Jumaat, 18 Mac 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Kumbang ancam tanaman sawit

Posted:

Kumbang ancam tanaman sawit

Kumbang ancam tanaman sawit

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my


Tiga peneroka menunjukkan tanaman sawit yang rosak akibat serangan kumbang di Felda Lui Muda, Jempol, semalam.


JEMPOL 17 Mac - Peneroka di Blok 8, Felda Lui Muda dekat sini menanggung kerugian berikutan pokok sawit seluas 46 hektar yang ditanam itu kini diancam kumbang perosak yang telah menyerang tanaman mereka sejak pertengahan tahun lalu.

Sebagai bukti, terdapat begitu banyak larva kumbang dipercayai jenis kumbang badak (Oryctes rhinoceros) yang dikenal pasti antara serangga perosak yang menyerang pokok sawit muda dengan mengorek bahagian tajak untuk menghisap manisan di dalamnya hingga ke umbut.

Seorang peneroka, Miskijah Kijah Kamidun, 60, berkata, banyak pokok sawitnya menjadi layu dan terbantut pertumbuhannya berikutan serangan kumbang berkenaan.

''Setiap kali mendekati anak pokok kelapa sawit ini, saya dapati banyak larva kumbang ini.

''Saya telah maklumkan kepada pihak Felda beberapa kali mengenai ancaman kumbang berkenaan dan setakat ini, mereka telah meracun untuk membinasakan serangga itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan kajian dijalankan mendapati, masalah serangan kumbang badak semakin serius kerana ia boleh menyebabkan bahagian pucuk pokok muda mati dan membantutkan pembesarannya.

Malah, serangan kumbang yang juga dikenali sebagai kumbang tanduk atau kumbang kelapa itu bukan saja boleh menyebabkan kematian pokok tetapi jika pokok itu masih hidup ia akan kekurangan hasil sehingga 25 peratus.

Kata Miskijah, racun pam biasa yang digunakan tidak lagi meninggalkan kesan kepada serangan kumbang tersebut.

''Saya berharap pegawai Felda dan agensi berkaitan dapat datang melihat ke kawasan ini dan membantu kami yang terpaksa menanggung kerugian," katanya.

Sementara itu, Baharin Baharom, 51, memberitahu, pokok sawit itu baru ditanam tahun lalu bagi projek penanaman semula.

"Kami menjangkakan ia akan mengeluarkan hasil pada tahun hadapan. Kalau masalah ini tidak diatasi segera, susahlah," katanya.

Sebelum ini, pelbagai cara diguna penanam dan pengusaha ladang sawit untuk menghapuskan koloni kumbang badak seperti menggunakan perangkap feromon, tanaman pokok kekacang dan semburan racun serangga dengan perawis aktif Carbofuran dan Cypermethrin.

Bagaimanapun, kaedah itu kurang berkesan untuk mengawal kitaran hidup kumbang badak.

Malah, aktiviti tanam semula dengan kaedah penebangan pokok yang kemudian batang diracik, dikumpul dan dibiar reput di situ menggalakkan kumbang badak membiak dengan hebat.

Lebih malang lagi, kaedah semburan racun serangga memang mampu membunuh kumbang tanduk dengan baik, tetapi semburan yang sama turut memudaratkan kumbang pendebungaan sawit dan serangga lain yang diperlukan untuk proses penghasilan buah sawit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

317 pelajar terima tiket penerbangan

Posted:

317 pelajar terima tiket penerbangan

317 pelajar terima tiket penerbangan

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

SEREMBAN 17 Mac – Seramai 317 pelajar Negeri Sembilan yang dibawa pulang dari Mesir berikutan krisis politik di negara itu hari ini menerima tiket penerbangan pulang dan sagu hati sebanyak RM500 daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Mereka terdiri daripada 215 pelajar tajaan MAINS dan 102 pelajar persendirian.

Selain itu, seramai 28 pelajar tajaan MAINS, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan persendirian yang sudah mempunyai tiket penerbangan menerima sagu hati RM500.

Pelajar berkenaan menerima tiket dan saguhati itu daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis khas di sebuah hotel di sini hari ini.

Mohamad berkata, pelajar tersebut akan kembali ke negara itu untuk menyambung pengajian mereka dengan menaiki penerbangan Qatar Airways Ahad ini.

Menurutnya, pemberian tiket ke Mesir itu adalah bagi memenuhi janji beliau sebelum ini bahawa kerajaan negeri akan menanggung kos tersebut.

Katanya, ahli-ahli MAINS telah memutuskan untuk menggunakan peruntukan zakat bagi menanggung kos tersebut berdasarkan kepada keadaan darurat yang mana pelajar tersebut terpaksa pulang berikutan keadaan huru-hara di Mesir dan kini perlu kembali untuk menyambung pelajaran mereka.

"Majlis juga memutuskan untuk menanggung kos bukan saja pelajar tajaannya tetapi juga pelajar lain yang turut membuat permohonan kepada kerajaan negeri.

"Berikutan itu MAINS telah mengeluarkan sebanyak RM697,400 untuk tiket penerbangan dan RM172,500 untuk wang saku," katanya kepada para pemberita selepas majlis tersebut.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Razak Mansor yang juga Timbalan Pengerusi MAINS, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Setiausaha MAINS, Kamal Amran Kamarudin.

Mohamad menarik perhatian, pemberian tiket penerbangan dan wang saku itu membuktikan kerajaan negeri mengambil berat mengenai nasib pelajar berkenaan sekali gus menyangkal tohmahan sesetengah pihak sebelum ini bahawa kerajaan tidak akan mengambil peduli mengenai mereka sebaik saja pulang ke tanah air.

Katanya, ada orang yang percaya fitnah tersebut selepas beberapa ibu bapa pelajar datang menemuinya bagi bertanyakan perkara tersebut.

"Ada orang yang suka merebus batu yang tidak empuk-empuk (yang tidak akan masak) dan suka mencari apa jua isu bagi memperkecilkan usaha kerajaan.

"Saya sudah berjanji akan menghantar para pelajar ini pulang dan hari ini saya membuktikan janji itu," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

OKU tagih simpati agar diberi peluang berniaga

Posted:

OKU tagih simpati agar diberi peluang berniaga

OKU tagih simpati agar diberi peluang berniaga


S. Vijaya Kumaran menunjukkan surat bankrap dan kad Jabatan Kebajikan Masyarakat di rumahnya di Rumah Awam Kempas Selandar, Melaka, semalam.


JASIN 17 Mac - S. Vijaya Kumaran dari Rumah Awam Kempas, Selandar di sini merupakan orang kurang upaya (OKU) yang cacat tangan kanan dan kaki kirinya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira tujuh tahun lalu.

Ketika itu, dia menunggang motosikal sendirian selepas tamat bekerja sebagai pemandu lori di Tampin sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam insiden tersebut.

Akibat kemalangan itu, Vijaya hilang punca pendapatan RM1,900 sebulan dan pada hari ini, lelaki itu terpaksa bergantung pendapatan isteri yang hanya RM400 sebulan sebagai pekerja kilang selain menanggung empat anak mereka antara 18 hingga 21 tahun.

Bagaimanapun, Vijaya enggan putus asa dan bercita-cita untuk meneruskan kehidupan melalui tulang empat kerat yang dimilikinya dengan mencuba pelbagai pekerjaan namun nasib masih tidak menyebelahi dia dan keluarga.

Disebabkan tiada pihak yang sudi menawarkan pekerjaan kepadanya, akhirnya Vijaya bertekad melaburkan semua wang simpanannya untuk menjalankan perniagaan kereta sewa namun disebabkan masalah teknikal, hasratnya itu terkubur sehingga hari ini.

''Hampir 10 tahun saya berusaha untuk mendapatkan permit menjalankan perniagaan sewa kereta dan impian ini hampir terlaksana setelah saya memperoleh permit tahun lalu namun disebabkan saya ada kes muflis, saya tidak boleh menggunakan permit untuk operasi kereta," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Katanya, dia sudah mencuba pelbagai usaha untuk melunaskan hutang muflis yang ditanggungnya itu namun jumlah RM1,680 yang tertunggak amat sukar dijelaskan memandangkan dia tidak mempunyai sumber pendapatan.

Ujar Vijaya, dia hanya perlu membayar RM30 sebanyak 56 bulan bagi menjelaskan hutang tertunggak tersebut dengan pihak bank namun dia tidak berkemampuan sehingga terpaksa menggadai barang kemas isterinya bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

''Saya sudah beberapa kali merayu dan meminta bantuan dengan wakil rakyat, pertubuhan politik agar simpati dengan masalah saya ini namun tiada sesiapa pun yang berminat untuk menghulurkan bantuan.

''Paling saya kesalkan, kenapa sukar bagi saya peluang malah saya ini OKU, tak kan tidak boleh pertimbangkan masalah muflis yang saya hadapi sekarang ini dan bantu saya berniaga," katanya.

Tidak cukup dengan itu, Vijaya juga tidak pernah ketinggalan mengikuti kursus usahawan tani anjuran Jabatan Pertanian dengan harapan dia boleh dibantu memulakan kegiatan menternak itik di atas tanak milik keluarganya seluas 0.8 hektar.

Namun, harapan Vijaya tinggal angan-angan kosong apabila setiap kali permohonannya untuk mendapatkan bantuan bagi memulakan perusahaan tersebut tidak dilayan agensi terbabit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen