tidak payah cakap, pihak berkuasa tempatan pun sudah kering air liur menasihati orang ramai supaya menjaga kebersihan.

Dalam erti kata lain, persekitaran Chow Kit sangat kotor.


PEMBERIAN ubat mengikut kaedah Directly Observed Therapy Short Course (DOTS) disaksikan oleh pengamal perubatan atau orang lain yang dilantik sebagai penyelia. - Gambar hiasan


"Sememangnya apa yang kamu senaraikan tentang tempat itu, memang benar. Saya telah menyedut udara tercemar dengan kuman tibi.

"Tapi ingin saya tekankan sebab utama saya kena tibi semula ialah kerana saya tidak ikut prosedur menghabiskan rawatan enam bulan seperti yang ditetapkan doktor," katanya.

Bagaimanapun, Nisa membongkar rahsia kedegilannya. Peringkat awal menghidap penyakit itu pada tahun 2003, dia benar-benar mahu segera sembuh.

Namun kekangan kewangan yang menghantui ibu tunggal itu telah membantutkannya ke hospital. Wang hasil kerjanya perlu diperuntukkan kepada anak tersayang.

Kali ini, dia bernasib baik, rawatan terbaik yang diberikan secara percuma di IPR akan menjadikan dia seorang yang sihat semula.

Ujar wanita itu, kini dia makin berselera. Berat badan yang dulunya 44 kilogram (kg) kini mencecah 51.7 kg merupakan indikasi bahawa wanita itu makin sihat.

Jiran katil Nisa, Iman, 34, mempunyai simptom yang sama tetapi kepercayaan konvensionalnya telah memakan diri.

"Saya fikirkan saya kena santau sebab saya batuk dan muntah berdarah.

"Menguatkan lagi kepercayaan yang saya terkena santau apabila doktor gagal mengesan penyakit tibi dan hanya memberitahu, saya hanya mengalami demam biasa," ujarnya.

Hilang selera

Wujud kekhuatiran dalam benak wanita yang juga seorang penyambut tetamu di sebuah hotel di ibu kota itu. Segala bentuk ubat-ubatan kampung yang diberi oleh dukun juga tidak memulihkan kesihatannya.

Sebaliknya, Iman memberitahu, ada perkara pelik terjadi. Pada waktu pagi, suhu badannya normal. Bagaimanapun, pada sebelah petang hingga ke malam, seluruh tubuhnya akan panas.

Akhirnya, atas nasihat majikannya, Iman merujuk seorang pakar yang berjaya mengesahkan dia terkena jangkitan tibi.

Sukar untuk ibu kepada seorang anak itu memberi sebab mengapa dia mendapat jangkitan penyakit tibi.

Namun, dia mengesyaki tuntutan pekerjaan yang memerlukan dia bercakap dan bergaul dengan pelanggan hotel yang datang dari dalam dan luar negara merupakan faktor utama kepada penyebaran kuman tibi yang tersebar melalui udara.


PENYAKIT tibi yang tidak dirawat dengan sempurna boleh membawa maut.


Sama seperti Nisa, impak kepada penyakit yang dulu dikenali sebagai batuk kering, Iman hilang selera makan.

"Kita memang terasa nak makan itu dan ini tapi bila makanan itu ada depan mata, kita tak mampu nak telan.

"Percaya atau tidak, badan saya susut 14 kg disebabkan tibi," katanya yang baru dua minggu menjadi tetamu kepada wad IPR Kuala Lumpur.

Sedang penulis dan Iman masih rancak berbual, Nisa hadir menghampiri kami. Nisa kemudiannya seolah-olah memberi mandat kepada Iman agar jangan mengikut jejak langkahnya yang mengingkari nasihat pakar.

"Jangan tinggal walau satu hari pun dan ingat kalau kita terlupa sehari, kita terpaksa mengulangi sekali lagi putaran preskripsi dari awal," pesan Nisa kepada Iman.

Kepada orang ramai, Iman pula mengingatkan bahawa nyahkan kepercayaan karut sebaliknya dapatkan rawatan di hospital.

Penyakit tibi, hakikatnya tidak mengenal batasan kehidupan seseorang. Tidak kira sama ada seseorang itu miskin atau kaya, kuman tibi mampu menyerang.

"Masyarakat perlu lebih peka kepada penyakit yang berbisa ini, hindari kawasan sesak yang boleh beri kita risiko," kata mereka yang ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IPR yang menjaga mereka dengan baik.

Dalam pada itu, menurut Abdul Razak, mengikut prosedur biasa, seseorang penghidap tibi akan menjalani rawatan yang dikenali sebagai Short Course Chemotheraphy (SCC) yang mengambil masa enam bulan.

"Pesakit akan diberi 12 tablet ubat setiap hari dalam tempoh itu dan mereka mesti dipastikan makan ubat tanpa putus, jika tak, penyakit bolah datang semula," ujarnya.

Pemberian ubat adalah mengikut kaedah Directly Ob served Therapy Short Course (DOTS) yang mempunyai lima cabang rawatan.

Pada dua bulan pertama, rawatan harian akan diberikan. Kebiasaannya, ia mengandungi empat jenis ubat yang disaksikan oleh pengamal perubatan atau orang lain yang dilantik sebagai penyelia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tibi bukan santau

Posted:

Tibi bukan santau

Tibi bukan santau


ABDUL RAZAK menunjukkan keadaan paru-paru jika seseorang terkena jangkitan kuman tibi.


RAUT wajah Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif, berkerut tatkala mengulas mengenai sikap sesetengah masyarakat alaf baru yang masih degil.

Beliau sendiri kurang faham dengan stigma rakyat negara ini yang sering mengaitkan penyakit tibi dengan santau.

"Sebagai doktor pakar tibi yang berpengalaman lebih sedekad, saya sering berjumpa kes yang mengaitkan batuk berdarah dikaitkan dengan santau.

"Biasalah bomoh, dia akan cakap orang ni, orang itu buatlah. Lepas itu, bagi ubat jampi tapi masalahnya, mangsa tidak sembuh-sembuh," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Razak mempunyai cerita sedih mengenai kepercayaan itu.

"Dulu, saya pernah merawat pelajar sekolah yang batuk berdarah, keluarga fikir anaknya kena santau jadi mereka jumpa bomoh. Bila jumpa saya, dia makin kronik dan akhirnya meninggal dunia.

"Tahun lalu juga, berlaku tragedi sama yang melibatkan seorang pelajar berusia 16 tahun," kata doktor pakar yang pernah bertugas di Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan sebelum bertugas di IPR Kuala Lumpur.

Sememangnya kupasan mengenai penyakit berjangkit itu sangat panjang. Abdul Razak turut ditanya sama ada penggunaan shisha boleh mendedahkan seseorang kepada tibi.

"Jawapannya tidak, melainkan individu yang menghisap shisha itu merupakan penghidap tibi dan kemudiannya berkongsi paip shisha dan menghembuskan asap ke udara," jelasnya.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu dokumen yang bertajuk, Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise menyatakan, tembakau dalam sebarang bentuk termasuk shisha tetap berupaya mendatangkan bahaya kepada penggunanya.

Satu sesi penggunaan shisha di antara 20 minit hingga 80 minit akan mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak pada masa yang lebih lama berbanding sebatang rokok.

Asap daripada shisha yang terhasil daripada pembakaran tembakau dan arang juga mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu, ia juga terkandung hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang dikatakan elemen penyebab kanser tetapi kadarnya belum dapat dipastikan.

Kemiskinan tegar


PESAKIT tibi dinasihatkan berterusan bertemu dengan doktor walaupun sudah berasa sihat.


Walau bagaimanapun, kata Abdul Razak, kajian mengenai shisha belum dilakukan secara intensif seperti rokok.

Adakah pendatang asing penyumbang utama kepada jangkitan tibi di Malaysia? Jawapannya juga tidak.

Abdul Razak berkata, hanya 10 peratus pesakit dijangkiti tibi kerana tahap kesihatannya tidak disaring, tetapi di antara 70 hingga 80 peratus daripadanya disebabkan faktor lain seperti kemiskinan tegar. Selain itu, ia juga mempunyai kaitan dengan penyakit kronik seperti diabetes, kanser dan HIV serta mereka yang kuat merokok.

Menceritakan tentang senario penyakit maut itu di Malaysia, beliau memberitahu, jumlah kes tibi mengalami peningkatan kes satu peratus dalam tempoh setahun.

Itu semua kerana masih ramai yang kurang ambil tahu dan kurang kesedaran terhadap tibi.

"Setiap tahun berlaku peningkatan pesakit tibi dan tahun lalu saja ia mencecah hingga 18,000 kes, membabitkan kira-kira 1,600 kematian yang dibimbangi terus meningkat," ujarnya sambil memberitahu, IPR sering menerima pesakit pada tahap kritikal. Sedangkan penyakit tibi sebenarnya dapat disembuhkan dalam tempoh enam bulan mengikut preskripsi yang ditetapkan.

Justeru, beliau menyarankan agar orang ramai yang mengalami simptom tibi segera berjumpa doktor yang bertauliah untuk dapatkan nasihat.

"Janganlah kerana kita, orang lain yang tak bersalah turut terjejas.

"Mesej terakhir daripada saya, bersama-samalah kita berganding bahu mencegah penyebaran penyakit bahaya ini," katanya penuh harapan.

Sempena Hari Tibi Sedunia yang disambut setiap tahun hari ini, pihak institut juga dijadualkan akan mengadakan sambutan hari bersejarah itu pada 28 Mac di IPR di Kuala Lumpur.

Pelbagai acara diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan secara percuma. - MAZLINA ABDUL MAJID

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan